SHAH ALAM - Rakyat Malaysia perlu memperkasakan dan memperkukuhkan jati diri sebagai satu masyarakat yang memahami intipati dan jalur peradaban Bahasa Melayu.
Sasterawan dan Budayawan Negara, Dr Lim Swee Tin berkata, ia sebagai satu perasaan dan prasyarat dalam mempraktikkan sejarah kesusasteraan dan kelestarian bahasa.
Tambahnya, ia tidak penting sama ada orang Melayu atau bukan Melayu yang perlu sentiasa berpegang dan beranggapan bahawa Bahasa Melayu bahasa kebangsaan negara.
"Itu kuncinya, jangan lari daripada hakikat yang sedemikian, begitu juga dengan kesusasteraan kita..
"Jadi menjadi pengarang ataupun budayawan dan sentiasa berdamping dengan masyarakat perlu memainkan peranan dalam kapasiti yang termampu dan terdaya untuk melestarikan warisan tinggalan nenek moyang ini.
"Dan akhirnya, akan membawa kesedaran kepada kita dari segi budaya, kehidupan, kesejahteraan, keharmonian,” katanya dalam program Sinar Live yang bertajuk Do I Look Stupid If I Speak Malay? Pada Jumaat.
Dalam pada itu, Swee Tin berkata, seorang budayawan hendaklah tekal dan konsisten sepanjang masa dalam berusaha untuk sentiasa mempertingkatkan pemahaman, capaian masyarakat kepada nilai-nilai murni serta keindahan budaya, warisan dan kesenian bahasa.
"Ini boleh mendukung aspirasi yang tinggi kepada falsafah hidup kita sebagai bangsa Malaysia.
"Saya fikir ia mempunyai pengaruh yang sangat besar, konsistensi juga memainkan peranan dan kita harus dikenali sebagai masyarakat bukan sahaja sebagai pejuang tetapi bagi mereka yang sentiasa akrab dan mesra dalam kehidupan.
"Inilah saya fikir ciri-ciri sewajarnya ada dalam setiap ada diri kita,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bahasa Melayu perlu dilihat bukan sekadar alat komunikasi bahasa tetapi bahasa yang mendukung pemikiran, menzahirkan emosi dan mengaspirasikan hasrat kehidupan rakyat.
"Dalam bahasa Melayu ada cabang yang luas, kita ada simpulan bahasa, peribahasa, pepatah dan petitih, puisi, pesanan dalam seloka dan gurindam.
"Ini yang terpancar dalam bahasa kita dengan membudayakan kehidupan, saya percaya rakyat akan menjadi satu rupa bentuk masyarakat yang kukuh dari segi jati diri mereka.
"Serta padu dari segi kesatuan dan perpaduan bangsa kita dan menjadikan bahasa kekal relevan sebagai bahasa pengucapan jiwa,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca