SHAH ALAM - Tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggunakan bahasa Melayu dalam ucapannya di Scotland berjaya membuka mata dunia bahawa bahasa kebangsaan terus relevan.
Sasterawan dan Budayawan Negara, Dr Lim Swee Tin berkata, rakyat sewajarnya berbangga apabila tindakan tersebut berjaya ditonjolkan dalam persidangan antarabangsa.
"Masih ada satu bahasa yang namanya bahasa Melayu dan orang mesti bertanya bahasa apa yang dipakai sudah tentu Bahasa Melayu.
"Dunia juga ada yang sedang membuka mata bahawa bahasa Melayu terus relevan sebagai bahasa yang aktif dan produktif.
"Apa yang saya banggakan ialah bahawa orang ingat dan tahu bahawa Bahasa Malaysia masih bahasa releven,” katanya dalam program Sinar Live yang bertajuk Do I Look Stupid If I Speak Malay? Pada Jumaat.
Pada masa sama, Swee Tin berkata, isi teks ucapan yang dibacakan itu kemas, tersusun dan mesej yang hendak disampaikan kepada dunia jelas keseluruh dunia dan persidangan tersebut.
Menurutnya, ia membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menampung hujah-hujah yang besar termasuk bidang sains dan teknologi.
"Jadi apa salahnya bahasa yang besar ini dapat menyangkut satu bidang yang besar serta lain-lain bidang.
"Banyak lagi yang kita gunakan bahasa Melayu yang merupakan bidang keilmuan. Jadi ini satu bukti yang sangat besar bahawa bahasa Melayu sentiasa boleh menampungnya dan sebagai ilmuwan bahasa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa yang mapan dan mampu mengendalikan pelbagai bidang yang dapat disalurkan kepada masyarakat.
"Sejak zaman-berzaman bahasa Melayu sudah menunjukkan bukti kukuh yang boleh menyampaikan bidang-bidang yang sukar tetapi masih mampu mendukung dan menampungnya.
"Jadi dalam konteks ini kita memperlihatkan keyakinan bahawa bahasa Melayu itu bukan bahasa yang remeh temeh, bahasa yang sembarangan. lalu untuk apakah dikecam dan dilihat dari konteks yang kurang baik?
"Walaupun bagi saya masih ada ruang-ruang yang diperbaiki dalam konteks membawa bahasa Melayu ke arena antarabangsa, saya sentiasa ingin terus melontarkan keyakinan bahawa bahasa kita mampu,” jelasnya.
Tambah Swee Tin, kesungguhan merupakan kunci untuk memartabatkan, memperkasakan dan memaruahkan Bahasa Melayu kepada masyarakat.
"Itu ramuan yang perlu ada dalam diri kita. Sejauh manakah kita bekerja ke arah itu harus bertanya juga.
"Kalau dalam konteks yang menteri berucap tadi kita telah berjaya menunjukkan potensi sebagaimana yang dikatakan, seterusnya perlu melihat kepada apakah gerak kerja selepas ini.
"Apakah selama ini kita mencanang-canangkan bahasa Melayu kita boleh bangkit semula sebagai bahasa lingua franca contohnya atau bahasa yang penting di peringkat ASEAN?
"Jadi sejauh mana kita sentiasa tekal dan konsisten dalam menyatakan, meramukan hasrat, tindak tanduk, impian dan gerak kerja ke arah pencapaian ini?” katanya.
Jelas beliau, kesungguhan dan keyakinan juga keperibadian kukuh harus dipertahankan dalam memartabatkan dan memperkasakan serta mendaulatkan bahasa Melayu.
Klik di sini untuk terus membaca