SHAH ALAM - Bukan wang ringgit, tapi pemimpin yang berjiwa rakyat, berintegriti dan bebas rasuah!
Itu luahan hati rakyat Melaka yang ditemui wartawan Sinar Harian selepas empat hari berkampung di bumi Hang Tuah bagi mendekati pengundi dan meninjau perjalanan kempen pilihan raya negeri (PRN) itu.
Mengakui muak dengan tindakan calon memberikan bantuan hanya apabila menjelang pilihan raya untuk mengumpan undi, Noor Aslinda Tamar, 56, berkata, rakyat kini sudah pandai menilai mana yang baik dan yang mana buruk.
Penduduk Kampung Bukit Kecil, Paya Dalam itu berkata, pemimpin juga perlu berhenti berebut kuasa demi kepentingan peribadi sebaliknya mendahulukan kebajikan rakyat.
"Kami bukan nak duit, kami mahukan pemimpin yang berjiwa rakyat dan tidak rasuah. Kalau bukan anak tempatan pun tak apa asalkan rajin turun padang dan mengambil berat mengenai penduduk di setiap kawasan,” katanya.
Sementara itu, Maimunah Asnawi, 77, berkata, sebelum menang, segelintir calon bijak menabur gula-gula namun selepas mendapat mandat, janji sering dimungkiri.
"Kalau duduk di atas jangan lupa rakyat di bawah,” pesannya.
Warga emas itu berkata, ketika zaman mudanya, tiada kes-kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pemimpin didengarinya namun kini banyak pula dilaporkan di dada akhbar.
Sambil menasihati pemimpin supaya jangan bersikap seperti lalang, Maimunah berkata, rakyat kini sentiasa mengikuti perkembangan politik semasa, justeru pemimpin perlu mengembalikan kepercayaan mereka yang kini terhakis dengan tindakan melompat parti oleh segelintir wakil rakyat.
Ahmad Fikhri Sulaiman, 31, pula berkata, rakyat khususnya golongan muda kini memberontak selepas melihat kepincangan politik terbaharu di negeri ini.
"Saya kecewa dengan sikap pemimpin yang rakus dan mementingkan kuasa semata-mata sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan kerana impaknya besar kepada rakyat.
"Satu penggal bertukar-tukar Ketua Menteri Melaka. Konflik ini memperlihatkan kepimpinan dan politik yang tidak stabil,” ujarnya.
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Klik di sini untuk terus membaca