MELAKA - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) membantah serta mengutuk sekeras-kerasnya amalan ‘membeli undi’ atau politik wang yang seperti sinonim dengan proses pilihan raya.
Pengerusinya, Thomas Fann berkata, sememangnya menjelang pilihan raya pengundi akan diberikan keutamaan, sedangkan mereka sebelum itu kadangkala dipandang sebelah mata.
Katanya, pelbagai janji manis mula dipertontonkan kepada masyarakat dan ‘gula-gula’ pilihan raya ditaburkan termasuk wang ringgit bagi memancing undi.
Namun begitu katanya, selepas mencatat kemenangan, terdapat segelintir wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB) yang seolah-olah terlupa akan janji masing-masing.
"Inilah situasi yang sering terjadi dalam mana-mana pilihan raya apabila masyarakat disogok dengan janji-janji manis dan diumpan dengan habuan yang hakikatnya tidak seberapa.
"Namun setelah mencatat kemenangan dan bergelar YB, pengundi-pengundi ini dilupakan bersama janji-janji manis yang ditabur sebelum pilihan raya,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Thomas berkata, pengundi seharusnya menolak individu yang mengamalkan politik jelik tersebut termasuk calon yang bertindak melompat parti.
Menurutnya, jika terdapat calon yang bertanding melakukan perbuatan lompat parti dan tidak menunaikan janji sebelum ini, rakyat harus menghukum mereka dengan menyingkirkan kumpulan pemimpin tersebut.
Tegasnya, perbuatan seumpama itu jelas menunjukkan calon tidak menghormati undang-undang pilihan raya sedia ada yang mahukan proses pemilihan berjalan secara bersih dan jujur.
"Mengapa hendak pilih mereka menjadi wakil rakyat dan ahli dewan yang akan menggubal undang-undang sedangkan mereka sendiri tidak bersih.
"Untuk itu, saya menyeru orang ramai supaya tidak lagi terpedaya. Tolak individu yang makan rasuah dan memberi rasuah,” katanya.
Sementara itu, Thomas berkata, dalam Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, sesiapa yang memberi atau menerima wang atau sebarang manfaat untuk mendapat atau memberi undi adalah dikira melakukan kesalahan rasuah.
Mereka boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya.
Tambah Thomas, jika ada individu yang menyaksikan perbuatan rasuah tersebut atau mempunyai bukti, mereka perlu melaporkannya kepada pihak berkuasa.
"Mereka juga boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau memaklumkan kepada Bersih di email info@bersih.org untuk tindakan lanjut.
"Orang ramai diingatkan bahawa semasa pilihan raya semua pemberian boleh dianggap sebagai rasuah,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca