MELAKA - Masyarakat harus dididik untuk membenci apa sahaja sogokan tidak kira dalam apa jua bentuk, baik dalam bentuk wang ringgit, janji-janji manis, makan minum serta habuan berupa hadiah.
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Muhammad Wafiq Azman berkata, sogokan merupakan rasuah dan ia adalah jenayah, malah satu perbuatan yang bertentangan dengan kehendak semua agama.
Menurutnya, 'umpan undi' semasa berlangsungnya kempen pilihan raya adalah perbuatan tidak beretika termasuk memberi sumbangan dan sejumlah wang dengan niat tertentu.
"Bagi saya sogokan melalui pilihanraya ini bukan perkara baharu, sebenarnya sudah jadi budaya setiap kali berlangsungnya pilihan raya.
"Tidak syak lagi amalan jelik ini bermula daripada budaya parti-parti politik bagi meraih undi terutama golongan atas pagar.
"Mereka tahu bahawa masih ramai rakyat miskin dan susah, memerlukan duit untuk terus hidup. Peluang ini diambil oleh parti-parti politik untuk meraih undi melalui perbuatan sogokan wang," katanya kepada Rasuah Busters.
Muhammad Wafiq yang berpengalaman berkempen dari rumah ke rumah bagi meraih undi mengakui, agak mencabar untuk orang ramai mengelak daripada menerima sebarang pemberian daripada calon yang bertanding apabila perbuatan tersebut seakan sudah menjadi budaya.
Namun begitu tegasnya, tidak mustahil perkara seumpama itu dapat diubah sekiranya orang ramai memikirkan nasib anak bangsa sekiranya urusan pentadbiran negara dikuasai mereka yang terlibat dengan amalan rasuah serta salah laku moral.
Sehubungan itu katanya, perkara asas yang paling penting adalah kefahaman masyarakat terhadap kesan amalan rasuah dan sogokan semasa kempen pilihan raya.
"Perlu ada usaha memberi kefahaman untuk menyedarkan rakyat bahawa 'umpan undi' melalui sogokan adalah rasuah dan ia satu jenayah," katanya.
Muhammad Wafiq berkata, tidak ramai sebenarnya rakyat yang cakna berhubung amalan 'umpan undi'.
Untuk itu katanya, kerajaan perlu menguar-uarkan kempen anti sogokan atau menerima 'umpan undi' secara lebih agresif, seperti mana kerajaan membuat kempen kesedaran orang ramai mendapatkan suntikan vaksin.
Klik di sini untuk terus membaca