SETELAH hampir dua tahun atau dua kali raya tak dapat balik kampung. Kelmarin, akhirnya saya balik juga ke kampung untuk bertemu bonda tersayang. Sebelum ini selepas sahaja kerajaan mengumumkan pembukaan sempadan, saya bercadang untuk... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH hampir dua tahun atau dua kali raya tak dapat balik kampung. Kelmarin, akhirnya saya balik juga ke kampung untuk bertemu bonda tersayang. Sebelum ini selepas sahaja kerajaan mengumumkan pembukaan sempadan, saya bercadang untuk segera balik kampung juga, tapi kata bonda saya, "Jangan balik lagi. Tunggu orang tak ramai, baru balik.”

"Bilanya hendak tunggu orang tak ramai? Akhir tahun ini ramai yang hendak habiskan cuti,” kata saya.

"Jangan balik, jangan balik,” kata bonda.

Saya pun perlu habiskan cuti juga. Syarikat hanya benarkan bawa lima hari cuti sahaja untuk tahun depan. Cuti saya yang tak banyak ini, balik kampung sahaja sudah habis cuti tahunan. Ini pun belum habis tahun lagi.

Dalam perjalanan pulang tidaklah banyak sangat kereta. Cuma ada beberapa kemalangan kecil sahaja menyebabkan kereta bergerak perlahan. Di samping itu, seperti kebiasaan di Pantai Timur ini, hujung tahun adalah musim hujan, maka perlulah berhati-hati.

Saya tidak berhenti di mana-mana. Lagipun bonda berpesan, jangan singgah di mana-mana.

Saya sampai di Terengganu lebih kurang pukul 2 petang. Selepas selesai makan tengah hari, saya terus ke rumah bonda tanpa berlengah lagi. Lagipun badan pun dah letih. Saya bersyukur kerana sepanjang perjalanan cuaca agak baik dan mendung sahaja.

Pagi esoknya seperti biasa saya akan bergegas untuk mencari sarapan pula. Kegemaran saya tidak lain tidak bukan sama ada nasi dagang atau nasi kunyit berlaukkan ikan tongkol atau ikan aya kata orang Terengganu.

Sampai di kedai ramai orang pula. Saya memberitahu isteri, untuk bungkus sahaja. Kalau nak makan di kedai, cari kedai lain. Kami menunggu pekerja kedai untuk melayani kami. Melihat akan mereka buat endah tak endah sahaja, saya terus menegur seorang pekerja kedai.

"Kita tak cukup orang. Hari tu sudah buat iklan, tapi tak ada orang datang nak minta kerja pula. Tauke kedai hendakkan orang perempuan,” kata makcik tersebut.

"Tak kan tak ada orang perempuan nak kerja?” tanya saya meminta kepastian.

"Tak ada. Itupun tauke dah beri kelonggaran, kalau ada orang lelaki yang lembu-lembut dan ala-ala perempuan boleh dipertimbangkan,” kata makcik tersebut tersipu-sipu.

Sementara menunggu pesan bungkus siap, terlihat ada meja kosong pula. Saya terus duduk dan memberitahu isteri untuk makan di sini sahaja. Kebetulan terjumpa kawan sekampung pula.

"Cuti ke? Tanya saya.

"Taklah sudah berhenti. Syarikat hentikan aku,” kata kawan saya sedih.

"Oh pasal pandemik ka?” tanya saya lagi.

"Katanya bos, aku kerja tak bagus. Aku pun pelik juga apa yang tak bagusnya. Kalau baru setahun dua boleh diterima, ini aku dah kerja hampir 10 tahun, baru sekarang kata tak bagus. Semua kerja aku buat dengan jayanya.

"Aku rasa mungkin sebab aku ada lawan cakap dia. Aku tak setuju dengan caranya, tapi dia tak boleh terima pandangan aku agaknya. Kemudian dia ungkit-ungkit kata aku suka buat kerja ikut kepala sendiri.

"Bos aku ini selalu sebut dan suruh pekerjanya berfikir di luar kotak. Apabila ada yang fikir di luar kotak, dia tak terima pula. Kita ini kuli, begitulah. Bak kata pepatah lama, ibarat anjing menyalak di ekor gajah. Gaji kecil, simpanan pun tak cukup. Bila kena berhenti terpaksa balik kampung,” kata kawan saya panjang lebar menerangkan keadaannya terkini.

Ceritanya itu membuatkan saya berfikir juga. Kadang-kadang kita merasa terlalu selesa dengan pekerjaan kita. Kita rasa mungkin tak terkesan. Tetapi sebenarnya risiko tetap ada melainkan orang yang bekerja kerajaan sahaja yang selamat.

Kerja swasta ini, bila-bila masa boleh dibuang syarikat jika sudah tidak diperlukan lagi. Mereka boleh sahaja mencipta alasan untuk membuang kita dan menggantikan dengan orang lain dengan bayaran gaji lebih murah.

Walaupun kita ikhlas dan bekerja dengan jujur dan amanah, tetapi ia hanya menguntungkan syarikat sahaja. Akhir kata, kita tidaklah duduk sama rendah dan tidaklah berdiri sama tinggi, sebab kita bagai ibarat besi dengan penempa.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca