SEBAGAI seorang insan, pertembungan kehendak itu sentiasa berlaku dalam kehidupan seharian. Kehendak kita pula pelbagai, ada kehendak yang bersifat positif dan negatif. Pun begitu, kesemua kehendak tersebut adalah dipacu oleh dorongan di dalam diri.
Bagi mereka yang kuat dorongannya, maka tertunailah sama ada kehendak positif atau negatif. Persoalannya, jika kita mempunyai dorongan yang tinggi untuk melakukan perkara yang positif, namun gagal merealisasikannya, adakah kita telah gagal?
Begitu juga dengan dorongan untuk melakukan perkara yang negatif, adakah kita masih mahu teruskan dorongan itu walaupun di penghujungnya akan memberi kesan yang buruk nanti? Apa yang jelas, kita yang menentukan sama ada mahu atau tidak.
Berkaitan dengan kehendak positif, sebetulnya, ramai yang tidak berjaya merealisasikan kehendak mereka kerana gagal memacu dorongan di dalam diri dengan bersungguh-sungguh. Dorongan tanpa komitmen umpama menyiramkan air ke daun keladi. Bila ada komitmen, mereka akan memberikan sepenuh tenaga serta penuh perhatian dalam melakukan sesuatu. Selain itu, akan ‘mengikatkan diri’ untuk melakukannya dengan sepenuh hati.
Menurut perspektif psikologi, komitmen melibatkan niat yang betul serta fokus yang mendalam terhadap sesuatu perkara yang berada dalam kawalan dan perancangannya. Justeru, komitmen perlu disusuli dengan tujuan yang jelas serta didokong dengan perancangan yang teliti. Menurut perspektif Islam pula, dorongan yang tinggi dikaitkan dengan sifat Itqan atau tekun. Ketekunan merupakan antara jalan bagi mendapatkan ganjaran pahala serta diberkati oleh ALLAH SWT. Selain itu, sikap tekun itu membezakan individu yang serius dalam bekerja serta banyak memudahkan urusan orang lain.
Berkaitan dengan sifat tekun ini, Nabi SAW bersabda, "Tetapi ALLAH SWT kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik” (Hadis Riwayat al-Baihaqi).
Justeru, sifat tekun itu menjadi pemisah antara mahu atau tidak.
Namun setelah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kehendak tersebut, tidak semua yang berjaya. Ada yang dapat merealisasikannya sekerat jalan sahaja. Kegagalan itu mendorong kita membuat perbandingan dengan orang lain yang telah berjaya. Justeru, mulalah bersedih dan kecewa dengan kegagalan diri. Berkaitan dengan berdukacita, daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Dukacita itu separuh daripada penyebab tua”. (Hadis Riwayat al-Dailami).
Menurut Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi bukunya Permata Buat Orang yang Beriman, "Dukacita merupakan sifat yang kurang baik apabila hanya dinisbahkan kepada dunia semata-mata tanpa dikaitkan dengan akhirat. Tenanglah, kerana segalanya akan berakibat baik. Hidup ini sangat pendek, maka jangan dipendekkan lagi dengan banyak bersedih”. Ini bermakna, sifat berdukacita itu amat bergantung kepada kecenderungan kita sama ada mahu atau tidak memanjangkan lagi kesedihan tersebut.
Kebiasaannya, bagi kelompok yang gagal mencapai kehendak mereka disebabkan oleh perbuatan orang lain, secara tidak langsung akan memuncakkan lagi dorongan mereka untuk membalas perbuatan tersebut. Pada hemat saya, bagi mereka yang terdorong untuk melakukan niat dan tindakan tersebut, belajarlah untuk merendahkan dorongan itu. Sekiranya kita berterusan sabar dan tidak melayani dorongan nafsu, perbuatan jahat tersebut tentunya tidak akan dipanjangkan lagi. Apa yang penting pusingan kejahatan dapat dihentikan. Namun, terserahlah kepada kita sama ada untuk meneruskan atau tidak.
Ingatlah, pemisah antara mahu dan tidak adalah senipis daun bawang. Jika tidak berhati-hati, kita akan terus tergelincir ke arah perbuatan yang buruk.
Sesungguhnya, kita bukannya sehebat mana. Segala kehebatan adalah datang daripada Pencipta. Berdoalah, agar kita terlindung memilih perkara yang buruk.
Ketekunan merupakan antara jalan bagi mendapatkan ganjaran pahala serta diberkati oleh ALLAH SWT.”
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca