SIFAT politik negara yang pragmatik dan dinamik menyumbang kepada pembentukan pakatan. Kerencaman kaum menjadikan taburan undi terpecah lantas menjadikan persaingan merebut undi menjadi sangat sengit.
Dengan komposisi kaum yang agak seimbang dan hampir setara, mendapatkan majoriti bagi membentuk kerajaan menjadi makin sukar. Sebab itu pakatan politik perlu dilakukan.
Walaupun pakatan politik bukanlah sesuatu yang baharu, ia dilihat semakin mendapat tempat dalam politik negara. Sebelumnya pakatan politik hanya melibatkan parti kerajaan secara grand coalition berdasarkan formula kongsi kuasa dan semangat permuafakatan menerusi BN. Biarpun ia dikiritik sebagai terlalu dominan dan membunuh demokrasi, namun formula itulah yang menyumbang kepada kestabilan politik di Malaysia.
Bagi pembangkang, pembentukan pakatan dilakukan untuk mencabar dominasi BN yang dilihat sukar dikalahkan secara bersendirian di samping kesan buruknya terhadap politik demokrasi. Pakatan itu sampai ke kemuncaknya selepas strategi bertanding menggunakan satu lambang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membuahkan hasil. Ini lantas membawa kepada kewujudan PH sebagai sebuah pakatan politik yang sah berbanding Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) yang lebih bersifat strategik.
Sudah tentulah kewujudan Pakatan Nasional (PN) sebagai pakatan ketiga memperlihatkan bagaimana pakatan politik mengukuh dalam landskap politik negara. Kewujudan PN jelas memperlihatkan bagaimana pakatan politik menjadi satu keperluan disebabkan perubahan dan keterbukaan pengundi yang tidak lagi melihat undi menerusi jalur kepartian.
PRN Melaka membenarkan kenyataan tersebut. Umum mengetahui kawasan selatan menjadi battleground yang sangat terbuka kepada parti-parti politik pasca PRU14. Keputusan PRU14 dan beberapa pilihan raya kecil di kawasan Selatan (Port Dickson, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai) memperlihatkan keputusan yang sangat terbuka dengan trend pengundian yang berubah-ubah.Namun begitu, pakatan politik yang dibentuk untuk PRN Melaka juga masih memperlihatkan kecenderungan untuk bergerak atas jalur kaum, sesuatu yang memberi refleksi kepada komposisi dan demografi pengundi setempat.
Walaupun dilihat BN terutamanya UMNO berpotensi untuk menang secara solo sepertimana PRU13 (UMNO menang 17 kerusi ketika itu, cukup untuk membentuk majoriti mudah 15 kerusi), BN tetap memberi peluang kepada komponen bukan Melayunya bertanding, di sebalik kekuatan PH terutamanya DAP dalam konteks pengundi bukan Melayu.
Cabaran PH pula sudah tentulah kehilangan elemen Melayu yang menyumbang kepada kejayaan PH merampas Melaka. Kem Tun Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu ketika bersama PH memperlihatkan perubahan undi orang Melayu terutamanya di empat DUN (Rembia, Durian Tunggal, Paya Rumput dan Telok Mas) membawa kepada tumbangnya kerajaan BN dalam PRU14.
SengitDengan Bersatu kali ini membentuk kerjasama dengan Pas melalui PN, apakah Gerakan sebagai sekutu baharu mereka mampu untuk menyumbangkan kemenangan kepada PN dalam persaingan di kerusi-kerusi bukan Melayu? Malah, apakah Pas dan Bersatu itu sendiri mampu untuk menyaingi atau sekurang-kurangnya memecahkan undi Melayu sekali gus menjadikan persaingan sengit antara BN dan PH dalam menentukan keputusan.
Hakikatnya pakatan politik akan menjadikan politik negara lebih anjal dan terbuka. Yang dirisaukan adalah disebabkan keanjalan dan keterbukaan itu, parti dan orang politik barangkali akan cenderung untuk bertukar hati.
Maka apakah mungkin di Melaka ini kalau keputusannya sengit, apakah BN dan PN akan berpakat kembali atau ada lagi yang melompat selepas itu? Kalau itu berlaku maka buang masa sahaja adakan pilihan raya.
*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca