SHAH ALAM - Menunggang secara melulu antara kesalahan lalu lintas yang dikesan banyak dilakukan penunggang motosikal di negara ini. Ini termasuklah melanggar lampu isyarat, melawan arus dan menggunakan telefon ketika menunggang motosikal.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Menunggang secara melulu antara kesalahan lalu lintas yang dikesan banyak dilakukan penunggang motosikal di negara ini.

Ini termasuklah melanggar lampu isyarat, melawan arus dan menggunakan telefon ketika menunggang motosikal.

Sikap sebegini bukan sahaja berbahaya kepada penunggang itu sendiri malah kepada pengguna jalan raya lain.

Motosikal antara kenderaan tertinggi terlibat kemalangan maut.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JPJ Malaysia, Datuk Lokman Jamaan berkata, sebanyak 60 peratus kemalangan maut yang dicatatkan sehingga kini melibatkan kenderaan motosikal.

"Kenderaan motosikal mencatatkan antara yang tertinggi terlibat dalam kemalangan maut berbanding kenderaan lain dan jumlah ini sangat membimbangkan.

"Pelbagai aduan juga kita terima daripada pengguna jalan raya berkaitan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh penunggang motosikal," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Ops Merah yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Puchong Perdana, Selangor baru-baru ini.

SUKA LANGGAR LAMPU MERAH

Menurut Lokman, antara kesalahan yang dikesan dilakukan oleh penunggang motosikal ialah melanggar lampu isyarat, tiada lesen memandu dan menggunakan telefon bimbit ketika menunggang motosikal.

"Kesalahan lain yang agak serius adalah melawan arus, perbuatan ini bukan sahaja membahayakan nyawa penunggang bahkan meningkatkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya lain," katanya.

PENUNGGANG P-HAILING ANTARA KERAP LAKU KESALAHAN

Menyentuh isu penunggang p-hailing, Lokman memberitahu, antara aduan tertinggi yang diterima daripada pengguna jalan raya adalah berkaitan kesalahan yang sering kali dilakukan penunggang p-hailing.

Jelas beliau, antara kesalahan yang dikesan dilakukan penunggang p-hailing adalah melanggar lampu isyarat, melawan arus dan cukai jalan tamat tempoh.

"Saya menyeru kepada pemilik syarikat p-hailing agar sentiasa memastikan pekerja mereka sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan,'' katanya sambil menambah kesalahan yang dilakukan turut berbahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Jelas beliau, berdasarkan pemantauan yang dijalankan, Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) turut mengesan ramai ibu bapa terutamanya di taman-taman perumahan membenarkan anak-anak mereka di bawah umur menunggang motosikal.

"Berdasarkan operasi yang dijalankan terutamanya melibatkan kawasan taman, didapati ramai remaja bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen.

"Jadi, saya nak ingatkan juga kepada ibu bapa supaya pastikan anak mereka di bawah umur agar tidak menunggang motosikal memandangkan mereka tidak dilindungi insurans dan kenderaan berisiko disita," katanya.

Menurut beliau, operasi khas dikenali sebagai Ops Merah ini dijalankan seluruh negara bermula pada 8 Oktober lalu.

"Operasi khas ini bertujuan memantau tahap pematuhan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan(APJ 1987).

"Selain itu, kita turut mengadakan program advokasi dengan memberikan fokus utama kepada kenderaan motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing," katanya.

Terdapat penunggang motosikal yang dikesan melanggar lampu isyarat.

OPS KESAN KESALAHAN LALU LINTAS

Jelas Lokman, pelbagai kesalahan turut dikesan sepanjang pelaksanaan Ops Merah ini.

"Antara kesalahan yang banyak dalam operasi tersebut yang dikesan termasuk tidak mematuhi lampu isyarat, tiada lesen memandu dan tiada perlindungan insurans.

"Selain itu, antara kesalahan lain dikesan termasuk menggunakan telefon bimbit ketika menunggang, melawan arus, tidak memakai topi keledar selain mengubah suai kenderaan termasuk nombor pendaftaran," katanya.Menurut Lokman, hasil semakan statistik yang dikumpul bermula 8 Oktober sehingga 6 November mendapati daripada 11,762 kenderaan yang telah diperiksa, sebanyak 2,058 kenderaan telah diambil tindakan membabitkan motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing.

"Selain itu, sebanyak 7,808 kesalahan telah diambil tindakan hasil pemeriksaan melibatkan keseluruhan 76,603 kenderaan," katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan penguatkuasaan Ops Merah itu akan dijalankan secara berkala dalam memantau dan memastikan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Tindakan ini diharapkan akan memberikan kesedaran kepada semua pengguna jalan raya khususnya melibatkan penunggang motosikal yang menjalankan perkhidmatan p hailing tentang kepentingan untuk memastikan persekitaran jalan raya di negara ini sentiasa selamat untuk semua," katanya.

JPJ BUKAN NAK CARI SALAH

Sejak Ops Merah dilancarkan pelbagai reaksi yang diterima daripada netizen, ada yang baik dan tidak kurang yang mempertikaikan tindakan JPJ yang didakwa sengaja mencari kesalahan penunggang motosikal.

Menjelaskan perkara tersebut, Lokman memberitahu, tindakan JPJ itu demi kebaikan para penunggang motosikal sendiri kerana statistik serta data yang dikeluarkan mendapati, peratusan tertinggi kemalangan maut terdiri daripada golongan itu.

"Kita dapati peluang untuk pengguna motosikal terutamanya penunggang p-hailing untuk terlibat dalam kemalangan adalah tinggi.

"Jadi, Ops Merah yang kita laksanakan bukan bertujuan untuk menyaman, namun memastikan penunggang motosikal ini mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan," katanya.

Tegas beliau, peraturan lalu lintas menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mematuhinya.

"Peraturan lalu lintas amat penting untuk mengelakkan risikonya berlaku kemalangan, yang bukan sahaja kepada diri sendiri malahan kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Bila kita lihat kadar kesalahan yang dicatatkan ini, ia agak membimbangkan, ini menunjukkan kesedaran tentang kepatuhan peraturan jalan raya masih rendah dan ini harus ditangani,'' tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca