KEPUTUSAN-keputusan yang dicapai antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) minggu lalu mencerminkan hasrat kedua-dua negara untuk mengukuhkan hubungan dua hala. Minggu lalu... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN-keputusan yang dicapai antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) minggu lalu mencerminkan hasrat kedua-dua negara untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

Minggu lalu penulis melahirkan hasrat agar pemimpin kedua-dua negara mementingkan isu rakyat bawahan seperti kemudahan perjalanan pasca pandemik dan isu kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia.

Di akhir pertemuan, Ismail Sabri memaklumkan Malaysia dan Indonesia bersetuju melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement (TCA) atau Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) mulai Januari 2022.

Inisiatif koridor perjalanan itu dikatakan akan bermula dengan perjalanan udara Kuala Lumpur-Jakarta dan Kuala Lumpur-Bali serta sebaliknya.

Walaupun belum jelas prosedur dan aturan, pastilah persefahaman itu akan lebih memudahkan perjalanan rakyat kedua-dua negara berbanding sebelum ini.

Selepas hampir dua tahun perjalanan merentasi sempadan tidak diperketatkan bagi mengekang pandemik, kelonggaran pergerakan itu sangat penting terutama bagi memulihkan semula sektor perniagaan dan pelancongan.

Indonesia merupakan negara kedua yang akan mengadakan kerjasama VTL dengan Malaysia. Sebelum ini Malaysia telah mengumumkan kerjasama VTL dengan Singapura yang akan bermula 29 November ini.

Aspek kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia turut diberi keutamaan dalam pertemuan tersebut.

Walaupun kebanyakan rakyat mahukan tenaga kerja asing dikurangkan, namun kebergantungan sebahagian perkhidmatan ekonomi kepada tenaga kerja asing tidak dapat dielakkan.

Ismail Sabri memberi jaminan Malaysia akan terus memelihara kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia serta memuktamadkan prosedur baharu Pengambilan dan Perlindungan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia dalam masa terdekat.

Keprihatinan Perdana Menteri menyelesaikan isu yang dekat di hati rakyat Indonesia pasti akan memberi imej lebih positif kepada negara.

Perkongsian budaya, cara hidup, cita rasa dan bahasa sepatutnya membolehkan kegiatan ekonomi serta perniagaan kedua-dua negara berkembang secara bersama dan saling menyokong.

Namun, kecurigaan dan iri hati antara rakyat dua negara perlu dipulihkan jika kita mahu merebut peluang pertumbuhan ekonomi Indonesia yang lebih besar.

Jika ditinjau dalam kalangan rakyat Indonesia secara umumnya, produk Malaysia sering menjadi pilihan akhir kerana situasi kecurigaan itu.

Bagaimanapun di sebalik skeptisme itu, kemasukan jumlah pelaburan Malaysia ke Indonesia sebanyak AS$12.53 bilion (RM52.02 bilion) pada suku kedua tahun ini mencerminkan keyakinan usahawan negara terhadap potensi dan peluang di negara tersebut.

Walaupun isu budaya sering dianggap remeh dalam hubungan diplomatik serta ekonomi, namun kebanyakan konflik massa dan kecurigaan membabitkan Malaysia-Indonesia lebih banyak terkait soal budaya berbanding ketenteraan dan sempadan.

Kedua-dua negara telah beberapa kali berada dalam situasi kejanggalan diplomatik kerana perbalahan budaya dan warisan.

Justeru, komitmen pertemuan Ismail Sabri–Jokowi menambah item warisan kebudayaan bersama dalam senarai Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) adalah inisiatif sangat besar dalam mencorakkan hubungan diplomatik antara dua negara pada masa hadapan.

Pun begitu, jelas Ismail Sabri yang diiringi Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien tidak mengabaikan aspek keselamatan kerana kita berkongsi sempadan yang panjang dan terbuka dengan Indonesia.

Kedua-dua negara mengambil pendirian pertikaian Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berlandaskan universally recognised principles of International law termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ismail Sabri dan Hishammuddin turut dibawa melawat fasiliti produk ketenteraan dan komersial Indonesia, sekali gus mencerminkan hasrat dua negara untuk mengadakan kerjasama lebih erat dalam bidang keselamatan serantau.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca