KENYATAAN dangkal dan menjengkelkan yang sering kita dengar daripada agensi penguatkuasaan apabila berlaku sesuatu yang menyentuh kepentingan awam adalah ‘kita belum terima aduan’. Semua orang tahu termasuk pegawai penguat kuasa sendiri... Klik di sini untuk terus membaca

KENYATAAN dangkal dan menjengkelkan yang sering kita dengar daripada agensi penguatkuasaan apabila berlaku sesuatu yang menyentuh kepentingan awam adalah ‘kita belum terima aduan’.

Semua orang tahu termasuk pegawai penguat kuasa sendiri bahawa harga barang pengguna terutama makanan amat terdedah kepada manipulasi harga, mutu dan bekalan.

Jadi, setiap kali membaca atau mendengar alasan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP ) misalnya, yang mengatakan mereka belum atau tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna, saya tertanya-tanya adakah pegawai kerajaan terbabit makan gaji buta?

Salah satu peranan hakiki mereka adalah menguatkuasakan dan memantau undang-undang serta peraturan mengenai bekalan, harga dan mutu barangan pengguna. Ia membawa kita kepada isu harga bahan makanan harian khususnya ayam.

Pada 9 November lalu, pemilik rangkaian pasar raya Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin dilaporkan berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan segera menangani isu kenaikan harga makanan tersebut.

Beliau berkata, pembekal mendakwa kenaikan harga berpunca daripada peningkatan harga dedak dan kekurangan tenaga buruh.

Katanya, rangkaian pasar raya itu hanya mendapat 60 peratus sahaja bekalan diperlukan.

Saya telah beberapa kali mengulas mengenai ketidakselarian dasar dan rancangan berkaitan bekalan makanan walaupun Malaysia mempunyai ciri-ciri untuk menjadi negara pengeluar makanan berjaya.

Sebaliknya kita gagal teruk dalam hal ini sehingga terpaksa bergantung kepada import untuk mendapatkan makanan, hatta makanan yang boleh kita keluarkan sendiri.

Bukan sedikit bahan makanan yang kita import. Pada 2019, nilainya kira-kira RM51.46 bilion dan meningkat berterusan sejak 2012. Ia menyebabkan harga makanan kita sangat terdedah kepada pengeluaran makanan dunia dan nilai mata wang kita.

Untuk tempoh jangka pendek, harga makanan dunia meningkat kerana pengeluaran jatuh akibat pandemik.

Di Malaysia pun, hal itu berlaku akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan kekurangan buruh import.

Mungkin tidak ramai orang tahu masalah lebih merisaukan dan merumitkan dalam usaha menstabilkan harga makanan adalah kemerosotan jangka panjang nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia.

Peranan kadar tukaran mata wang sangat penting dalam perdagangan antarabangsa kerana kita perlu membeli mata wang asing, misalnya dolar Amerika untuk membayar harga barang-barang yang kita import.

Tidak banyak negara dan pedagang antarabangsa menerima ringgit sebagai bayaran. Bila kadar tukaran ringgit merosot, harga barang import akan naik secara automatik.

Malangnya, sejak kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi membatalkan perintah kawalan terhad tukaran mata wang zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, nilai ringgit terus merosot.

Hanya untuk satu tempoh lebih kurang enam tahun, kadar tukaran ringgit turun di bawah kadar kawalan RM3.80 bagi setiap dolar Amerika iaitu antara pertengahan 2005 hingga pertengahan 2015.

Sejak pertengahan 2015 hingga kini, kadar tukaran ringgit merosot. Jumaat lalu, untuk mendapatkan AS$1 kita perlu membayar RM4.15 atau 35 sen lebih tinggi daripada kadar ikatan RM3.80.

Sejak Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober lalu, kadar tukaran ringgit kepada dolar boleh dikatakan beku sekitar RM4.14 dan RM4.17.

Kesimpulannya, pihak berkuat kuasa wajib lebih cergas dan tegas memantau bekalan, harga serta mutu barangan, khususnya bahan makanan. Alasan tiada aduan adalah dangkal dan curi tulang.

Dari sudut bekalan pula, kita tidak boleh mengubah dasar jaminan makanan (food security) sesuka hati dengan memberi alasan yang tidak masuk akal.

Kita wajib memandang serius usaha menambah pengeluaran tempatan dengan mengambil kira kos pengeluaran dan harga yang perlu dibayar oleh pengguna.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca