PEKERJAAN merupakan talian hayat mana-mana ekonomi. Ia membolehkan kita mencari sesuap nasi untuk menyara keluarga, menjana pendapatan dan juga mewujudkan peluang pekerjaan lain untuk rakyat kita. Pekerjaan juga menyuntik rasa bangga dan... Klik di sini untuk terus membaca

PEKERJAAN merupakan talian hayat mana-mana ekonomi. Ia membolehkan kita mencari sesuap nasi untuk menyara keluarga, menjana pendapatan dan juga mewujudkan peluang pekerjaan lain untuk rakyat kita.

Pekerjaan juga menyuntik rasa bangga dan memberi hala tuju dalam kehidupan berjuta-juta rakyat Malaysia yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Apabila Covid-19 melanda negara sekitar Mac 2020, di samping menjejaskan sistem kesihatan awam, pekerjaan rakyat Malaysia turut terjejas teruk.

Keperluan sekatan perjalanan dan penutupan ekonomi untuk membendung penularan wabak ini menyebabkan banyak bisnes ditutup terutamanya dalam sektor peruncitan dan pelancongan, menyukarkan rakyat untuk mencari rezeki.

Sepanjang sesi turun padang, saya ke seluruh negara sejak dilantik sebagai Menteri Kewangan, saya dapati pekerjaan adalah kebimbangan utama dalam kalangan rakyat kita.

Walaupun bantuan langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat adalah antara teras utama di dalam respons kerajaan bagi meringankan beban rakyat, harapan utama mereka adalah untuk kembali bekerja disebabkan hutang yang semakin menimbun.

Inilah sebabnya Kementerian Kewangan (MOF) mengutamakan penciptaan dan pengekalan pekerjaan dalam usaha kami untuk mengurangkan impak ekonomi yang merudum akibat Covid-19.

WUJUD PELUANG KERJA BAHARU

Kami telah mencadangkan penubuhan Majlis Pekerjaan Kebangsaan (NEC) pada Disember 2020, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beberapa pasukan petugas khas yang diuruskan oleh pelbagai kementerian menyokong NEC dalam memantau pelaksanaan pelbagai inisiatif penciptaan pekerjaan. Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) di bawah MOF menjadi urusetia bagi NEC.

Sukacita juga saya berkongsi bahawa setakat 31 Oktober, sejumlah 462,051 peluang pekerjaan baharu telah diwujudkan melalui 27 inisiatif.

Kita telah secara konsisten berjaya melepasi agregat unjuran bulanan yang ditetapkan. Ia bermakna kita berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan menjelang Disember ini.

Bagi memastikan graduan kita mendapat pekerjaan, MOF melalui Bajet 2021 memperuntukkan RM2 bilion untuk skim Penjana Kerjaya. Sebagai insentif untuk majikan mengambil pekerja, kerajaan memberi subsidi sehingga 60 peratus daripada gaji pekerja baharu selama enam bulan.

Majikan yang meningkatkan kemahiran pekerja mereka turut diberi insentif. Seramai 211,411 pekerja telah menerima manfaatnya, melepasi sasaran 200,000 pekerja bagi tahun 2021.

Selain itu, Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP) turut memberikan pengalaman bekerja kepada graduan dan pencari kerja dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam tempoh yang sukar ini.

Setakat ini, MySTEP telah berjaya menyediakan pekerjaan kepada 55,833 peserta – 39,153 di sektor awam dan 16,680 di GLC – hampir 6,000 pekerjaan melepasi sasaran 50,000 untuk tahun ini.

LANDASAN TEPAT

Saya percaya saat paling getir telah berlalu. Kadar pengangguran negara berada pada paras 4.5 peratus pada September tahun ini, berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020 dan tren penurunan ini dijangka berterusan.

Berbanding penguncupan ekonomi sebanyak 6.4 peratus untuk sembilan bulan pertama pada 2020, KDNK sembilan bulan pertama tahun ini mengembang sebanyak tiga peratus.

Ini bermakna kita berada di landasan yang betul untuk mencapai unjuran pertumbuhan sebanyak tiga hingga empat peratus bagi 2021.

Pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial bermakna lebih banyak pekerjaan akan diwujudkan, insya-ALLAH. Tetapi kita belum boleh berehat kerana perjuangan ini masih belum tamat.

Kerajaan tidak hanya bergantung kepada pemulihan ekonomi yang lebih pantas selepas kemerosotan yang berpanjangan akibat Covid-19, sebaliknya RM4.8 bilion turut diperuntukkan untuk mewujudkan 600,000 pekerjaan melalui program JaminKerja bagi tahun 2022.

Ia termasuk meningkatkan sasaran bagi MySTEP, iaitu untuk menempatkan 80,000 pekerja, 60 peratus lebih tinggi daripada sasaran tahun ini. Kerajaan turut menyediakan peruntukan RM2 bilion melalui insentif penggajian JaminKerja yang akan memanfaatkan 300,000 pencari kerja.

Saya juga musykil mengapa sesetengah pihak melihat kepada inisiatif kerajaan secara berasingan hanya untuk menyuarakan ketidakpuasan kepada polisi memperkasakan bumiputera.

Jika kita ingin melihat sesuatu inisiatif secara berasingan, hakikatnya sebahagian besar Program Subsidi Upah yang bernilai RM20 bilion dan 80 peratus Program Special Relief Facility bernilai RM10 bilion, telah dimanfaatkan oleh syarikat bukan bumiputera.

Kita harus sedar bahawa inisiatif kerajaan perlu dilihat secara menyeluruh dan ia memanfaatkan semua lapisan Keluarga Malaysia.

Selain ketersediaan pekerjaan, kerajaan juga peka terhadap isu-isu struktur dalam sektor pekerjaan kita, seperti ketidakpadanan kemahiran dan pengangguran terutamanya dalam kalangan belia.

Sebagai langkah pertama untuk menyelesaikan isu ketidakpadanan pekerjaan, NEC berusaha memadankan program latihan kepada kehendak industri, dan menetapkan KPI agar sekurang-kurangnya 80 peratus pelatih di bawah program yang dibiayai kerajaan akan mendapat pekerjaan. Alhamdulillah, sasaran itu telah pun dicapai.

Kita juga perlu melihat keusahawanan sebagai pencipta pekerjaan. Logiknya mudah: seseorang tanpa ijazah mungkin tidak mendapat gaji yang baik dalam pekerjaan tradisional, tetapi dia boleh meraih pendapatan sambil membina kekayaan jika dia memulakan perniagaan, walaupun bermula secara kecil-kecilan.

Keusahawanan bukan sahaja menghapuskan jurang pendidikan tetapi juga merupakan contoh sempurna bagi hadis yang mengatakan 90 peratus rezeki adalah daripada perniagaan. Ini tidak boleh dinafikan kerana keusahawanan juga memberi manfaat kepada masyarakat.

Perniagaan tempatan yang berkembang pesat mewujudkan pekerjaan, mengitarkan sumber dalam masyarakat, dan sering menarik sumber daripada masyarakat sejagat.

Sejujurnya, langkah MOF untuk sektor seperti pelancongan, agroindustri dan industri kreatif adalah berteraskan kepada pemupukan keusahawanan.

Kita juga harus ingat bahawa lebih kurang 70 peratus pekerjaan di negara ini dicipta oleh PKS. Dan Bajet 2022 menyokong keusahawanan, bukan sahaja melalui pembiayaan PKS, tetapi juga melalui langkah yang memberi insentif kepada penerapan pendigitalan dan teknologi.

BIDANG TVET CIPTA PEKERJAAN

Satu lagi ialah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang pada hemat MOF amat penting dalam penciptaan pekerjaan. Sehubungan itu, MOF telah memperuntukkan RM6.6 bilion untuk pembangunan TVET pada 2022.

Tumpuan khusus perlu diberi kepada TVET untuk melengkapkan anak-anak kita dengan kemahiran teknikal, agar masa depan tenaga kerja Malaysia lebih cerah, terutamanya bagi mereka yang kurang kecenderungan akademik tetapi mempunyai bakat vokasional yang boleh diasah.

Suka saya berkongsi bahawa kedua-dua TVET dan Keusahawanan diberi tumpuan khusus di bawah NEC.

Dengan prospek yang semakin cerah untuk pemulihan ekonomi yang kukuh bagi Malaysia pada tahun 2022, lebih banyak pekerjaan boleh diwujudkan.

Bagi MOF, kehidupan dan mata pencarian adalah sama pentingnya, dan buat masa ini, tanggungjawab utama MOF melalui Bajet 2022 adalah untuk mencipta mata pencarian bagi membantu kehidupan.

* Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca