KERAJAAN Malaysia melalui Kementerian Luar berusaha memperkukuhkan keupayaan diplomasi budaya negara. Kementerian telah melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri... Klik di sini untuk terus membaca

KERAJAAN Malaysia melalui Kementerian Luar berusaha memperkukuhkan keupayaan diplomasi budaya negara.

Kementerian telah melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Setiausaha Kebudayaan Kementerian Luar dan penerbit serta pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof sebagai Perunding Kreatif.

Pada masa sama, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah mengadakan sesi dialog bersama Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) bagi membantu kementerian menjayakan diplomasi budaya.

Apakah yang dimaksudkan dengan diplomasi budaya? Apakah objektif diplomasi budaya? Apakah aktiviti yang boleh dianggap sebagai diplomasi budaya?

Adakah diplomasi budaya diamalkan oleh negara-negara lain dan sejauh mana diplomasi budaya mampu membantu menjayakan kepentingan negara?

Pertama, diplomasi budaya adalah sebahagian diplomasi awam atau public diplomacy dan soft power. Perkara yang merangkumi diplomasi budaya termasuk pertukaran idea, kesenian, bahasa dan kebudayaan antara negara-negara untuk memupuk saling persefahaman bersama.

Kedua, objektif diplomasi budaya adalah usaha mempromosikan nilai-nilai tradisi, idea dan ketamadunan sesebuah negara di peringkat antarabangsa bagi tujuan politik, ekonomi serta sosial.

Pada dasarnya, diplomasi budaya bertujuan untuk mendedahkan ‘jiwa negara’ kepada dunia agar imej dan pengaruh dapat ditingkatkan dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Ia turut menggalakkan keamanan melalui usaha pemahaman mengenai identiti budaya, bahasa, kepercayaan dan sejarah sesebuah negara.

Diplomasi budaya juga dianggap sebagai soft power kerana ia kekuatan sesebuah negara dan mampu membawa manfaat bagi mencapai kepentingan negara.

Ia berbeza dengan hard power seperti militari dan ekonomi yang mempunyai unsur kekerasan serta paksaan untuk memperluaskan pengaruh.

Soft power lebih mengutamakan kaedah psikologi dan cara damai seperti pujukan. Namun, soft power mempunyai kelebihan tersendiri dalam usaha mempengaruhi negara lain.

Misalnya, ia tidak menggunakan unsur paksaan dan kekerasan. Jadi, masyarakat akan benar-benar menghayati perhubungan dengan negara lain dan bukannya atas sebab paksaan.

Ketiga, aktiviti diplomasi budaya amat luas dan boleh dibahagi kepada tujuh kategori iaitu kesenian, bahasa, pertukaran kepakaran, dialog, perfileman dan dokumentari, pameran serta makanan.

Aktiviti kesenian merangkumi penghasilan kraf tangan, tarian, pertunjukan kebudayaan dan nyanyian lagu-lagu tempatan.

Negara harus mempromosi aktiviti kesenian melalui kedutaan di luar negara, manakala bahasa adalah penawaran kursus bahasa kepada penduduk luar negara sama ada melalui institusi pengajian tinggi dan kedutaan.

Negara seperti Britain, Amerika Syarikat (AS), China dan Jerman mempunyai institusi khas untuk mengajar bahasa mereka di luar negara, misalnya British Council, Malaysian-American Commission on Educational Exchange (MACEE), Institut Kongzi dan Goethe Institut.

Malaysia juga harus berusaha memperkenalkan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan universiti di luar negara untuk menawarkan kursus bahasa Melayu.

Selain itu, diplomasi budaya juga dilakukan dengan pertukaran kepakaran khasnya dalam bidang pendidikan, selain dialog untuk meningkatkan persefahaman antara budaya dan agama.

Penghasilan filem dan dokumentari tempatan untuk ditayangkan di peringkat antarabangsa juga sebahagian usaha diplomasi budaya. Kisah sejarah tempatan seperti Hang Tuah, Puteri Gunung Ledang dan Mahsuri boleh diantarabangsakan melalui penghasilan filem mengenai mereka.

Kerajaan dan NGO boleh juga menyertai pameran antarabangsa untuk memaparkan kebudayaan serta kesenian tempatan.

Akhir sekali adalah makanan dan buah-buahan, misalnya durian musang king. Masakan tempatan seperti nasi lemak, roti canai, nasi ayam dan teh tarik menjadi produk utama identiti Malaysia.

Kebanyakan negara mempunyai organisasi khas bagi membantu mempromosikan diplomasi budaya masing-masing seperti Institut Francais, Alliance Francaise (Perancis), Korean Foundation, Korean Cultural Center (Korea Selatan) dan Japan Foundation (Jepun).

Malaysia amat berpotensi untuk mengembangkan diplomasi budaya dan sudah tiba masa untuk Malaysia memperkasakan diplomasi budaya Malaysia.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca