JARAK umur antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan adik bongsunya, Datuk Seri Nazir (kini Tan Sri) sangat jauh yang sama sekali tidak memungkinkan mereka menjadi buddy atau berkongsi rahsia peribadi. Di sebabkan itu, hubungan mereka boleh... Klik di sini untuk terus membaca

JARAK umur antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan adik bongsunya, Datuk Seri Nazir (kini Tan Sri) sangat jauh yang sama sekali tidak memungkinkan mereka menjadi buddy atau berkongsi rahsia peribadi.

Di sebabkan itu, hubungan mereka boleh jadi sangat formal. Mereka tidak berkongsi permainan sama semasa kecil dan bukan juga ‘saudara sebaya’. Itu pasti.

Situasi ini sama seperti Tan Sri Shahrir Samad dengan adiknya, Khalid Samad.

Kedua-duanya mengakui yang mereka tidaklah rapat atau akrab disebabkan jarak umur.

Ketika sang abang sedang melalui proses peremajaan di kolej atau universiti, si adik masih di bangku sekolah rendah. Masih berhingus. Jadi di situ sahaja telah ada gap.

Dalam kes Nazir, ketika abang sulungnya Najib mengambil alih tempat bapanya, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Ahli Parlimen Pekan, beliau baru berusia sembilan tahun. Masih di darjah tiga.

Sedangkan Najib sudah tamat pengajian tingginya di Nottingham, United Kingdom dan berusia 23 tahun. Jadi jarak umur antara mereka sangat jauh hinggakan Najib boleh menjadi bapa kepada Nazir.

Hakikatnya, memang Najib mengambil alih peranan bapa selepas Tun Razak meninggal akibat leukemia pada usia yang muda iaitu 53 tahun.

Kini menerusi memoir Nazir yang baru diterbitkan beberapa minggu lalu, siapa sahaja dengan pantas akan dapat memahami situasi dihadapi oleh Nazir apabila beliau menerima ‘arahan’ demi ‘arahan’ daripada seorang abang yang jarak umurnya bukan seperti seorang abang dengan adik tetapi seorang ayah dengan anak.

Apatah lagi, abang besar itu adalah seorang Perdana Menteri. Dan apabila kita selesai membaca memoir Nazir, kita akan dapat merasainya begitu.

Dalam kes Nazir, ia lebih getir kerana beliau bukan sahaja membawa nama abangnya seorang Perdana Menteri tetapi juga legasi nama keluarganya iaitu nama baik Tun Razak.

Jarang-jarang ada dua orang dalam satu keluarga bergelar Perdana Menteri.

Jasa Razak tidak akan dilupakan kerana ketika era pemerintahannya, kita diperkenalkan dengan Dasar Ekonomi Baru yang membawa manfaat sangat besar dan signifikan kepada bangsa Melayu.

Kemudian, selepas beliau pulang dari lawatan rasmi ke China pada 1974, Felda diperkenalkan – satu sistem rancangan pembangunan tanah yang teratur dan tersusun belum pernah disaksikan oleh negara ini.

Najib juga kemudiannya turut mencatat sejarah, apabila beliau menjadi Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun dan bintang politiknya terus mencanak sehinggalah bergelar PM keenam pada 2009.

PEMBONGKARAN SKANDAL 1MDB

Dalam kata-kata Nazir sendiri, beliau sedia maklum akan situasi yang dihadapi oleh abangnya. Najib mewarisi sebuah parti yang sistem payungnya sangat besar dan rumit.

Menjelang 2013, sistem payung atau naungan yang memerlukan sejumlah wang besar untuk diurus, menjadi bertambah buruk dengan pembongkaran skandal 1MDB dan bagaimana seorang usahawan bernama Jho Low, mula muncul di media-media sosial dan internet.

Bersama-samanya dan dengan lebih banyak maklumat mengenai skandal ini timbul, tiba-tiba wang tabung 1MDB ini muncul dalam akaun peribadi Najib.

Ia menjadi isu besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 tetapi disebabkan status skandal itu masih bersifat khabar angin dan gosip, Najib terselamat.

Namun lama kelamaan semakin ramai mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan isu 1MDB ini dan Nazir sendiri di dalam bukunya turut mempersoalkan kesahihan wang yang dikreditkan ke dalam akaun bank abangnya itu apakah wang ihsan sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.

Semakin banyak persoalan dan pertanyaan yang dibangkitkan, Nazir dapati hubungannya dengan Najib menjadi semakin renggang dan tegang sehingga pertanyaan mengenai 1MDB tidak boleh dibangkitkan langsung dalam perbualan keluarga mereka.

Malah beliau dilabel sebagai cemburu. Nazir menceritakan segala-galanya di dalam memoir berjudul What’s in a Name itu tanpa berselindung termasuklah satu peristiwa bagaimana isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dalam satu majlis keluarga menarik tangan Najib dan menghalangnya daripada terus bercakap dengan Nazir kerana terlalu marah.

Sebelum itu, Nazir dan abang-abangnya yang lain telah bertemu dengan Najib dan mendesak beliau berterus terang tentang skandal 1MDB kerana isu mengenainya bukan sahaja boleh menumbangkan kerajaan tetapi mencemarkan nama baik keluarga mereka.

Pada akhirnya kedua-dua kebimbangan mereka, adik-beradik menjadi kenyataan.

Barisan Nasional tumbang pada PRU 2018 dan nama keluarga Razak tercemar sebaik sahaja Najib diheret ke mahkamah selepas itu.

Oleh itu, siapa saja boleh memahami dan membuat kesimpulan bahawa tiada lagi sebab untuk Nazir berselindung di sebalik kata-kata dan tulisannya dalam memoir ini, yang mana buat pertama kalinya beliau mendedahkan kandungan perbualan beliau, Najib dan Rosmah tanpa berselindung – sekali gus menjadikan kandungan memoir ini bagaikan pukulan terakhir yang pedih lagi memeritkan di atas apa yang telah dan sedang dilalui oleh Najib sekarang.

Bagi Rosmah, kritikan ke atas Najib sama seperti satu pengkhianatan. Bagi Nazir, maruah dan nama Allahyarham ayahandanya yang harus didahulu dan dipertahankan.

Selebihnya hanya tinggal sejarah.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca