PADA Jumaat, suhu perbalahan politik di antara parti-parti blok kerajaan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah mencapai tahap kemuncak.
Semua ini gara-gara kenyataan tegas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi amaran kepada Ketua UMNO bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad agar tidak mencabarnya menekan 'butang' penting yang boleh menyebabkan kejatuhan beberapa kerajaan negeri dan Pusat.
Amaran serius itu dilemparkan Muhyiddin sejurus Shahrir mencabar bekas Perdana Menteri itu supaya segera mengarahkan pemimpin PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor jika beliau berani.
Cabaran Shahrir itu pun ada asasnya. Kenyataan beliau itu adalah reaksi tindak balas terhadap kata-kata Muhyiddin yang mendakwa kerajaan negeri Johor pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak ditumbangkan atas sifat prihatin PN kepada rakyat.
Sebenarnya konflik perbalahan BN dan PN sudah pun bermula apabila kedua-dua koalisi itu memutuskan tidak bekerjasama di antara satu sama lain bagi menghadapi PRN Melaka.
Bahkan, beberapa pemerhati politik menjangkakan implikasi PRN Melaka sebenarnya bakal mengubah pola politik di peringkat Pusat dengan kemungkinan besar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan lebih awal.
Meskipun Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan cuba mengendurkan konflik berkenaan dengan mengatakan pertembungan antara BN dan PN tidak lebih sekadar perlawanan persahabatan.
Namun, hakikat sebenar adalah impak kerosakan yang besar dalam hubungan parti-parti kerajaan telah pun berlaku dan semakin sukar untuk dipulihkan.
Perkara itu diakui oleh bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang menyifatkan konflik perbalahan di antara BN dan PN atau secara spesifiknya antara UMNO dan Bersatu, sudah lebih bersifat peribadi dan semakin parah menjelang hari pengundian 20 November ini.
Hal ini ditambah apabila Muhyiddin 'termakan' provokasi Shahrir sekalipun bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu ketika ini bukan lagi pemimpin penting dalam UMNO.
"Saya fikir kempen PRN Melaka sudah menjadi medan BN dan PN merungkai dendam peribadi dengan kedua-dua koalisi menjadikan persaingan meluahkan 'kemarahan' antara satu sama lain semakin parah saban hari.
"Saya jangkakan keputusan PRN Melaka akan memberi kesan langsung kepada kestabilan kerajaan Pusat.
"Hal ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini hanya menandatangani perjanjian gencatan politik dengan PH, bukannya bersama PN dan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Mengenai reaksi balas mengejutkan Muhyiddin memandangkan beliau selama ini dianggap pemimpin cool, Mohamad Khir tidak menolak kemungkinan Presiden Bersatu itu masih marah dengan tindakan segelintir ahli Parlimen UMNO yang menjatuhkan beliau daripada kedudukan Perdana Menteri sebelum ini.
Tambah veteran UMNO itu, provokasi Shahrir itu seolah-olah menghidupkan 'api dalam sekam' yang telah lama dipendam Muhyiddin dengan beliau meramalkan PH akan mendapat manfaat sekiranya episod serang-menyerang di antara BN dan PN berterusan.
"Jangan kerana gajah lawan gajah, pelanduk yang dapat manfaat. Kalau perbalahan peribadi antara UMNO dan Bersatu berterusan sepanjang tempoh berkempen PRN, saya cuma nampak PH yang untung.
"Seharusnya parti-parti dalam kerajaan melupakan dendam peribadi sesama mereka, fokus kepada manifesto pilihan raya dan tidak menggunakan taktik memburukkan pihak lain bagi mencapai kemenangan.
"Paling penting, kedua-dua koalisi BN dan PN jangan menambahkan lagi minyak pada api 'kemarahan' masing-masing," katanya.
JANGAN JADIKAN JOHOR MANGSA
Sentimen sama turut dikongsi Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang menyeru parti-parti dalam kerajaan Pusat agar tidak melaksanakan sesuatu perkara hanya berlandaskan kepentingan parti dan dendam kesumat peribadi.
Beliau turut berpandangan hubungan Pemuda BN dan PN masih erat di peringkat Pusat dengan kedua-dua sayap parti mengamalkan persaingan secara berhemah sepanjang PRN Melaka.
Jelas beliau, sekiranya mana-mana koalisi disahkan menang pilihan raya negeri itu, tiada isu perbalahan antara BN dan PN yang akan membawa implikasi berat di peringkat Pusat.
"Bagi saya, masing-masing kena berjiwa besar untuk menerima pandangan dan kritikan terhadap satu sama lain.
"Sebagai contoh, isu perbalahan antara Tan Sri Muhyiddin dan Tan Sri Shahrir. Tidak bolehlah hanya kerana konflik pergaduhan mereka berdua, kedudukan negeri Johor menjadi mangsa dengan Tuanku Sultan Johor juga sudah beri peringatan jangan menganggu gugat negeri berkenaan," katanya.
PERSAINGAN KUASA
Sementara itu, seorang pemimpin Bersatu tidak merasakan tindakan provokasi Shahrir mewakili pandangan atau pendirian keseluruhan akar umbi dan kepimpinan UMNO terhadap PN.
Bagi Ketua Penerangan Armada Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, tindak-tanduk segelintir pemimpin UMNO terutamanya 'kluster mahkamah' cuba memecah-belahkan hubungan BN dan PN adalah disebabkan mereka mahu memastikan agenda pengekalan kuasa mereka di peringkat parti tercapai.
Tambah beliau, situasi pergolakan politik yang berlaku di Melaka, Sabah dan kerajaan Pusat ketika ini sebenarnya kesan persaingan pemusatan kuasa dan pergolakan dalaman UMNO dengan kelompok 'kluster mahkamah' ini dilihat sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan dominasi hagemoni kelompok warlord tertentu.
"Peristiwa kejatuhan kerajaan negeri Parti Warisan Sabah (Warisan) di Sabah, kerajaan PN di Pusat dan kerajaan negeri UMNO di Melaka adalah indikator jelas it's all about UMNO dalam memenuhi agenda politik peribadi mereka.
"Secara fakta, Bersatu tidak pernah terlibat dalam agenda menjatuhkan kerajaan demi mengekalkan dominasi politik parti dan sekiranya perkara itu benar, Muhyiddin tidak akan sesekali meletakkan jawatan PM," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Ashraf Mustaqim berpandangan solusi penamat konflik antara BN dan PN hanya tercapai sekiranya pemimpin UMNO berani menonjolkan perubahan dengan tidak lagi mendukung kepimpinan warlord yang dipelopori 'kluster mahkamah'.
Jelasnya, perkara itu terserah kepada pemimpin UMNO yang dilihat lebih rasional dan progresif seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau Khairy Jamaluddin untuk memainkan peranan lebih besar dalam merangka perubahan UMNO.
Klik di sini untuk terus membaca