SHAH ALAM - Menghidap Penyakit Jarang Jumpa (PJJ) di Malaysia adalah perkara pahit yang terpaksa ditelan namun apa yang lebih menyedihkan adalah apabila seorang doktor pelatih terpaksa melupakan kerjayanya akibat kesihatan yang tidak memuaskan.
Nur Farah Nabilah Shuib berkata, dia dinasihatkan berhenti menjadi doktor pelatih atas faktor keselamatan kerana sering terdedah kepada pelbagai jenis kuman yang akan mengancam nyawanya kerana dia telah disahkan menghidap penyakit kronik, miastenia gravis (MG).
"Disebabkan ubat-ubatan yang saya perlu ambil, saya tidak dapat meneruskan khidmat sebagai doktor pelatih kerana mudah mendapat jangkitan.
"Bekerja di hospital mempunyai pelbagai jenis kuman yang boleh mengancam nyawa kerana sistem imun saya tidak mampu melawan jangkitan seperti individu lain yang sihat,” katanya.
"Atas faktor keselamatan, saya dinasihatkan berhenti dan boleh memohon semula sekiranya saya sudah tidak bergantung atau tidak memerlukan lagi ubat-ubatan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Nur Farah turut berkongsi bahawa dia berasa amat sedih dengan keputusan itu kerana menjadi doktor merupakan impiannya sejak kecil.
"Tentunya saya amat kecewa kerana saya telah berusaha keras untuk menamatkan pengajian dan sudah banyak wang serta tenaga dihabiskan untuk menjadi seorang doktor.
"Akibat penyakit itu, saya terpaksa mengambil banyak cuti namun disebabkan saya merupakan doktor kontrak, kami hanya layak menerima cuti sakit maksimum tiga bulan sebelum dinasihatkan berhenti.
"Kegagalan meneruskan kerjaya doktor membuatkan saya berasa sedih,” ceritanya.
Nur Farah berharap kerajaan dapat membuat polisi baharu yang membolehkan doktor kontrak yang menghidap penyakit kronik ditempatkan ke bahagian bukan klinikal bagi mengurangkan risiko jangkitan yang membahayakan nyawa mereka.
"Dalam polisi sekarang, apabila seorang doktor kontrak menghidap penyakit kronik seperti yang saya alami, kami tiada pilihan selain berhenti bekerja.
"Cadangan untuk memulakan semula latihan sebagai doktor pelatih dari awal sangat tidak relevan kerana ia amat sukar dan memakan masa yang lama.
"Contohnya, saya sudah hampir ke ‘garisan penamat’ namun akibat penyakit ini, saya terpaksa bermula dari awal dan ia semestinya bukan sesuatu yang mudah,” ujarnya.
Nur Farah yang berasal dari Perak berkata, dia mengalami simptom penyakit MG pada tahun 2018.
Pada masa itu, Nur Farah menjadi cepat letih, sakit kaki dan sukar untuk memandu pada waktu malam kerana mengalami penglihatan berganda.
"Pada 15 Jun 2021, saya mengalami krisis "miastenik” yang pertama. Suara saya menjadi sangat perlahan, sukar bernafas, otot leher dan kaki menjadi lemah sehingga saya sukar mencangkung bagi mengambil barang di lantai.
"Saya kemudiannya dimasukkan ke wad kecemasan untuk pemantauan rapi. Proses rawatan yang paling kurang menyenangkan adalah kesan sampingan daripada ubat-ubatan seperti ‘Prednisolone’ yang boleh menyebabkan tulang pesakit menjadi rapuh,” katanya yang masih bergantung kepada ubat-ubatan.
MG ialah gangguan autoimun yang jarang berlaku, berpunca kegagalan penghantaran impuls dari hujung saraf ke otot menyebabkan otot lemah dan mudah letih.
Kajian di Jepun dan Hong Kong menunjukkan, kes baharu penyakit MG yang dikesan di negara terbabit ialah lima kes dalam populasi sejuta penduduk setiap tahun.
Satu lagi kajian di Korea Selatan mendapati terdapat peningkatan jumlah pesakit MG terutama dalam kalangan lelaki berusia.
Klik di sini untuk terus membaca