SHAH ALAM - Penyakit Jarang Jumpa (PJJ) iaitu multiple sclerosis (MS) mungkin kelihatan normal pada penglihatan mata kasar, namun siapa sangka di sebalik itu, pesakit MS terpaksa menanggung keperitan yang tersembunyi.
Seorang ejen perniagaan, Nurin Nabihah Al Malek, 23, berkata, penyakit itu menyebabkan dirinya sukar untuk berjalan, kebas pada kaki dan tangan, rasa letih walaupun tidak melakukan apa- apa aktiviti, mempunyai penglihatan berganda dan hadapi masalah untuk berfikir.
"Penyakit MS adalah penyakit saraf yang ada kaitan dengan otak dan saraf tunjang. Saya mula merasakan simptom dari tahun 2015 dan ia datang dan pergi dengan sendirinya namun pada akhir tahun 2018, kaki saya mula sakit secara berterusan dan terasa susah untuk diangkat serta berasa pening berpanjangan.
"Doktor pakar dari pelbagai bidang seperti Neurologi, Oftalmologi, Ortopedik dan Radiologi telah melakukan beberapa siasatan dalam mengesan penyakit saya dengan cara mengambil air tulang belakang, melakukan pemeriksaan imbasan serta Pengimejan resonans magnetik (MRI) dan akhirnya, doktor mengesahkan saya menghidap penyakit MS tahap satu,” katanya.
Lebih menyedihkan, Nurin Nabihah berkata, penyakit MS tidak ada ubat untuk menyembuhkannya dan doktor agak sukar untuk memastikan punca sebenar penyakit itu.
"Penyakit ini kebiasaannya terjadi pada orang Barat dan jarang berlaku pada orang Asia. Namun, saya berpendapat ia mungkin disebabkan oleh tabiat pemakanan dan kurang pendedahan matahari sebagai sumber Vitamin D.
"Ramai yang berpendapat bahawa penyakit MS ini juga dikenali sebagai invisible disease kerana sesetengahnya memang nampak elok dari segi penampilan mereka di luar namun hakikatnya, mereka mempunyai kesakitan yang tersendiri,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca