[MUKADIMA] Pernah menjadi Ketua Menteri Melaka selama 22 bulan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari dianggap sebagai ayam tambatan gabungan parti politik itu bagi merampas semula pentadbiran kerajaan negeri Hang Tuah daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Apatah lagi dengan kem BN dan PN kini turut berseteru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, calon kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Katil ini melihat peluang PH untuk kembali mentadbir semakin terbuka.
Wartawan Sinar Harian, Nor Farhana Yaacob yang berada di Melaka, menemu bual Adly yang kini semakin giat berkempen terutama menerusi media sosial dalam usaha menawan hati pengundi negeri itu.
SINAR HARIAN: Bagaimana anda sebagai salah seorang calon heavyweight PH melihat situasi kempen PRN Melaka ketika ini?
ADLY ZAHARI: Kalau kita lihat selepas hari penamaan calon minggu lalu, fokus kita adalah untuk perkenalkan calon-calon PH.
Kita menggunakan banyak medium termasuk medium maya. Kita gunakan media sosial sebagai salah satu cara untuk memperkenalkan calon PH.
Keduanya, berdasarkan SOP yang agak ketat kita meneruskan edaran risalah dari rumah ke rumah. Kita juga tahu dalam kalangan anak muda ramai yang menggunakan medium baharu.
Kita juga tahu masa adalah faktor yang penting, jadi kita menggunakan peralatan baharu seperti skuter elektrik dan sebagainya supaya orang muda boleh mendapat maklumat dengan lebih cepat tentang calon kita.
Dalam masa sama kita menyediakan trak dan beberapa kemudahan lain supaya kita boleh sampaikan maklumat kepada masyarakat termasuk menggunakan pembesar suara dan seumpamanya.
- Bagaimana anda melihat mood pengundi kali ini?
Cabaran PRN Melaka adalah kekangan pengundi untuk keluar mengundi, tetapi kita tahu bahawa kesedaran anak Melaka kepada proses pilihan raya cukup tinggi. Kalau berdasarkan pengalaman saya turun membeli-belah di pasar malam atau pergi minum di kedai-kedai makan, kita boleh lihat respons masyarakat cukup baik. Mereka mempunyai kesedaran yang tinggi dan pastinya juga bijak untuk membuat pemilihan.
Mereka mungkin harus diberi penerangan agar memahami bahawa PRN ini adalah untuk tempoh lima tahun kerana ada sebahagian dalam kalangan mereka hanya faham pilihan raya ini sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15. Sedangkan PRN ini bukan untuk tempoh setahun dua tahun tapi lima tahun.
- Apakah cabaran kepada calon-calon dan penyokong dari segi penggunaan media sosial?
Sudah tentu masalah yang paling biasa adalah capaian internet agak rendah menyebabkan kempen media sosial di kawasan tertentu agak terhad. Itu adalah kekangan terutama bagi kami calon-calon parti pembangkang.
Bagaimanpun kita terus berusaha untuk pastikan bahan-bahan sebaran kita sampai kepada para pengundi.
Apakah usaha yang dilakukan bagi menawan hati pengundi di saluran satu dan dua? Kita tahu bahawa pengundi saluran satu dan dua ini (golongan muda) banyak juga dipengaruhi oleh ahli keluarga.
Sebab itu fokus kita adalah kepada anak-anak golongan muda ini dan juga golongan pertengahan supaya mereka memberikan kesedaran kepada ahli keluarga mereka yang lebih berusia betapa perlunya mereka keluar mengundi.
Keduanya adalah supaya mereka boleh jadi sebahagian penyampai maklumat kepada kita.
- Anda pernah dikaitkan dengan fahaman Syiah semasa menjadi Ketua Menteri tetapi anda sudah jelaskan anda berfahaman Sunni. Bagaimana jika isu Syiah kembali dibangkitkan oleh pihak lawan?
Setakat ini tidak ada isu Syiah ditimbulkan dalam politik pilihan raya ini. Komitmen kita adalah menyokong enakmen yang berkaitan Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) dalam Dewan. Kita pun sudah meyakinkan semua ahli pembangkang bukan Islam tentang keperluan umat Islam itu sendiri.
- PH sering kali dimomokkan dengan tempoh 22 bulan pentadbiran PH yang menderitakan rakyat, apa komen anda?
Sebenarnya kalau kita lihat memanglah mereka boleh membina persepsi itu tetapi 22 bulan kita mentadbir baik di Persekutuan mahupun di Melaka, memang banyak juga kesan baik kepada rakyat terutama dalam aspek seperti perumahan.
Banyak inisiatif termasuk melibatkan soal pendidikan. Kita wujudkan banyak kemudahan baharu, kita buang birokrasi dalam aspek bantuan kebajikan.
Saya fikir ini adalah keperluan-keperluan utama rakyat Melaka apatah lagi ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19. Kita juga memberi jaminan kesihatan rakyat menjadi keutamaan.
Klik di sini untuk terus membaca