SHAH ALAM - Tidak mustahil berlaku kejutan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hasil gerakan kempen secara senyap.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, tentunya wujud strategi tertentu memandangkan platform kempen sedia ada ketika ini sukar untuk dijadikan kayu pengukur siapa yang boleh mendahului undi.
Katanya, keadaan semasa menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) lebih menyerlah dalam persaingan merebut kerusi yang dipertandingkan.
Namun, beliau menyifatkan kekuatan yang ada pada Perikatan Nasional (PN) selaku parti kerajaan Pusat tidak boleh dipandang rendah.
"Jadi kita tidak tahu sejauh mana kerajaan Pusat ini membantu PN negeri. Adakah secara senyap berlaku gerakan membantu? Mungkin kita tidak nampak kerana (yang nampak) PN seolah-olah tidak efektif. Jadi mungkin itu yang akan jelas selepas PRN sekiranya PN buat kejutan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, kaedah kempen luar biasa amat diperlukan apabila masuk minggu kedua kerana peratusan pengundi yang keluar mengundi berpotensi menyumbangkan kepada sebarang kejutan.
"Kempen luar biasa mungkin melalui telefon, tidak siapa yang nampak. Pengundi akan dipanggil pulang dan kita tidak tahu strateginya. Adakah yang balik itu disediakan kenderaan dan penginapan,” katanya.
Pada masa sama, potensi undi memihak kepada calon Bebas perlu diambil kira atas faktor kekecewaan rakyat Melaka terhadap senario politik yang menjadi punca konflik pentadbiran kerajaan negeri itu.
"Jika dulu kita boleh nampak, siapa yang hadir ceramah. Kita sendiri boleh jadikan salah satu kayu pengukur. Tapi sekarang ini, calon Bebas juga ada peluang (menang). Kalau katakan pengundi nak buat protes, mereka undi Bebas.
"Kita juga tidak tahu bentuk gerakan senyap daripada Bebas.Untuk Bebas membentuk kerajaan tidak boleh, tapi calon yang menang boleh jadi pelengkap kepada parti yang tak cukup kerusi (majoriti),”katanya.
Klik di sini untuk terus membaca