PADA 11 November lalu ketika membuat lawatan ke Bandung, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa dasar industri pertahanan dan keselamatan negara dijangka dilancarkan dalam tempoh satu atau dua bulan lagi. Dasar... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 11 November lalu ketika membuat lawatan ke Bandung, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa dasar industri pertahanan dan keselamatan negara dijangka dilancarkan dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

Dasar industri pertahanan dan keselamatan negara yang sedang digubal, menurut beliau lagi, akan menyediakan hala tuju menyeluruh untuk mengurangkan kebergantungan terhadap aset dan peralatan dari luar negara.

Pengumuman ini adalah sesuatu yang amat diperlukan terutama selepas pengumuman oleh beliau bahawa untuk RMK12, sejumlah RM607.5 juta bakal diperuntukkan kepada Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

STRIDE pada satu masa dahulu dikenali sebagai PSTP (Pusat Sains Teknologi Pertahanan) ditubuhkan pada 1968, merupakan satu-satunya organisasi di bawah payung Kementerian Pertahanan yang berfungsi menyokong kehendak pihak ATM dalam membekalkan teknologi terkini dalam perkhidmatan.Sememangnya niat untuk ‘melancarkan’ semula dasar industri pertahanan dan keselamatan negara adalah sesuatu yang perlu diberikan sokongan padu oleh semua pihak berkepentingan demi mencapai tahap kemampuan berdikari dari sudut kelengkapan dan peralatan yang bakal diguna untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Malangnya sejarah telah membuktikan berulang kali bahawa entah di mana silapnya, dasar yang telah digubal saban tahun seakan-akan hanya gah di atas kertas, namun realitinya, ia masih berada pada tahap sama sejak tahun 60-an.

MONOPOLI FIRMA TERTENTU

Kerajaan demi kerajaan telah cuba menggubal, mengubah, menjenamakan semula, serta menyusun strategi baharu untuk menggerakkan enjin industri pertahanan tetapi ia seakan terjebak dalam selutnya sendiri dan bergerak dengan amat perlahan, malah kadangkala jumud, berbanding industri pertahanan negara-negara jiran.

Pada 1999, Malaysian Defence Industry Council (MDIC) atau Majlis Industri Pertahanan Negara (MIPN) ditubuh dan dilihat bakal merevolusikan tatacara mengenai bagaimana pihak industri dan Kementerian Pertahanan mengorak langkah bersama untuk merealisasikan Dasar Pertahanan negara.

Kemudian pada 2009, menteri pertahanan ketika itu mencetuskan penubuhan MDSTP iaitu sebuah taman teknologi berkaitan pertahanan. Pada bulan Mei 2010 kerajaan bersetuju dan melantik firma Masterplan yang merupakan ahli kepada MIDES (Malaysian Industry Council for Defense, Enforcement & Security) sebagai pemaju dan membangunkan taman teknologi tersebut .

Objektif MDSTP adalah sebagai pusat hentian tunggal di mana pihak tentera, akademik dan firma pertahanan akan melaksanakan aktiviti berkaitan pembangunan industri pertahanan.

NDRC pula adalah badan yang ditubuhkan pada 2009 bertujuan ‘menjadi peneraju dalam penyelidikan bersepadu serta pembangunan teknologi untuk menghasilkan teknologi paling terkini bagi keupayaan pertahanan dan keselamatan negara’.

Salah satu perkara mungkin memerlukan anjakan paradigma berkaitan mewujudkan kemampuan maksimum untuk cuba berdikari dalam pembekalan kelengkapan pertahanan negara ialah hubung kait antara pihak kerajaan dan firma-firma gergasi industri berkaitan pertahanan dan keselamatan.

Dalam mencari industri yang dilihat mempunyai keupayaan kewangan dan prasarana kukuh, Kementerian Pertahanan dilihat cenderung memberikan monopoli pembuatan dan perolehan berkaitan kelengkapan pertahanan kepada hanya beberapa firma tertentu.

Keadaan ini menyebabkan industri yang diberi monopoli merasakan bahawa mereka tidak perlu membuat sebarang penyelidikan dan pembangunan.

Bagi pemain-pemain industri pertahanan kecil yang cuba bernafas atau memperkenalkan kelengkapan baharu, mereka akan menghadapi pelbagai rintangan dan salah satunya adalah terpaksa bersaing dengan firma bertuah yang mendapat hak monopoli.

Lama kelamaan pemain kecil juga bakal beranggapan bahawa melaksana penyelidikan dan pembangunan adalah satu langkah tidak berbaloi dan hanya merugikan kerana akhirnya pihak sama, yang memegang cop monopoli akan terus mendapat kontrak lumayan.

*Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca