SHAH ALAM - Penggunaan lampu High Intensity Discharge (HID) yang tidak mengikut spesifikasi hingga mengganggu pengguna jalan raya akibat lampu kereta yang terlalu terang menyebabkan pandangan menjadi silau serta boleh membawa kepada kemalangan maut.
Ramai pengguna jalan raya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya disebabkan oleh lampu HID yang sememangnya mengganggu penglihatan khususnya ketika hujan.
Seorang mangsa Khairil Anuar, 33, berkata, beliau terbabit dalam kemalangan disebabkan oleh lampu kereta HID semasa hendak pulang ke kampung halaman baru-baru ini.
"Saya memandu seperti biasa dan lebih hati-hati kerana jalan raya di kampung agak sempit dan kebetulan kereta yang datang dari arah bertentangan menggunakan lampu HID menyebabkan saya terbabas.
"Lampu kenderaan tersebut mengganggu penglihatan saya yang ketika itu berada di selekoh dan tidak dapat mengawal kenderaan menyebabkan tayar kereta pecah.
"Saya amat berharap pihak berkuasa kaji semula penggunaan lampu HID kerana ia mengganggu penglihatan pemandu lain dan boleh mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 29, berkata, dia pernah mengalami kemalangan yang melibatkan lampu HID semasa mengambil anaknya pulang ke rumah.
"Kemalangan berlaku ketika hujan dan saya bersama seorang anak lelaki dalam perjalanan pulang ke rumah dari pusat membeli-belah.
"Saya memandu dalam keadaan yang hujan dan ada kereta dari arah bertentangan membuka lampu tinggi serta memberi high beam membuatkan penglibatan saya menjadi silau dan terlibat kemalangan.
"Kereta yang saya pandu terbabas ke longkang di bahu jalan, Alhamdulillah kami selamat.
"Sejak kemalangan tersebut, saya berasa takut untuk memandu ketika hujan. Diharapkan pengguna jalan raya yang lain bertimbang rasa serta tidak menyusahkan orang lain dengan lampu HID mereka,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca