MALAYSIA seharusnya berbangga kerana memiliki salah satu daripada enam sub spesies harimau yang wujud di planet ini iaitu Harimau Malaya. Namun, ngauman Harimau Malaya semakin sayup kedengaran di dalam hutan belantara angkara diancam risiko kepupusan.
Penerokaan hutan, pemburu haram dan kurang sumber makanan antara punca ancaman terhadap kepupusan spesies ini. Populasi Harimau Malaya di Malaysia dikategorikan sebagai sangat terancam.
Mengikut laporan, kira-kira 3,000 ekor populasi Harimau Malaya atau turut dikenali sebagai harimau belang direkod pada 1950 dan angkanya menyusut dan kini jumlahnya merudum daripada 200 ekor. Justeru, usaha pemuliharaan yang agresif dan lestari perlu dilakukan pelbagai pihak bagi memastikan haiwan rimba ini yang berhadapan ancaman kepupusan dijangka dalam tempoh 10 tahun lagi.
Kehilangan habitat dan fragmentasi hutan merupakan faktor utama keterancaman spesies ini, namun terdapat faktor lain yang tidak kurang penting dalam mempengaruhi kelangsungan hidup haiwan ini. Kekurangan sumber makanan juga mempengaruhi kewujudannya kerana seekor Harimau Malaya misalnya memerlukan sekurang-kurangnya antara 25 hingga 50 ekor rusa sambar untuk dimakan dalam setahun di dalam hutan.
Justeru, bagi memastikan sumber makanan Harimau Malaya adalah mencukupi untuk menampung keperluan populasi liarnya, kerajaan meluluskan dan mewartakan Perintah Pemuliharaan Hidupan Liar (Musim Tutup) 2016. Perintah ini membekukan lesen memburu rusa dan kijang yang menjadi makanan utama Harimau Malaya bermula dari 1 November 2016 hingga 30 November 2021 yang mana pemburuan ke atas kedua-dua spesies ini adalah dilarang sepanjang tempoh ini.
Kegiatan pemburu haram yang berterusan memburu spesies ini untuk pelbagai tujuan seperti mendapatkan kulit dan dagingnya turut mengancam spesies Harimau Malaya.
Usaha meningkatkan populasi Harimau Malaya di habitat asalnya juga didorong faktor tertentu seperti keadaan persekitaran kondusif, makanan, air dan nisbah betina kepada jantan. Berdasarkan latar belakang demografi, setiap harimau jantan berpotensi untuk mengawan dengan tiga harimau betina berbeza, tatkala berada di dalam kawasan keliarannya.
Atas faktor tersebut, lebih banyak harimau betina diperlukan demi meningkatkan populasi harimau belang di Malaysia. Malangnya, Malaysia kini berdepan krisis mendapatkan baka zuriat susulan bilangan harimau belang betina tempatan yang kian berkurang. Lantaran itu, tindakan pembiakan, pemuliharaan dan pembelajaran mengenai Harimau Malaya turut diperlukan.
Di pihak kerajaan, dalam memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya, jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan sembilan tindakan strategik Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun mulai tahun 2021 hingga 2030.
Antara pendekatan itu termasuklah mengukuhkan usaha menghentikan penurunan populasi harimau Malaya melalui rondaan penguatkuasaan dan pengawalan boots on the ground serta pemeliharaan dan pemuliharaan habitat semula jadi spesis berkenaan.
Kempen Selamatkan Harimau Malaya serta pelbagai kempen lain berkaitannya juga perlu diteruskan kesinambungannya demi melestarikan spesies yang terancam ini.
*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca