SHAH ALAM - Di kala rakyat bergelut untuk mencari rezeki terutama selepas ramai yang kehilangan pekerjaan atau gagal mencari peluang kerja akibat pandemik Covid-19, segmen ekonomi gig muncul menjadi penyelamat keadaan. Namun, satu perkara... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Di kala rakyat bergelut untuk mencari rezeki terutama selepas ramai yang kehilangan pekerjaan atau gagal mencari peluang kerja akibat pandemik Covid-19, segmen ekonomi gig muncul menjadi penyelamat keadaan.

Namun, satu perkara yang perlu diberi perhatian serius ialah pekerja dalam segmen ekonomi ini tidak dianggap sebagai pekerja sebaliknya hanya berstatus ‘kontraktor’ yang membekalkan perkhidmatan.

Seperti dinyatakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim di Dewan Rakyat baru-baru ini, pekerja ekonomi gig di negara ini tidak termasuk di bawah definisi pekerja seperti yang dinyatakan di bawah Akta 265, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

Menurut beliau, tiada rekod atau pemfailan kes buruh berkaitan pekerja gig yang boleh digunakan sebagai penanda aras yang membolehkan pekerja ekonomi gig menikmati manfaat seperti pekerja di bawah definisi undang-undang buruh di Malaysia.

"Sistem pekerjaan gig dan kontrak perkhidmatan yang dipersetujui menjadikan pekerja ekonomi gig tidak tertakluk di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020,” katanya.

Bagaimanapun, kerajaan melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada orang bekerja sendiri seperti penghantar makanan dan perkhidmatan e-hailing sekiranya mencarum di bawah akta itu.

HANYA DIANGGAP PERANTARA

Pakar ekonomi, Nungsari Ahmad Radhi menegaskan, pekerja ekonomi gig hanya dilihat sebagai pihak yang menggunakan platform tertentu yang menjadi perantara di antara penjual dan pembeli.

Berikutan segala kekurangan yang dinyatakan, Nungsari menyifatkan situasi tersebut sebagai satu bentuk eksploitasi terhadap individu yang mencari rezeki dalam sektor ekonomi gig.

"Pekerja gig adalah pekerjaan jenis baharu yang sepatutnya mempunyai perlindungan seperti pekerja tradisional. Sekalipun tidak sama, jangan sampai tiada langsung.

"Tidak wajar apabila pemilik platform membuat keuntungan sangat besar sementara pekerja gig tidak mempunyai sebarang perlindungan jika berlaku kemalangan atau masalah kesihatan,” tegas beliau.

Kata Nungsari lagi, dalam mendepani situasi yang mendesak dan perlu perhatian segera ini, kerajaan selaku pihak bertanggungjawab seharusnya menggubal undang-undang baharu.

Katanya, undang-undang tersebut harus memperluas takrif pekerja itu sendiri selain perlu ada perlindungan sosial lain yang berperanan menjamin kebajikan pekerja.

Malah, beliau turut bersetuju sekiranya golongan pekerja ekonomi gig membentuk kesatuan bagi mendapatkan perlindungan yang sewajarnya.

Berkaitan hala tuju dan masa depan ekonomi gig, Nungsari berpendapat, ia tidak akan menyelesaikan masalah pendapatan rendah dan taburan pendapatan yang sangat tidak sekata di negara ini.

"Ia bukan satu kerjaya atau sesuatu yang membekalkan perlindungan jika ada kemalangan, sakit dan sebagainya," katanya.

Ujar beliau, di California, Amerika Syarikat misalnya, pada 1 Januari 2020, telah diperkenalkan undang-undang yang memperjelaskan antara pekerja dan pembekal perkhidmatan dengan tujuan membezakan pekerja dan pemilik perniagaan.

"Kalau jadi pekerja kena ada perlindungan yang sama dengan pekerja tradisional. Kalau jadi pembekal perkhidmatan (kontraktor) kena ada perlindungan sebagai perniagaan tunggal.

"Ini bertujuan sebagai perlindungan sekiranya berlaku kemalangan, masalah kesihatan dan juga untuk persaraan kelak,” kata Nungsari.

EKONOMI GIG ADA MASA DEPAN

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, persoalan sama ada kesan ekonomi gig banyak menjurus kepada landasan positif atau sebaliknya adalah bergantung kepada tindakan yang diambil.

Sebagai contoh katanya, antara isu yang timbul dalam kalangan pekerja ekonomi gig adalah perlindungan sosial.

"Jika tiada usaha penggubalan polisi baharu untuk menambah baik keadaan ini, ekonomi gig lebih membawa keburukan,” jelas beliau.

Namun dengan mengandaikan ada reaksi proaktif daripada semua pihak berkaitan bagi setiap isu, ekonomi gig akan membawa lebih banyak kebaikan terutamanya segi kelangsungan hidup isi rumah untuk jangka masa pendek.

"Dalam jangka masa panjang pula, ia diharap dapat meningkatkan bilangan pencipta platform digital dalam kalangan anak muda sekali gus membudayakan masyarakat yang lebih berinovasi,” ujarnya.

Ahmad Azrin turut berpandangan, walaupun ekonomi gig mampu meningkatkan pendapatan individu, para pekerja gig sebenarnya masih berdepan masalah gaji dan faedah keselamatan serta kesihatan.

Untuk rekod katanya, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menganggarkan pada tahun ini terdapat sejumlah 400,000 pekerja dalam sektor ekonomi gig dan hanya tujuh peratus yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ujarnya, semua isu ini amat dipengaruhi oleh permintaan para pembeli dan faedah pula bergantung kepada entiti yang menguruskan kebajikan.

"Ertinya, sebahagian besar daripada mereka tidak menerima sumbangan untuk tabung persaraan daripada penyedia platform, tiada cuti tahunan dan tiada cuti sakit bergaji.

"Tambahan pula, penyedia platform memberikan takrifan yang pelbagai tentang pekerja gig, skop pekerjaan dan perlindungannya tentu sekali berbeza,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca