SHAH ALAM - Eksploitasi pekerja ekonomi gig berlaku apabila syarikat-syarikat terlibat sewenang-wenangnya menukar polisi kontrak tanpa meninjau kebajikan pekerja gig masing-masing. Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Eksploitasi pekerja ekonomi gig berlaku apabila syarikat-syarikat terlibat sewenang-wenangnya menukar polisi kontrak tanpa meninjau kebajikan pekerja gig masing-masing.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ketika ini belum ada perlindungan penuh untuk pekerja gig disebabkan sektor ekonomi ini berbeza daripada sektor tradisional.

"Sektor ekonomi gig ini adalah berdasarkan kontrak manakala sektor tradisional adalah berdasarkan Akta Pekerja 1955.

"Jadi, apabila kita ingin lihat dasar untuk melindungi pekerja gig, ia belum betul-betul digazetkan dalam undang-undang baharu atau dimasukkan dalam Akta Pekerja.

"Mereka ini bekerja, tetapi perlindungan yang mereka dapat tidak sama dengan pekerja lain.

"Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak ada, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak ada.

"Eksploitasi terjadi apabila syarikat-syarikat gig ini dengan sewenang-wenangnya menukar polisi kontrak seperti mengurangkan pendapatan komisen hanya untuk keuntungan syarikat tanpa meninjau kebajikan pekerja gig masing-masing,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Beliau menambah, biarpun ekonomi gig adalah satu sumber pendapatan rakyat tetapi pada masa ini belum ada perlindungan penuh kepada pekerja sektor terbabit.Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, sudah tiba masanya kerajaan mengiktiraf pekerja ekonomi gig kerana mereka sebahagian daripada penyumbang ekonomi negara.

Katanya, walaupun kerajaan telah memperkenalkan bantuan subsidi upah melalui program Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di bawah Perkeso tetapi terdapat banyak lagi yang perlu ditambah baik.

"Kerajaan harus perkenalkan polisi-polisi untuk pekerja gig seperti di United Kingdom, Sepanyol, Itali dan Switzerland yang telah diberi hak yang sama rata seperti pekerja tradisional melalui gaji minimum, sekuriti sosial, cuti sakit dan faedah lain untuk pastikan kebajikan pekerja ekonomi gig ini selamat dan stabil.

"Beri mereka perlindungan serupa seperti pekerja lain. Mereka juga menyumbang kepada keuntungan syarikat gig. Jadi saya tidak nampak kesulitan untuk mewujudkan perlindungan menyeluruh kepada pekerja gig,” katanya.

Potensi ekonomi gig

Buat masa ini pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, ekonomi gig di Malaysia dianggap remeh kerana kebajikan yang disediakan kepada pekerja belum cukup baik seperti upah rendah, kurang perlindungan, risiko tinggi, dan perhatian daripada kerajaan yang kurang memuaskan.

Dalam masa sama beliau berkata, kewajaran menjaga kebajikan pekerja gig kerana setakat 2020, ketika negara dilanda Covid-19, terdapat seramai empat juta pekerja sektor itu di seluruh negara.

Mengikut rekod yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2017, tenaga sektor ekonomi gig meningkat sebanyak 31 peratus melepasi peratus tenaga kerja sektor ekonomi tradisional.

Melalui data yang dikeluarkan sebelum pandemik berlaku, terdapat 500,000 pekerja sektor ekonomi gig manakala pada tahun 2020 terdapat seramai empat juta pekerja gig di seluruh Malaysia

Syed Saddiq menambah, jumlah ini akan bertambah pada masa hadapan, ditambah pula dengan syarikat-syarikat gig baharu yang muncul seperti AirAsia Ride dan ShopeeFood.

"Ekonomi gig adalah satu bentuk industri baharu manakala di Malaysia. Sektor ekonomi ini masih lagi pada fasa awal dalam skala yang kecil. Jadi banyak lagi potensi ekonomi gig yang belum direalisasikan.

"Berapa banyak syarikat startup kita bantu, berapa banyak jumlah syarikat bertaraf unicorn, berapa banyak nilai ekonomi yang disumbang dan berapa banyak pekerjaan yang dicipta daripada sektor ini?"Kita masih tidak betul-betul mencungkil potensi sebenar ekonomi gig berbanding negara jiran dan di peringkat global,” katanya.


INFO


5 perkara yang diperlukan oleh pekerja ekonomi gig

- Perlu caruman Perkeso daripada penyedia platform gig

- Harus diberi hak sama rata dengan pekerja tradisional

- Tetapkan gaji minimum

- Ada perlindungan insurans sekiranya berlaku kemalangan

- Wujudkan undang-undang baharu supaya nasib pekerja gig terbela

Klik di sini untuk terus membaca