DUA susuk tubuh berbeza, nama dan parti juga berbeza, namun dalam perbezaan itu ada sifat yang sama antara mereka iaitu merendah diri dan berkarisma.
Kedua-dua sama dilahirkan di kampung yang ada nama durian di Melaka, seorang kampung Durian Tunggal, Alor Gajah, yang seorang lagi Durian Daun, Masjid Tanah.
Dua individu yang Cencalok maksudkan ialah calon Ketua Menteri Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari dan calon Ketua Menteri Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Kedua-duanya sama-sama berkaca mata, tapi yang lebih penting Cencalok nak cerita, tak pernah mendengar mereka meninggikan suara atau menjerkah media.
Sekalipun marah, mereka pandai menyimpan rahsia, menyembunyikan emosi jiwa tatkala kerajaan yang dipimpin mereka jatuh ‘tergolek ditimpa tangga’.
Mereka juga apabila berbicara, cakapnya sopan kerana itu seorang tak terlepas dituduh tunduk pada DAP, yang seorang lagi tunduk pada ‘singa’.
Mereka disukai rakyat jelata, namun siapa yang diberi mandat moga teruskan sikap tolong rakyat tanpa melihat baju parti yang dipakainya.
Sekiranya Perikatan Nasional (PN) yang menang pula, pilihlah calon yang tak sombong macam mereka.
Jangan masa pilihan raya cakap lembut kalah aiskrim Malaysia, tapi bila dah menang segalanya berubah kalah suara harimau atas Bukit Beruang sana.Semoga rakyat Melaka yang bijak bestari dapat membuat pilihan terbaik siapa yang akan memimpin Melaka untuk tempoh lima tahun lagi. Sama ada lelaki yang gemar berbaju Melayu tulang belut atau yang naik skuter elektrik edar risalah. Mana pilihan hati, tanyalah diri.
Klik di sini untuk terus membaca