APABILA dua bekas kakitangan Yahoo, Brian Acton dan Jan Koum mencipta aplikasi mesej WhatsApp pada 2009, mereka tidak menyangka ia menjadi aplikasi bermesej yang paling popular mencapai dua bilion pengguna di seluruh dunia pada 2021.
Mereka juga tidak menjangka aplikasi komunikasi tidak formal itu digunakan secara meluas untuk fungsi-fungsi rasmi.
Dari sudut positif, WhatsApp yang lebih popular daripada aplikasi Line, Wechat, Skype dan lain-lain, sememangnya baik kerana ia tempat berhimpun saudara-mara, kaum kerabat, sahabat handai, rakan sekolej, sekuliah, sekursus, setadika dan sekariah.
Hingga seandainya terdapat mana-mana ahli kumpulan menyambut hari jadi, maka bertubi-tubilah ucapan ‘selamat hari lahir’ dari pagi hingga ke malam.
Begitu jugalah jika ada berita kematian, masing-masing akan mengucapkan takziah sehinggakan mana-mana ahli kumpulan yang tidak berbuat demikian akan berasa tidak sedap hati sekiranya tidak turut sama mengucapkan takziah.
Walhal memadai sahaja mengucap takziah di dalam hati atau lebih afdal ‘PM tepi’ kepada sahabat yang kehilangan.
Komunikasi bagi tujuan tidak rasmi itu pada keseluruhannya memberikan kebaikan apabila WhatsApp digunakan sebagai media penyampai berita, maklumat dan pengetahuan.
Malah, ia mempunyai peranan dan kelebihan yang banyak terutama apabila digunakan untuk tujuan tidak rasmi.
Oleh sebab WhatsApp berperanan sebagai pengirim mesej dan imej, ia juga digunakan dalam komunikasi rasmi secara meluas.
Kenyataan, pengumuman dan notis pelbagai badan rasmi kerajaan serta swasta kini turut menggunakan WhatsApp. Selagi ia berbentuk komunikasi satu hala, ia amat berkesan.
Namun, apabila digunakan dalam perhubungan dua hala sebagai medium perbincangan yang memerlukan soal jawab, berhujah dan bertukar-tukar fakta, maka di sinilah bermulanya masalah.
Brian Acton dan Jan Koum inginkan ia menjadi medium komunikasi santai tetapi kita membantai penggunaannya hingga kita keliru yang mana formal dan tidak formal.
Pertama, selain puluhan kumpulan tidak rasmi, seseorang itu mempunyai berbelas kumpulan rasmi.
Ada kumpulan besar syarikat, kumpulan tertinggi syarikat, kumpulan antara jabatan, sesama sejabatan dan pelbagai kumpulan projek.
Dek terlalu banyak kumpulan, banyak kumpulan fungsinya bertindih dan kumpulan dengan tugas sama tetapi mempunyai nama yang lain.
Itu belum termasuk sub-sub kumpulan yang ada di mana gosip dalam kerja berlaku ala-subersif.
Dalam kumpulan rasmi dan sepatutnya serius, tiba-tiba boleh disulami dengan lawak jenaka yang mengheret perhatian perbincangan serius.
Atau kerana tidak sukakan seseorang, sebuah kumpulan sampingan dibuat tanpa orang berkenaan!
Benar, ramai beranggapan perbincangan dalam kumpulan WhatsApp lebih cepat mengumpul sesiapa sahaja walau di mana ahli kumpulan itu berada.
Namun, siapa yang tahu dan nampak bahawa sedang sesuatu perbincangan serius berjalan, ada antara ahlinya sedang menonton video atau berjual beli atas talian di telefonnya tanpa orang lain tahu.
Meskipun terdapat aplikasi, perbincangan bersemuka harus juga diadakan.
Apabila semua ahli hadir secara fizikal, ia petanda baik dari aspek komitmen.
Segala senyum, tawa, cebir, jeling dan riak wajah, penekanan serta nada suara dan body language dapat ditelah dengan mudah.
Sama ada ‘ya’ atau ‘tidak’ keputusan perbincangan dibuat dalam suasana yang sama.
Sebaliknya, WhatsApp lebih melambatkan daripada mempercepat organisasi membuat sesuatu keputusan.
Ia lebih serabut dan mencipta ribut. Ramai antara ahli kumpulan akan catat ‘noted,’ ‘done’ atau mengirim simbol ‘good’ yang akan melegakan perasaan semua.
Walhal, semua yang baik-baik itu dibuat sebab bos pun ada dalam grup itu!
* Norden Mohamad ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca