SHAH ALAM - Kerajaan boleh mengharamkan penjualan lampu HID (High Intensity Discharge) yang dikatakan mengganggu penglihatan dan memudaratkan pengguna jalan raya jika ada kajian tentang bahaya penggunaannya. Timbalan Menteri Perdagangan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan boleh mengharamkan penjualan lampu HID (High Intensity Discharge) yang dikatakan mengganggu penglihatan dan memudaratkan pengguna jalan raya jika ada kajian tentang bahaya penggunaannya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, setakat ini penguatkuasaan penjualannya tidak boleh dibuat memandangkan ia bukan barang kawalan dan tertakluk di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Maknanya penjual boleh menjual dan pembeli boleh membelinya sehingga satu kajian dibuat oleh jabatan terlibat seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau berkaitan yang mengatakan lampu tersebut bahaya kepada pengguna.

"Jadi, kena ada kajian tentang kesan penggunaan lampu tersebut pada kenderaan contohnya berapa banyak kemalangan, kematian dan seumpamanya.

"Ia juga mesti mengemukakan data dan bukti bahawa lampu HID itu bahaya kepada pengguna. Jika kajian menunjukkan ia adalah membahayakan, kita boleh masukkan dalam barang kawalan dan tidak boleh dijual,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yang meminta kerajaan segera mengharamkan penjualan lampu HID kerana ia boleh mengganggu penglihatan dan seterusnya memudaratkan pengguna jalan raya lain.

Mengulas lanjut, Rosol menjelaskan, setakat ini hanya barangan seven colour crystal ball yang banyak diletakkan di dalam pasu bunga termasuk dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana berbahaya untuk kanak-kanak makan dan boleh mengembang di dalam perut.

Bagaimanapun jelasnya, kerajaan melalui JPJ tidak membenarkan pemasangan lampu HID secara aksesori (retrofit), kecuali penukaran keseluruhan sistem lampu tersebut dengan mendapat akreditasi daripada badan yang diberi kuasa seperti SIRIM.

"Penguatkuasaan terhadap kenderaan yang menggunakan lampu HID yang dipasang secara aksesori (retrofit) boleh diambil tindakan dibawah Kaedah 94 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 iaitu ‘keadaan kenderaan bermotor yang digunakan di atas jalan raya dan semua bahagian dan aksesorinya hendaklah sentiasa tidak mengakibatkan atau mungkin mengakibatkan merbahaya pada orang di dalam kenderaan atau di atas jalanraya’.

"Kesalahan ini boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih enam bulan di bawah Seskyen 119(1) APJ 1987,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca