SHAH ALAM - Rata-rata pengundi negeri Melaka dilihat kurang berminat untuk keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) itu pada 20 November ini kerana mereka berprasangka PRN adalah solusi sementara bagi menunggu pelaksanaan pilihan raya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rata-rata pengundi negeri Melaka dilihat kurang berminat untuk keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) itu pada 20 November ini kerana mereka berprasangka PRN adalah solusi sementara bagi menunggu pelaksanaan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, hasil tinjauan Veteran UMNO di lebih 10 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mendapati 'mood' keterujaan pengundi untuk keluar mengundi masih lemah kerana mereka menyangkakan PRN kali ini hanyalah berfungsi seakan-akan pilihan raya kecil (PRK).

Jelas beliau lagi, sebahagian besar daripada hampir setengah juta pengundi Melaka masih beranggapan mereka perlu mengundi pada PRU15, sekalipun hasil keputusan PRN Melaka bakal memuktamadkan pihak mana diberikan mandat untuk menerajui kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Agak mengejutkan, rata-rata mereka merasakan proses keluar mengundi pada PRN Melaka seakan-akan satu 'beban' kerana kelompok pengundi ini menganggap mereka masih perlu mengundi menentukan pembentukan kerajaan negeri baharu pada PRU15.

"Hakikatnya, PRN Melaka selepas ini sudah menjadi seperti PRN Sarawak dan Sabah, di mana pilihan raya negeri-negeri berkenaan akan diadakan berasingan dengan PRU15 dengan pengundi hanya perlu mengundi menentukan nasib kerajaan Pusat pada pilihan raya umum berkenaan.

"Sentimen pengundi sebegini pastinya menyukarkan parti-parti bertanding untuk memastikan kadar peratusan mengundi pada PRN Melaka mencapai sasaran ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 70 peratus," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keluhan rata-rata pemimpin politik daripada blok pembangkang mahu pun kerajaan yang menyuarakan kebimbangan dengan sentimen pengundi Melaka yang dilihat kurang teruja untuk keluar mengundi pada PRN Melaka, 20 November hadapan.

MUSTAPHA

Terkini, Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh meletakkan jawatan jika kadar keluar mengundi dalam PRN Melaka berada bawah 50 peratus.

Menurutnya, sekiranya perkara itu berlaku, SPR jelas gagal menjalankan tugas.

Bahkan, beberapa badan pemikir politik seperti Ilham Centre dan Institut Darul Ehsan (IDE) turut menjangkakan kadar peratusan rakyat Melaka keluar mengundi sangat rendah berbanding PRU14 susulan 'mood' mereka untuk mengundi dilihat lemah.

Sebelum ini, SPR menyasarkan kira-kira 70 peratus daripada 495,196 pengundi yang layak akan keluar mengundi pada PRN Melaka.

Dalam perkembangan lain, Mustapha yakin sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN Melaka kini sudah berada dalam genggaman UMNO dan Barisan Nasional (BN) berdasarkan unjuran dibuat parti itu pada minggu pertama kempen pilihan raya negeri berkenaan.

Jelas beliau, DAP juga dijangka bakal menyapu bersih keseluruhan lapan kerusi DUN ditandingi parti berkenaan, meninggalkan sepuluh lagi kerusi DUN untuk direbut antara koalisi BN dan PH.

"Unjuran kita adalah berlandaskan asas kukuh apabila 10 kerusi DUN, saya tidak boleh namakan ia, sudah dikenal pasti sebagai kawasan 'putih' bagi UMNO setakat ini.

"Tiga lagi kerusi DUN yang sebelum ini berstatus kelabu juga sudah menampakkan peralihan sokongan positif kepada UMNO dan BN.

"Bagi Perikatan Nasional (PN), minta maaf saya cuma boleh kata peluang mereka untuk menang waima satu kerusi DUN sekalipun amat tipis," katanya.

BASTIEN


Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Bastien Onn mengakui cabaran besar bagi parti-parti politik sepanjang PRN Melaka bukanlah kesukaran untuk meyakinkan rakyat agar mengundi mereka, tetapi kebimbangan sebahagian pengundi tidak berminat untuk keluar mengundi apabila tiba waktunya.

Tidak dinafikan, Bastien yang turut terlibat dalam rangka persiapan jentera BN bagi DUN Rim menyuarakan kebimbangan kadar peratusan keluar mengundi pada PRN Melaka kali ini bukan sahaja dijangka lebih rendah daripada PRN Sabah (66.61 peratus).

Bahkan, kadarnya mampu mencapai peratusan kurang daripada 50 peratus sekiranya semua pihak termasuk SPR tidak melakukan sesuatu bagi menghangatkan semula kempen PRN Melaka.

"Selain SOP PRN ketat, kita akui sentimen ketidakterujaan rakyat Melaka untuk keluar mengundi mungkin disebabkan mereka sudah jemu dengan drama politik yang tidak berkesudahan disajikan ahli-ahli politik daripada mana-mana koalisi kali ini.

"Namun, mereka perlu menyedari PRN Melaka adalah amat penting untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar stabil," katanya.

Di sebalik jangkaan kadar peratusan keluar mengundi amat rendah, Bastien tidak menafikan senario berkenaan secara tersiratnya memberi sedikit kelebihan kepada UMNO dan BN berbanding parti lain.

Hal ini kerana UMNO dan BN masih boleh bergantung kepada undi 'asas' penyokong parti itu di setiap kerusi DUN ditandingi memandangkan jumlah keahlian dan sokongan akar umbi parti jauh lebih besar dan kukuh.

"Berbeza dengan PH dan PN, kegagalan PH memujuk pengundi bukan Melayu untuk mengulangi sentimen keterujaan mengundi sebagaimana PRU14 mungkin akan memakan diri mereka.

"Bagi PN pula, selaku koalisi baharu yang hanya mengharapkan undi 'asas' penyokong Pas di negeri Melaka, kegagalan mereka menarik golongan atas pagar untuk balik mengundi serta menyokong PN, boleh menyebabkan koalisi itu gagal memenangi sebarang kerusi kelak," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca