SHAH ALAM - Kejadian pesawat Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas pada malam Selasa di Pengkalan Udara Butterworth sehingga meragut nyawa seorang juruterbang menunjukkan bahawa kerajaan perlu memperbetulkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kejadian pesawat Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas pada malam Selasa di Pengkalan Udara Butterworth sehingga meragut nyawa seorang juruterbang menunjukkan bahawa kerajaan perlu memperbetulkan semula skop perolehan dan pengurusan program pertahanan udara.

Penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, pengurusan program dan kewangan berkaitan perolehan perlu ditambah baik walaupun pertahanan udara negara tidak lemah.

"Bagi saya, bukan pertahanan negara yang lemah tetapi pengurusan kewangan dengan program berkaitan perolehan yang perlu diperbaiki kerana semua berkaitan penambahbaikan dan penyelenggaraan memerlukan duit. Jadi, jika pengurusan lemah, kita mungkin akan ‘cut corners’. Ini akan menyebabkan masalah.

"Sudah tiba masanya kerajaan memperbetulkan balik skop perolehan dan ambil kira hasil penyelidikan Transperency International (TI) yang pernah memberi mata atau gred D kepada negara Malaysia dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI).

"Ini memberi kesan yang besar dan menunjukkan pengurusan kewangan dan perolehan dalam kementerian pertahanan tidak bagus," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

MUHAMMAD FUAD

Tambahnya, selagi pihak bertanggungjawab tidak mempertingkatkan pengurusan dan menambah baik komponen atau peralatan pesawat, ia berkemungkinan akan terus memberi ancaman kepada sistem pertahanan.

"Selagi mana gred D dalam GDI itu tidak dipertingkat kepada gred B atau C, ancaman mungkin akan berterusan. TUDM memerlukan bantuan alat ganti yang menelan kos yang tinggi untuk menyelenggara kapal terbang.

"Sampai bila kita harus mengambil komponen daripada pesawat yang sudah rosak? Kita tidak boleh menyalahkan orang bawahan yang tiada pilihan menggunakan peralatan yang lama kerana pengurusan berdepan kekangan wang," katanya.

Selain itu, Muhammad Fuad yakin bahawa kejadian itu berlaku bukan kerana faktor keselamatan yang lemah di mana TUDM telah memastikan persediaan yang baik dari segi latihan dan penerbangan.

"Pada saya, ini bukan masalah faktor keselamatan yang mana saya percaya TUDM amat berkebolehan dan telah melakukan yang terbaik dengan apa yang disediakan pada mereka.

"Saya juga merasakan ini bukan masalah berpunca daripada latihan dan kecekapan juruterbang kerana mereka sudah banyak berlatih merentas sempadan dengan Amerika Syarikat dan lain-lain negara,” katanya.

Dalam insiden kira-kira jam 10.07 malam, pesawat Hawk yang sedang melakukan latihan penerbangan terhempas hingga mengorbankan juruterbang, Kapten Mohamad Affendi Bustamy. Manakala Mejar Mohd Fareez Omar dilaporkan selamat dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Hawk merupakan pesawat latihan dan serangan darat jarak dekat yang digunakan dalam bentuk MRCA.

Mohamad Affendi merupakan penerima Anugerah Green Endorsement TUDM minggu lalu.

Anugerah itu sebagai pengiktirafan kerana berjaya melakukan tindakan yang membolehkan pesawat berhenti dengan selamat tanpa kemudaratan.

Bagaimanapun, Muhammad Fuad tidak menafikan bahawa kejadian tersebut mungkin berpunca daripada faktor kemanusiaan yang tidak boleh dielakkan.

"Kita tidak boleh menafikan mungkin kejadian berlaku oleh faktor kemanusiaan. Jika kereta rosak di tengah jalan, ia akan berhenti di jalan raya namun sekiranya kapal terbang rosak di udara, ia akan jatuh.

"Kita memang tidak cukup pesawat. Pesawat Hawk ini kecil dan ia merupakan pesawat latihan dan serangan darat jarak dekat yang digunakan dalam bentuk Multi Role Combat Aircraft (MRCA) dan strukturnya tidak akan kekal,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca