SHAH ALAM - Trend bekerja sendiri bukan alasan untuk tidak mempunyai pelan perlindungan tambahan pula pekerja ekonomi gig sentiasa berdepan dengan risiko kemalangan sehingga boleh membawa maut.
Perundingan kewangan, Shanty Nur Shaffizan Binti Mohd Shafee berkata, malah pekerja ekonomi gig khususnya perlu lebih bersiap sedia disebabkan mereka tidak mempunyai majikan yang mampu membantu andai ditimpa musibah sakit atau hilang upaya.
"Kebanyakan mereka yang terlibat sebagai pekerja ekonomi gig ini adalah breadwinner atau tulang belakang sesebuah keluarga.
"Selama bertahun-tahun keluarga bergantung harap kepada pendapatan yang dijana tetapi andai ianya tidak dilindungi dan musibah menimpa seperti kemalangan atau penyakit kritikal, tanggungjawab kewangan terhadap perbelanjaan sedia ada keluarga akan musnah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Berkongsi pengalaman, Pengurus Agensi Takaful Isyqi Advisory Group Sdn Bhd itu berkata, beliau pernah mengendalikan kes di mana seorang pekerja ekonomi gig ditimpa musibah sehingga perlu mendapatkan rawatan di hospital.
"Pada awal tahun 2021, seorang penghantar makanan kemalangan ketika menghantar makanan.
"Biarpun polisi takaful baru sahaja berusia dua bulan tetapi dia mendapat rawatan pantas di hospital swasta. Segala perbelanjaan susulan selepas discaj turut dibayar semula oleh syarikat takaful,” katanya.
Oleh sebab itu katanya, kesedaran sendiri amat penting untuk mencipta pelan penggantian pendapatan atau kos rawatan di hospital tanpa menyusahkan pihak ketiga.
"Mungkin perlindungan takaful dan insurans suatu masa dahulu mungkin dianggap sebagai 'pelaburan premium' yang hanya dimiliki golongan atasan tetapi zaman telah berubah.
"Kini perlindungan takaful dan insurans sebahagian dari keperluan asas dan perlu dimiliki oleh setiap orang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca