SHAH ALAM - Bergelar penghantar makanan (rider) untuk sebuah syarikat penghantar perkhidmatan makanan, Muhammad Fariq Johari mengakui isu keselamatan adalah cabaran utama dalam menjalankan tugas.
Namun sedikit kelegaan untuk dirinya kerana mengambil inisiatif sendiri mencarum di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan manfaat bantuan pembiayaan penuh caruman di bawah program SPS Lindung.
"Sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini sekurang-kurangnya saya adalah sedikit perlindungan,” katanya yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari UiTM Bandaraya Melaka.
SPS Lindung ataupun Skim Bencana Pekerjaan di bawah perlindungan sosial adalah bantuan kerajaan yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen pada 6 November 2020 bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Perkeso kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS).
Bantuan kerajaan ini adalah merupakan pakej penambahbaikan ke atas inisiatif PenjanaGig yang sedia ada diberikan kepada kumpulan ini sejak 15 Jun 2020.
Menurut anak muda berusia 27 tahun itu, keselamatan diri menjadi isu yang dibimbangi kerana tidak seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdahulu, jalan raya sudah semakin sesak dengan kenderaan berikutan pelbagai kelonggaran pergerakan yang telah diumumkan kerajaan.
Ditanya kenapa memilih kerjaya itu sedangkan memiliki kelulusan tinggi, Muhammad Fariq berkata, pekerjaan itu memiliki fleksibiliti daripada segi masa.
"Pada awalnya saya sekadar menjadi rider separuh masa kerana telah mempunyai kerja tetap tetapi beberapa bulan selepas itu saya ambil keputusan untuk bekerja sepenuh masa.
"Saya berasa selesa kerana boleh membahagikan waktu antara kerja dan mengurus hal-ehwal keluarga.
"Setiap hari saya mula bekerja dari jam lapan pagi hingga enam petang dan selepas itu masa saya boleh diperuntukkan untuk keluarga,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca