SAYA tidak hairan jika ‘Parti Aku Malas Undi’ (PAMU) menjadi ‘parti’ terbesar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mengalahkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Pada pilihan raya umum (PRU)... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA tidak hairan jika ‘Parti Aku Malas Undi’ (PAMU) menjadi ‘parti’ terbesar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mengalahkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Pada pilihan raya umum (PRU) 2018, PAMU cumalah ‘parti’ ketiga terbesar dengan sokongan 15 peratus pengundi berdaftar di Melaka, ketinggalan jauh di belakang PH (43 peratus), BN (32 peratus) dan cuma mendahului Pas (10 peratus).

Kali ini, undi PAMU mungkin sudah naik 10 peratus, dengan bantuan Covid-19 yang menghalang anak Melaka yang bekerja di Singapura untuk balik mengundi dan menyusahkan juga perantau lain di Malaysia.

Akan tetapi jika PAMU mengatasi BN, PH dan PN, penyokong kuatnya tidak lain tidak bukan adalah parti-parti politik.

Jika itu berlaku, ia adalah undi tidak percaya kepada semua pimpinan tertinggi dan ‘personaliti tertonjol’ parti-parti utama iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang, bukan sahaja Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Adly Zahari, Datuk Seri Idris Haron atau Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Pemimpin-pemimpin yang tidak sabar mahu PRU atau PRN harus bangun daripada mimpi. PAMU mungkin perutusan kepada tsunami pada PRU15.

Namun, PAMU sebenarnya merugikan pengundi. Pertama, sama ada mengundi atau tidak, kerajaan baharu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu akan tetap mengangkat sumpah serta membuat keputusan yang membawa kesan baik buruk kepada hidup anda.

Kedua, semakin rendah kadar mengundi, maka semakin besarlah mereka yang keluar mengundi. Maka, masalah pokoknya ringkas sahaja – kalau anda tidak keluar mengundi tetapi jiran anda tetap keluar mengundi, bolehkah anda percaya keputusan jiran anda adalah yang terbaik untuk kepentingan anda?

Apa alternatif kepada PAMU? ‘Parti Aku Undi Agenda (PAUA)’. Walak kepada pemimpin, pemimpin mungkin melompat parti. Walak kepada parti, parti mungkin menjual kita. Daripada undi ikut pemimpin atau parti, jom kita undi ikut agenda. Kalau dia sokong agenda kita, baru kita sokong dia.

Dalam demokrasi, jika negara diibaratkan syarikat, rakyat adalah pemegang saham aka bos, kerajaan cumalah pengurusan, pilihan raya adalah sesi temu duga, calon-calon dan parti-parti adalah pencari kerja.

Kita mesti menjadi bos pintar, bukan bos bodoh yang senang diperdayakan. Daripada memberi mandat kita secara walak, baik kita tanya harga dan tawar-menawar dengan parti-parti serta calon-calon, seperti kita berada di negeri orang lain dan membeli di pasar malam atau memesan siakap di restoran.

Sebagai contoh, jika kita nelayan dan tidak mahu tambakan laut yang merosakkan rezeki kita, maka tanyalah secara terperinci mana parti/gabungan akan menghentikannya dan hanya pilih antara parti yang menolak tambakan laut. Jangan terperdaya dengan cerita manis.

Kalau kita menolak rasuah, tanyalah mana parti/gabungan akan mengharamkan pelantikan orang politik memegang kerja lumayan GLC. Jangan terperdaya dengan slogan kosong.

Jika kita ingin menghapuskan katak dan menstabilkan politik, tanyalah mana parti/gabungan akan pinda perlembagaan negeri untuk memperkenalkan ‘enakmen pemecatan ADUN anti-lompatan’ dan mekanisme ‘undi tidak percaya konstruktif’. Jangan terperdaya dengan impian tanpa butiran.

Daripada harapkan ramainya si pencari kerja ikhlas dan jujur, pastikanlah kita bos yang pintar. Kalau kita pintar, maka si pencari kerja lama kelamaan terpaksa menjadi lebih ikhlas dan jujur.

Jangan masuk ‘Parti Aku Malas Undi’, masuklah ‘Parti Aku Undi Agenda’.

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca