BARU-baru ini saya diundang oleh Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka untuk menyampaikan ucaptama, sekali gus meluncurkan Buku Antologi Pantun terbitan pertama mereka bertajuk ‘Teguh Integriti Kukuh Pertiwi’. Bagi saya, pantun adalah medium... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-baru ini saya diundang oleh Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka untuk menyampaikan ucaptama, sekali gus meluncurkan Buku Antologi Pantun terbitan pertama mereka bertajuk ‘Teguh Integriti Kukuh Pertiwi’.

Bagi saya, pantun adalah medium penting. Kita perlu mempelbagaikan kaedah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tidak kira sama ada melalui pantun, sajak dan lain-lain cara.

Semasa saya di Institut Integriti Malaysia dahulu, setiap bulan kami adakan ‘Integrity Art Night’ – setiap malam pada hujung bulan akan disajikan pelbagai kaedah kesenian dalam usaha membudayakan masyarakat.

Selain usaha yang dibuat secara formal melalui seminar, forum, perbincangan meja bulat dan sebagainya, kami juga mengadakan tayangan filem pendek, bernasyid, berpuisi dan berpantun sehinggalah kepada berteater serta berlawak jenaka. Ada ketikanya melalui komedi, kita dapat mengkritik kelemahan kita secara terbuka dan lebih mudah menerima kenyataan.

Saya percaya kita perlukan kepelbagaian kaedah dalam usaha mendidik masyarakat. Tidak semua orang akan sedar daripada hanya mendengar pada majlis syarahan, ceramah, bahkan khutbah Jumaat.

Jika khutbah Jumaat itu berhasil membentuk ummah, sepatutnya semua orang Islam jadi orang baik-baik belaka. Sebab itu semasa saya di Institut Integriti Malaysia, kami mempelbagaikan cara dan menghasilkan sebuah buku bertajuk ‘Integriti: Keaslian dalam Kepelbagaian’ yang menghimpunkan semua kaedah telah dilaksanakan.

Ada setengah orang, mereka jenis manusia yang belajar daripada melihat berbanding mendengar. Jadi, untuk orang seperti itu, kita perlukan kaedah berbeza.

Ada yang belajar sambil mendengar lagu. Ada belajar secara experiential learning dan ada pula melalui kaedah-kaedah lain. Apa pun kaedahnya, yang penting adalah agar rakyat terus terbela dan rintihan mereka diperjuangkan.

Dalam konteks tersebut, pantun boleh dijadikan medium untuk kita mendidik masyarakat. Sehingga hari ini, banyak pantun nasihat yang melekat dalam kepala kita, contohnya untuk pelajar baru belajar, diajar merendah diri melalui pantun

Buah cempedak di luar pagar,

Ambil galah tolong jolokkan,

Saya budak baru belajar,

Kalau salah tolong tunjukkan.

Saya percaya harapan untuk memperkasakan pantun sebagai kaedah membina negara bangsa boleh dicapai tetapi kita semua harus menjadi jaguh pelopornya. Kita harus mula menggunakan pantun sebagai cara untuk berbahasa pada majlis-majlis ilmu.

Zaman dahulu, pantun-pantun ini berbentuk lisan, justeru tiada nama pencipta dan tidak tahu bila ia dicipta. Pantun bukan pantun jika tidak dilafazkan untuk menyampaikan sesuatu seperti emosi, kiasan, pesanan dan pengajaran.

Maka, pantun harus hidup kerana rangkap-rangkap pantun direka spontan. Apabila pantun ditulis, ia menjadi bisu. Namun, kalau tidak dirakamkan melalui tulisan dan menjadi buku, mungkin pantun akan luput daripada ingatan.

Pada 2009, Institut Tamadun dan Alam Melayu (ATMA), UKM ada menganjurkan pameran lukisan bertajuk ‘Tampannya Budi’ di Balai Seni Lukis Negara. Setiap pelukis perlu memilih satu pantun dan memberi interpretasi kepada pantun tersebut melalui lukisan. Lukisan saya terpilih dalam pameran tersebut. Saya memilih pantun berikut.

Nasi dingin bersayur mumbang,

Sayur dimasak dalam belanga,

Kami tak ingin melihat kumbang,

Kalau kumbang merosak bunga.

Jadi, pantun itu boleh dipelbagaikan dan dipopularkan. Yang penting, ia satu medium komunikasi yang perlu kita angkat darjat dan martabatnya agar tidak ditinggalkan hanya dalam urusan peminangan serta nikah kahwin sahaja.

Kenapa tidak pantun digunakan juga dalam perbahasan oleh wakil-wakil rakyat di Parlimen? Ia bukan perkara mustahil. Yang penting kita harus yakin bahawa pantun adalah sejenis puisi yang boleh digunakan dalam komunikasi bagi menyampaikan hasrat dan maksud menggunakan bahasa ringkas tetapi penuh bermakna. Ia adalah warisan budaya yang wajib kita pertahankan.

Madah diungkap santun bitara,

Pantun dilantun mengusik hati,

Salah dan silap tutur bicara,

Pohon diampun seikhlas hati.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca