SEBUAH bilik dilengkapi dengan karpet menjadi penjara kecil buat sementara waktu untuk 12 orang 'pesalah' yang sedang menunggu hukuman dijatuhkan ke atas mereka menerusi satu sistem undang-undang Islam.
Tidak ada seorang pun daripada mereka yang ditahan di tingkat bawah ibu pejabat Taliban di daerah Panjwai, selatan Afghanistan itu yang telah dihadapkan di depan hakim tempatan kerana masalah kesibukan di tempat lain.
Sehinggalah hakim tiba, para pejuang pergerakan dari unit di wilayah Kandahar meninggalkan perbuatan mereka dan memahami interpretasi undang-undang Islam Taliban.
"Mereka akan mengawal saya sehingga saya dapat membayar balik hutang kepada individu yang memberi hutang," kata seorang ahli perniagaan yang berusia 41 tahun yang ditahan baru-baru ini.
"Kami mempunyai sistem kehakiman terbaik bersama undang-undang Islam Taliban," katanya kepada AFP ketika seorang pengawal memerhatikannya.
Selepas hampir 20 tahun melancarkan perjuangan, Taliban akhirnya berjaya mentadbir Afghanistan pada Ogos lalu setelah melalui pertempuran dengan tentera kerajaan negara itu.
Namun, pergerakan itu telah menggunakan versi undang-undang Islam mereka sendiri di tengah-tengah ideologi pergerakan tersebut dan menjadikan mahkamah untuk 'menakluk' kuasa, kata Adam Bazco iaitu seorang penyelidik yang mengendalikan satu siasatan terhadap sistem kehakiman Taliban dari tahun 2010 hingga 2016.
"Sejak dari tahun 2004 di kawasan-kawasan yang dikuasai Taliban, orang ramai beralih kepada pergerakan itu untuk mencari keadilan kerana terdapat perasaan tidak puas hati terhadap campur tangan kumpulan-kumpulan Barat di tanah-tanah milik mereka manakala sistem kehakiman kerajaan pula semakin korup," katanya.
Taliban memang dikenali dengan aspek keadilan, kepantasan dan kebolehramalan sesuatu perkara di sebalik hukuman keras yang dijatuhkan kepada para pesalah.
Bagaimanapun, tiga bulan selepas merampas kuasa, pergerakan itu masih bergelut untuk melaksanakan sistem undang-undang Islam di seluruh Afghanistan.
Penolong pengarah sebuah penjara di bandar Kandahar, Mansour Maulavi menyatakan kini terdapat hanya 200 'penjenayah' di pusat tahanan itu.
Keadaan itu berbeza berbanding dengan bilangan kira-kira 1,000 penagih dadah yang ditempatkan di penjara tersebut semasa pengunduran tentera kerajaan.
"Adalah lebih baik undang-undang Islam menentukan (siapakah penjenayah)," kata Maulavi yang mengendalikan penjara Taliban itu.
Dalam pada itu, seorang lelaki yang ditahan, Mohammad Naeem duduk di pekarangan penjara dan dia sedang menunggu penghakiman.
Naeem ditahan dua bulan lalu ketika berada di rumah bersama isterinya serta seorang gadis berusia 14 tahun yang mahu dikahwininya.
"Gadis itu bersetuju (untuk berkahwin dengannya) tetapi keluarganya tidak mahu," kata pemuda berusia 35 tahun itu selain memberitahu bahawa ibu bapa gadis berkenaan kemudian mengadu kepada Taliban tentang gangguan seks yang dilakukannya.
"Bagaimanapun, saya tidak tidak menyentuh gadis itu, mereka (Taliban) boleh membuat ujian dan melakukan pemeriksaan," kata Naeem.
Jika dia didapati bersalah kerana mengadakan hubungan seksual tanpa berkahwin, pemuda itu akan dihukum rejam sampai mati.
"Saya mahu dihakimi menurut undang-undang Islam kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan," katanya kepada AFP.
Dalam beberapa kes sejak pertukaran kuasa itu, hakim-hakim Taliban berusaha untuk tidak membuat keputusan terlalu keras.
Keadilan Taliban dapat dilihat apabila jurucakap kerajaan, Zabihullah Mujahid membuat kenyataan selepas tiga orang tetamu dibunuh baru-baru ini pada sebuah majlis perkahwinan dipercayai dilakukan oleh anggota Taliban ekoran perbalahan tentang muzik.
"Jika seseorang membunuh seorang individu malah jika dia ialah salah seorang daripada lelaki kami (Taliban), ia merupakan satu jenayah dan kami akan membawanya ke mahkamah dan dia akan berhadapan dengan undang-undang," kata Mujahid seperti dilaporkan oleh AFP.
Kerajaan baharu Afghanistan itu telah pun menubuhkan semula polis agama dan Kementerian Mempromosikan Nilai-Nilai Baik dan Mencegah Maksiat yang sebelum ini wujud semasa pemerintahan Taliban pada tahun 1998 hingga Oktober 2001.
Sementara itu, Penjara Pul-e-Carkhi di Kabul yang hampir terbiar kini bersedia untuk dibuka semula.
Semasa proses pengambilalihan ibu kota negara itu oleh Taliban, ia membebaskan puluhan ribu penjenayah dan tugas pembukaan semula penjara tersebut digalas oleh seorang pegawai pergerakan berkenaan, Asadullah Shahnan. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca