SHAH ALAM - Langkah Perikatan Nasional (PN) masih tidak menamakan calon Ketua Menteri setelah mengemukakan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seolah-olah seperti 'mengumumkan pelan perniagaan tanpa dilantik seorang CEO (ketua... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Langkah Perikatan Nasional (PN) masih tidak menamakan calon Ketua Menteri setelah mengemukakan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seolah-olah seperti 'mengumumkan pelan perniagaan tanpa dilantik seorang CEO (ketua pegawai eksekutif)'.

Presiden dan CEO Emir Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, kegagalan koalisi itu berbuat demikian dengan segera berkemungkinan memberi implikasi besar kepada peluang PN untuk memenangi PRN Melaka.

Walaupun terdapat indikator jelas yang menunjukkan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai calon pilihan utama Ketua Menteri daripada Bersatu, Rais menegaskan PN perlu segera menamatkan teka-teki berkenaan demi kebaikan koalisi itu.

"Selepas manifesto pilihan raya disampaikan kepada rakyat, jadi mana-mana parti mesti menamakan siapa pemimpin yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

"Kalau kepimpinan itu tidak disebut, seolah-olah ia seperti 'business plan without a CEO (pelan perniagaan tanpa CEO).

"PH dan BN sudah umumkan calon masing-masing iaitu Adly (Zahari) yang popular dalam kalangan pengundi bukan Melayu serta Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang didakwa proksi kepada pemimpin UMNO tertentu.

"Jadi PN eloklah cepat-cepat menamakan siapa calon Ketua Menteri mereka kerana sesebuah pelan perniagaan tanpa CEO tidak boleh dianggap satu pelan perniagaan yang berstrategi," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

DR RAIS HUSSIN

Umum mengetahui selain Mohd Rafiq yang bakal bertanding di DUN Paya Rumput, seorang lagi nama besar dalam PN yang disebut-sebut berpeluang untuk dilantik sebagai Ketua Menteri wanita pertama di Melaka adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Terdapat cakap-cakap politik yang mendakwa Mas Ermieyati adalah merupakan calon Ketua Menteri disokong Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, manakala Mohd Rafiq dikatakan sebagai pilihan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

POSTER MUHYIDDIN BAWA IMPAK POSITIF

Mengulas lanjut, Rais Hussin menegaskan Emir Research turut mendapati strategi PN memaparkan imej Pengerusi koalisi itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai 'poster boy' di sepanjang kempen PRN Melaka memberi implikasi positif kepada calon-calon PN yang bertanding.

Namun begitu, badan pemikir politik bebas itu berpandangan langkah PN memaparkan imej pemimpin Pusat berpengaruh seperti Muhyiddin sahaja tidak cukup bagi menyakinkan rakyat Melaka terhadap kemampuan koalisi itu memimpin kerajaan negeri.

"Eloklah selain daripada memaparkan Muhyiddin, kena tonjolkan sekali CEO yang akan melaksanakan 'pelan perniagaan (manifesto pilihan raya)' di Melaka.

"Imej Tan Sri Muhyiddin memang positif untuk rakyat Melaka, tetapi bukan beliau yang bakal menjadi pelaksana manifesto pilihan raya PN sekiranya menang kelak.

"Kalau PN tidak dapat menamakan CEO koalisi itu untuk negeri Melaka, ia menggambarkan sama ada keputusan itu belum dibuat atau berlaku pergolakan dalaman. Justeru, saya syorkan agar CEO PN Melaka cepat-cepat dinamakan," katanya lagi.

DR YADZRIL YAAKUB

CALON TAK PERLU FIKIR SIAPA KM

Sementara itu, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka, Dr Mohd Yadzril Yaakub berpandangan adalah lebih baik semua calon PN daripada parti itu lebih menfokuskan usaha memenangi kerusi masing-masing berbanding berteka-teki siapa calon Ketua Menteri dalam kalangan mereka.

Tegasnya, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sudah menyatakan ramai dalam kalangan calon parti itu yang berkelayakan dan berpotensi untuk dijadikan sebagai Ketua Menteri PN baharu sekiranya koalisi itu mencipta kejutan.

"Masalahnya, kita perlu fokus untuk menang PRN Melaka terlebih dahulu. Tidak guna kita sibuk membicarakan siapa bakal calon Ketua Menteri PN jika kita hanya menang sedikit kerusi DUN.

"Bagi saya, perkara ini biarlah diputuskan parti dan saya berharap semua calon Bersatu dan PN lebih menfokuskan usaha memenangi hati pengundi masing-masing pada saat kritikal ini," katanya.

KHAIRUL ARIFIN

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Bahagian Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir berpandangan dalam penentuan strategi pilihan raya khususnya di Malaysia, langkah menamakan calon Ketua Menteri lebih awal amat penting dalam memberi petunjuk kepada rakyat, siapa yang bakal mengemudi kerajaan negeri.

"Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lepas, buat pertama kalinya PH menang kerana jelas siapa Perdana Menteri yang ditawarkan iaitu Tun Dr Mahathir, manakala kerajaan negeri Selangor juga begitu dalam pilihan raya terdahulu.

"Saya fikir kegagalan PN untuk menamakan siapa calon Ketua Menteri lebih awal akan memberi persepsi koalisi itu mungkin kekurangan nakhoda yang berkelayakan untuk mengemudi bahtera kepimpinan negeri Melaka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca