SHAH ALAM - Keputusan pemilihan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) bagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan pemilihan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) bagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka disambut baik oleh kepimpinan koalisi itu di negeri berkenaan.

Naib Pengerusi PN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, pihaknya mendukung penuh perutusan disampaikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis, dalam memastikan kemenangan pilihan raya negeri kali ini.

Jelas Timbalan Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Melaka itu, sokongan penuh terhadap pemilihan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri Melaka juga dipercayai akan diberikan kepada barisan calon serta kepimpinan PN Melaka yang lain.

"Saya berpendirian menyokong pemilihan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri bagi PN seperti mana diumumkan Pengerusi PN sebentar tadi (petang Khamis).

"Saya mendukung penuh perutusan disampaikan Muhyiddin dan harapan saya sudah tentu mahu memastikan jentera PRN Melaka bagi PN akan terus fokus memantapkan barisan kepimpinan komponen parti.

"Saya percaya pemilihan beliau adalah berdasarkan penilaian Muhyiddin sendiri dan berharap PN akan terus menfokuskan usaha membantu rakyat, selain membangunkan negara dengan penuh dedikasi untuk jangka masa panjang demi agama, bangsa dan negara," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Premium pada Khamis.

DR MOHD YADZIL


Teka-teki pencalonan Ketua Menteri daripada PN akhirnya terjawab apabila Mas Ermieyati yang juga Naib Srikandi Bersatu diputuskan sebagai calon muktamad bagi jawatan berkenaan.

Pencalonan Mas Ermieyati itu diumumkan oleh Muhyiddin di ibu pejabat PN, Kuala Lumpur melalui satu sidang media pada jam 3.30 petang Khamis.

Menurut Muhyiddin, nama Mas Ermieyati dipersetujui oleh pemimpin yang ada dalam gabungan PN.

Menariknya, majlis pengumuman pencalonan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sekali gus memberi isyarat keputusan itu disokong sepenuhnya Pas selaku salah satu parti komponen dalam PN.

Melalui keputusan berkenaan, Mas Ermieyati berkeupayaan mencipta sejarah untuk dilantik sebagai Ketua Menteri wanita yang pertama di negara ini sekiranya PN mampu memenangi PRN Melaka pada 20 November ini.

Pengumuman Muhyiddin itu sekali gus melenyapkan spekulasi calon bagi jawatan tertinggi kerajaan negeri bakal diserahkan kepada Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Hal ini susulan Mohd Rafiq yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas juga antara nama yang disebut-sebut bagi dicalonkan untuk jawatan Ketua Menteri Melaka bagi PN.

Dalam PRN ini PN meletakkan Mas Ermieyati bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara yang terletak di bawah kerusi parlimen Masjid Tanah.

Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu mengumumkan calon ketua menteri mereka iaitu Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang bakal mempertahankan kerusi DUN Lendu pada 8 November, diikuti Pakatan Harapan (PH) yang menamakan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari dua hari kemudian.

Klik di sini untuk terus membaca