SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) berpeluang cerah untuk menang pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November ini hanya sekiranya kadar peratusan rakyat Melaka untuk keluar mengundi melebihi 70 peratus. Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) berpeluang cerah untuk menang pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November ini hanya sekiranya kadar peratusan rakyat Melaka untuk keluar mengundi melebihi 70 peratus.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, sekiranya kadar peratusan keluar mengundi lebih rendah daripada jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 70 peratus, beliau mengakui senario itu akan memberi kesan negatif kepada koalisi itu.

Jelas beliau, parti-parti yang mempunyai undi penduduk kawasan luar bandar dan pedalaman akan menerima kelebihan jika mood pengundi untuk keluar mengundi masih lemah.

Bagaimanapun, perkara positif yang dilihat PH pada hari-hari terakhir kempen PRN Melaka adalah kesedaran pengundi untuk mengundi semakin meningkat.

"Saya difahamkan ramai pengundi luar sudah menunjukkan keterujaan untuk balik mengundi dan saya fikir dengan hari berkempen berbaki sehari, kesedaran itu boleh melepasi angka 75 peratus.

"Ini kerana kita yakin kalau rakyat Melaka berjaya keluar mengundi lebih 70 peratus, ia boleh memberikan kemenangan kepada PH.

"Sebaliknya kalau kadar peratusan keluar mengundi menjadi rendah, undi PRN Melaka akan banyak bergantung kepada penduduk terutama di kawasan pedalaman dan situasi ini akan memberi kesan negatif kepada PH," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.



Adly yang turut dipilih sebagai calon Ketua Menteri PH bagi negeri Melaka mendedahkan koalisi itu berkesempatan membuat unjuran awal PRN Melaka dan berkeyakinan sedang mendahului BN dengan lebihan dua kerusi.

"Kami meramalkan PH masih mendahului BN dengan lebihan dua kerusi di mana kajian di lapangan mendapati kita berpeluang cerah untuk menang 10 kerusi DUN, manakala BN dijangka memenangi lapan kerusi DUN.

"Untuk baki 10 kerusi DUN marginal yang tinggal, persaingan masih terbuka luas untuk seluruh calon yang bertanding, namun PH berkeyakinan mampu cipta kejutan pada PRN Melaka kali ini," katanya.

Dalam pada itu, Adly yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil turut menganggap ramalan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengunjurkan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi sehingga 18 kerusi DUN adalah lemah dan tidak berpaksikan angkubah sebenar.

Adly Zahari yang mewakili parti Amanah/PH bakal mempertahankan kerusi DUN Bukit Katil.

Jelas beliau lagi, ramalan BN itu mungkin bersandarkan kawasan-kawasan tradisi yang pernah dimenangi mereka dengan tambahan kerusi DUN baharu yang marginal.

"Tetapi BN tidak mengambil kira sokongan rakyat secara keseluruhan termasuk di peringkat akar umbi. Mereka juga tidak mengambil kira faktor pertembungan antara BN dan Perikatan Nasional (N).

"Kita harus tahu dalam keadaan sekarang, lagi kuat PN bermakna lagi lemah BN dan situasi itu benar-benar berlaku di negeri Melaka.

"Satu lagi faktor penting yang perlu diambil kira BN adalah PRN kali ini adalah pilihan raya paling sukar untuk diramalkan keputusannya kerana pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) oleh SPR yang sangat ketat.

"Justeru, kalau BN boleh ramal menang 18 kerusi DUN, saya anggap ramalan itu lemah dan tidak berpaksikan angkubah sebenar," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca