MEMASUKI hari ke-11 kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bahang persaingan politik antara parti-parti bertanding sudah semakin memuncak menjelang hari pengundian esok.
Dengan setiap calon daripada parti-parti bertanding seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) serta 26 calon Bebas sedang rancak mempromosi manifesto masing-masing sebagai pecutan terakhir kempen berbaki lagi dua hari.
BN sebaliknya sudah melancarkan perang psikologi lebih awal apabila Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Mohamad Hasan meramalkan koalisi itu mampu memenangi sehingga 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Sambil menyifatkan pertembungan PRN Melaka hanya melibatkan BN dan PH, Timbalan Presiden UMNO itu turut menjangkakan PH bakal mengekalkan lapan kerusi DUN yang dimenangi DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ekoran itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pro PN, Gerakan Pembela Ummah kemudiannya bertindak balas dengan mengemukakan hasil kajian yang mengunjurkan koalisi diterajui Bersatu serta Pas itu, sebenarnya merupakan pemenang mutlak pada PRN Melaka.
PH juga tidak ketinggalan dalam membuat unjuran peluang kemenangan mereka pada pilihan raya negeri ini yang dianggap testing ground sebelum menghadapi PRU15.
Hal ini dibuktikan menerusi Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan pada Selasa yang berkeyakinan situasi 'perang' antara BN dan PN bakal mengalihkan sokongan pengundi Melaka kepada koalisi pembangkang.
PERATUSAN KELUAR
Di sebalik ramalan BN itu dianggap segelintir pihak sebagai 'terlalu mendabik dada', terdapat pemerhati politik yang berpandangan jangkaan Tok Mat itu berasas.
Hal ini bersandarkan kepada faktor peratusan rakyat Melaka keluar mengundi dijangka rendah berikutan kurang keterujaan pengundi bukan Melayu dan atas pagar untuk keluar mengundi pada PRN Melaka.
Berikutan itu, terdapat kemungkinan besar undi 'penyokong tegar' koalisi bertanding bakal menjadi penentu kemenangan pilihan raya negeri kali ini dengan UMNO dan BN diperakui merupakan koalisi yang mempunyai akar umbi terkuat di Melaka.
Perkara itu diakui sendiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yang menegaskan sekiranya kadar peratusan keluar mengundi kurang daripada 60 peratus, mana-mana parti yang mempunyai undi akar umbi terbanyak akan mendapat kelebihan untuk menang.
Jelas beliau, Emir Research menjangkakan kadar peratusan keluar mengundi pada PRN Melaka hanya pada tahap 62 hingga 65 peratus, jauh lebih rendah daripada sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu sekurang-kurangnya 70 peratus.
BIMBANG COVID KEMBALI
"Faktor utama kadar peratusan keluar mengundi dijangka rendah adalah berasaskan persepsi pengundi yang sudah jelik dengan drama politik tidak berkesudahan selain ketakutan pengundi untuk keluar mengundi.
"Kebimbangan itu bersandarkan statistik kadar kemasukan pesakit Covid tahap empat dan lima ke hospital di Melaka sudah meningkat kepada 80 peratus dan situasi ini pastinya mengundang kebimbangan episod penularan Covid-19 akan berulang sebagaimana PRN Sabah, tahun lalu.
"Justeru, Emir Research menjangkakan sekiranya kadar peratusan keluar mengundi sangat rendah, kelebihan akan dimiliki oleh parti-parti yang mempunyai jumlah undian akar umbi terbesar," katanya pada Khamis.Pandangan sama turut dikemukakan sebuah badan pemikir politik bebas, Institut Darul Ehsan (IDE) yang menyifatkan andaian unjuran Tok Mat itu tidak semestinya mewakili fakta keseluruhan 28 kerusi DUN, sebaliknya lebih merujuk kepada kubu-kubu kuat BN selama ini.
"Tok Mat juga harus ingat bahawa perpecahan dalaman BN dan PN juga menjadi tanda tidak harmoni dalam pertaruhan pilihan raya kali ini.
"Tambahan pula, majoriti rakyat Melaka maklum bahawa PRN ini disebabkan perpecahan politik antara BN-PN sebagai koalisi yang membentuk kerajaan Melaka sebelum ini," kata Pengurus Kanan Bahagian Penyelidikan IDE, Khairul Arifin Mohd Munir.
Justeru, IDE mengakui bahawa ruang politik masih terbuka bagi kesemua parti dengan penentuan persaingan neck to neck biasakan akan diputuskan oleh 20 hingga 25 peratus pengundi yang akan membuat keputusan pada saat akhir di hari pengundian.
"Mood ini ditentukan pengundi biasanya 48 jam sebelum pengundian. Maka, inilah cabaran parti-parti politik dan calon, dalam senario mengundi saat Covid-19 dengan prosedur operasi standard (SOP) PRN yang ketat," katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Klik di sini untuk terus membaca