ADA perbezaan ketara antara cita-cita dan impian. Malaysia pernah impikan kereta terbang, namun sehingga kini belum ada perkembangan positif mengenainya. Bagaimanapun, apabila bintang bola sepak Jepun, Keisuke Honda berbicara tentang... Klik di sini untuk terus membaca

ADA perbezaan ketara antara cita-cita dan impian. Malaysia pernah impikan kereta terbang, namun sehingga kini belum ada perkembangan positif mengenainya.

Bagaimanapun, apabila bintang bola sepak Jepun, Keisuke Honda berbicara tentang motosikal terbang atau hoverbike, ramai jutawan di negara itu terpikat dengan idea tersebut.

Membaca laporan portal South China Morning Post (SCMP) pada 27 Oktober lalu, cukup untuk meyakinkan penulis bahawa memang ada perbezaan antara cita-cita dan impian.

SCMP melaporkan model XTurismo Limited Edition berkonsep hoverbike telah diterbangkan minggu lalu. Melalui syarikat, ALI Technologies, Honda bekerjasama dengan Mitsubishi Electric Inc.

Lengkap dengan pakaian keselamatan dan penutup telinga, motosikal seberat hampir 300 kilogram itu diterbangkan dengan ketinggian beberapa meter daripada landasan litar lumba berhampiran Gunung Fuji selama 40 minit. Paling menarik, kelajuan hoverbike mampu mencecah sehingga 100 kilometer sejam (km/j).

Paling mengejutkan, syarikat berkenaan telah menerima tempahan dan akan membuat pengeluaran batch pertamanya sebanyak 200 unit. Khabarnya, hoverbike itu sudah berada di pasaran bermula 26 Oktober lalu dengan harga seunit mencecah US$680,000.00 (RM2.8 juta).

Persoalannya, adakah hoverbike akan menjadi ‘alat permainan’ jutawan di Jepun? Sebenarnya, konsep motosikal terbang umpama impian masa depan yang terlalu sukar direalitikan tetapi Jepun telah membuktikan impian itu mampu menjadi kenyataan pada 2022.Jepun sememangnya menjadi peneraju teknologi sejak berzaman lamanya.

KERETA TERBANG MALAYSIA

Penulis tertanya-tanya juga apa sudah jadi kepada perancangan kereta terbang yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Walhal, kereta terbang sulung ciptaan Malaysia bernama Vector telah diterbangkan pada Oktober 2018 sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019.

Laporan SCMP turut menyebut buat masa ini, hoverbike akan terbang dalam radius terhad dan kawasan tertentu sahaja. Ia tidak dibenarkan terbang di atas jalan raya Jepun yang terkenal sangat padat di dunia.

Ketika ini, ALI Technologies telah membentuk pasukan penyelamat bagi memberi perkhidmatan di lokasi yang sukar diakses. Cuma, yang penulis ingin tonjolkan adalah perbezaan untuk menguasai sesuatu teknologi dalam kalangan syarikat Jepun.

Mereka sentiasa berada di hadapan berbanding negara lain dalam perspektif pembangunan industri dan teknologi terkini. Kerjasama erat antara penyelidik dan syarikat berteknologi tinggi di Jepun mampu menghasilkan kejayaan luar dugaan.

Penulis percaya Vector mampu direalitikan sekiranya keperluan kerja penyelidikan dipenuhi. Hakikat itu telah diperjelaskan ALLAH SWT dalam surah Ali 'Imran ayat [3:103-105] bermaksud: "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) ALLAH dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah akan nikmat ALLAH kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh musuhan, maka ALLAH mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat ALLAH orang-orang yang bersaudara, dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu ALLAH menyelamatkan kamu daripadanya.

"Demikianlah ALLAH menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk. Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.

"Merekalah orang-orang yang beruntung dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat.”

Menjadi harapan penulis untuk menyaksikan 2022 menjadi tahun kepada sikap terbuka, keinginan mengakui kelemahan sendiri, sanggup terima kelebihan orang lain, buang ego melampau, tinggalkan kepentingan diri, sanggup untuk tiru kejayaan orang lain, jalinkan kerjasama erat dan tingkatkan belanjawan kepada penyelidikan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0)

Kesimpulannya, marilah kita tiru sikap syarikat Jepun yang sanggup bermati-matian demi kejayaan teknologi tinggi. Hayati kejayaan hoverbike dan teliti kenapa Vector masih lagi berada dalam simpanan perancangan.

* Profesor Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Klik di sini untuk terus membaca