GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus baru-baru ini memberitahu, Akta Kredit Pengguna akan digubal pada tahun hadapan bertujuan mengukuhkan pengaturan kawal selia untuk semua aktiviti kredit pengguna termasuk... Klik di sini untuk terus membaca

GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus baru-baru ini memberitahu, Akta Kredit Pengguna akan digubal pada tahun hadapan bertujuan mengukuhkan pengaturan kawal selia untuk semua aktiviti kredit pengguna termasuk penyedia skim ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL).

Katanya, skim tersebut mungkin menggalakkan pengguna berbelanja di luar kemampuan dengan hutang yang tinggi sehingga mereka tidak mampu bayar. Apatah lagi kebanyakan skim BNPL di Malaysia tidak dikawal oleh BNM kerana ia bukan ditawarkan oleh bank.Ada banyak cara untuk meminjam wang hari ini. Kad kredit dan pinjaman peribadi adalah cara lama, yang semakin popular sekarang terutama dalam kalangan anak muda ialah BNPL.

Menurut Pine Labs Pte Ltd, sebuah platform pedagang terkemuka di Asia, kebanyakan pengguna BNPL di Malaysia berada dalam lingkungan umur 25 hingga 50 tahun.

Antara platform BNPL yang tersedia di negara ini ialah Atome, FavePay Later, myIOU, Hoolah, PAYLATER, PayLater oleh Grab, SpayLater oleh Shopee dan Split.

Maksimum tempoh bayaran balik kesemua platform ini adalah enam bulan, ada juga yang tiga bulan. Kebanyakannya mengenakan kadar faedah dan caj pembayaran lewat setiap bulan yang berbeza-beza.

BNPL ada baik dan buruknya. Yang bagusnya BNPL ialah ia membantu pengguna membuat pembelian yang besar, katakan sehingga RM6,000, tanpa perlu risau tidak cukup duit untuk perbelanjaan harian sampai hujung bulan.

Pakar pengguna mengatakan BNPL bermanfaat jika kita jenis orang yang boleh menepati tempoh bayaran dan menggunakannya untuk pembelian penting atau kecemasan sahaja seperti menggantikan peti sejuk yang rosak.

FLEKSIBEL ATAU PERANGKAP

Kelebihan lain BNPL ialah ia membolehkan sesiapa sahaja menggunakannya termasuk golongan belum bekerja seperti penuntut universiti. Tidak seperti kad kredit yang mensyaratkan gaji minimum RM2,000 sebulan atau pinjaman peribadi daripada bank yang mengenakan syarat tertentu, BNPL lebih mudah.

BNPL biasanya tanpa faedah tetapi ia tidak bermakna tawaran itu sentiasa bagus. Kita mungkin tidak membayar apa-apa dalam bentuk faedah atau yuran, tetapi fleksibiliti pembayaran boleh mendorong kita membeli barangan yang tidak benar-benar diperlukan.

Sebagai contoh, kita mampu membeli kasut berharga RM200 secara tunai di kedai. Namun disebabkan ada tawaran bayar kemudian sehingga tiga bulan, kita mungkin terdorong membeli kasut RM500 secara dalam talian.

Dalam urus niaga BNPL, penyedia platform BNPL ‘membeli’ item untuk pengguna daripada pedagang pada harga diskaun dan pengguna kemudian membayar ansurannya kepada penyedia BNPL.Tetapi ada aktivis pengguna ragu-ragu kerana kepelbagaian tawaran BNPL itu khususnya kadar faedah dan caj lewat bayar boleh mengelirukan terutama pengguna muda yang belum celik kewangan.

Jika ditinjau, kutipan kadar faedah dan bayaran lewat yang terpaksa ditanggung pengguna sebenarnya besar.

Menurut laporan, Afterpay dari Australia, sebagai contoh, tidak mengenakan faedah ke atas perkhidmatan BNPL, tetapi ia mengutip yuran lewat bayar AS$87 juta (RM350 juta) daripada pengguna dalam tempoh 12 bulan berakhir 30 Jun lalu.

Affirm dari Amerika Syarikat tidak mengenakan yuran lewat bayar tetapi mengutip faedah RM600 juta daripada pengguna dalam tempoh yang sama.

Bagi pengguna Islam pula, isu-isu syariah tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 5 November lalu telah memuat naik jawapan berkaitan penggunaan skim pay later sebuah platform e-dagang dalam laman webnya.

Menurutnya, terdapat isu syariah yang timbul melibatkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar dalam skim itu. Katanya, caj pemprosesan dan caj lewat bayar yang dikenakan melebihi kos operasi dan kerugian sebenar adalah sebahagian daripada riba.

BNPL sama seperti perkhidmatan kredit yang lain, kita sebenarnya menggunakan pendapatan masa depan pada hari ini. Tepuk dada, tanya selera.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca