SHAH ALAM - Walaupun Dewan Rakyat pada petang Khamis berjaya meluluskan Bajet 2022 di peringkat dasar, namun Parlimen kecoh apabila Tun Mahathir Mohamad tiba-tiba membangkitkan isu pemberian rumah dan hartanah bernilai RM100 juta sebagai... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Walaupun Dewan Rakyat pada petang Khamis berjaya meluluskan Bajet 2022 di peringkat dasar, namun Parlimen kecoh apabila Tun Mahathir Mohamad tiba-tiba membangkitkan isu pemberian rumah dan hartanah bernilai RM100 juta sebagai ‘hadiah’ kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaikan 'bom jangka' kurang 48 jam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, isu tersebut menyebabkan ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati.

Ia berikutan pengesahan yang dibuat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengesahkan di Dewan Rakyat, yang Ahli Parlimen Pekan itu, memohon ganjaran hadiah berupa sebidang tanah dan rumah daripada kerajaan bernilai RM100 juta.

"Permohonan ini (dibuat) selepas bajet dibentangkan dan dengan itu tidak terdapat sebahagian daripada anggaran Perbelanjaan 2022," kata Tengku Zafrul sambil mencadangkan supaya soalan itu dipanjangkan kepada Jabatan Perdana Menteri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa jabatan tersebut.

Pertikaman lidah dalam Dewan Rakyat berlangsung lebih 10 minit dengan Ahli Parlimen Langkawi yang juga bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh menyindir dengan mempersoalkan apakah jasa Najib sehingga beliau boleh mendapat RM100 juta.

Perkataan-perkataan seperti ‘banduan’, ‘penyangak’ dan ‘pencuri’ juga dilontarkan ahli Parlimen pembangkang merujuk kepada kepada kes 1MDB yang sedang dihadapi Najib di mahkamah.

NAJIB JAWAB MAHATHIR

Dalam pada itu, beberapa jam selepas perdebatan panas di Parlimen, Najib yang menjuarai media sosial dengan tagline 'Apa Malu Bossku' menggunakan akaun Facebooknya untuk memberi jawapan balas.

Menurut Najib, permohonan itu bukanlah merupakan 'hadiah' sebaliknya pemberian biasa kepada semua bekas perdana menteri di bawah Akta Ahli Parlimen Saraan 1980 pindaan 2003.

Malah lebih mengejutkan, dakwa Najib, Dr Mahathir sendiri yang melakukan pindaan akta permohonan diberi kediaman untuk bekas Perdana Menteri setahun sebelum meninggalkan pejabat Perdana Menteri.

"Dia (Mahathir) sendiri yang pinda Akta semasa dia PM ke-4. Office saya cuma mohon diberi kediaman selepas PRU14 seperti dalam akta dipinda dia.

"Kerajaan beri tiga bidang tanah untuk pilih maka saya pilih satu. Bukan sudah diluluskan kerajaan hari ini pun. Bukan saya minta hadiah RM100 juta dari kerajaan tetapi kediaman seperti diberi kepada kesemua bekas-bekas Perdana Menteri," katanya.

Dalam jawapan tersebut Najib juga membalas sindiran Dr Mahathir dengan membanding saiz pejabat yang didudukinya hanyalah sebuah banglo yang disewa di Bukit Pantai berbanding pejabat Dr Mahathir di Kompleks Yayasan Perdana di Putrajaya.

Najib mendedahkan melalui Facebooknya satu dokumen yang mendakwa akta berkaitan saraan bekas Perdana Menteri diluluskan Mahathir pada tahun 2003.


APA BOLEH DILAKUKAN RM100 JUTA

Isu hadiah rumah dan tanah RM100 juta sehingga kini terus mendapat perhatian ramai.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut memuatkan satu video di laman sosialnya yang menjelaskan apa yang kerajaan boleh lakukan dengan RM100 juta.

"Boleh sambung Program Sarapan Pagi untuk 135,000 murid untuk setahun! Boleh serap Doktor Kontrak kepada Doktor Tetap untuk 2,307 doktor setahun!

"Atau, bagi hadiah RM100 juta kepada seorang pemimpin politik. Anda rasa?," soal Syed Saddiq.


TANAHGATE DAN UGUTAN PEMBANGKANG

Sementera itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pada pagi ini menggelar isu pemberian hadiah tersebut sebagai 'TanahGate'.

Malah, Hassan berkata, isu TanahGate tersebut yang dirujuk sebagai satu skandal juga bakal memberi kesan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan blok pembangkang diketuai Pakatan Harapan.

"Tiba-tiba semalam di Parlimen meletup satu isu bom jangka yang dipasang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh serta Ahli Parlimen Langkawi.

Isunya ialah berkenaan kelulusan Kabinet menganugerahkan sebidang tanah di ibu kota Kuala Lumpur dan sebuah rumah yang akan dibina bernilai RM100 juta ringgit.

"Perkara panas yang bersifat skandal itu terdedah ketika Menteri Kewangan menggulung perbahasan di peringkat Kementerian Kewangan sebelum proses pengundian dijalankan.

"Jika Perdana Menteri tidak tampil ke depan memberi penjelasan yang lengkap dalam skandal 'Tanahgate' ini, ada besar kemungkinan PH tidak akan menyokong lagi Belanjawan 2022 di peringkat jawatankuasa nanti," kata Hassan. Klik di sini untuk terus membaca