SHAH ALAM - Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membidas dakwaan pemimpin Pas kononnya proses rundingan pembahagian kerusi pilihan raya negeri (PRN) Melaka di antara Perikatan Nasional (PN) dan UMNO hampir tercapai, namun... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membidas dakwaan pemimpin Pas kononnya proses rundingan pembahagian kerusi pilihan raya negeri (PRN) Melaka di antara Perikatan Nasional (PN) dan UMNO hampir tercapai, namun digagalkan oleh sikap 'abang long' pemimpin UMNO.

Bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, penjelasan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu jelas terpesong fakta dan tidak menggambarkan senario sebenar sewaktu rundingan berlangsung sebelum ini.

Sebagai salah seorang wakil UMNO terlibat dalam proses rundingan berkenaan, Abdul Rahman menegaskan terdapat dua faktor utama yang menyebabkan persepakatan pembahagian kerusi di antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dapat dicapai.

"Apa yang berlaku dalam rundingan kerusi Bersatu, UMNO dan Pas adalah tiada satu persetujuan tercapai sebagaimana didakwa Menteri Besar Terengganu.

"Beliau mendakwa kononnya UMNO ingkar kepada keputusan dicapai setelah seorang pemimpin UMNO yang digelar sebagai 'Abang Long' telah membuat keputusan tidak menghormati persetujuan itu.

"Perkara sebenar yang terjadi dalam rundingan ini adalah timbul masalah besar apabila Pas dan Bersatu meletakkan dua syarat terlalu ketat, tidak munasabah dan tidak boleh diterima UMNO," katanya menerusi satu kenyataan video yang disiarkan di media sosial rasmi Barisan Nasional (BN) pada malam Khamis.

Pada Rabu, Dr Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas mendedahkan sikap 'abang long' yang ditonjolkan oleh pemimpin tertinggi parti menyebabkan tiga parti iaitu Pas, UMNO dan Bersatu gagal membentuk kerjasama dalam PRN Melaka.

Jelas beliau, pada 27 Oktober, keputusan agihan kerusi ialah UMNO (lima), Pas (dua), Bersatu (dua) dan dalam rundingan kali kedua pada 29 Oktober, UMNO (enam), Pas (dua), Bersatu (tiga), di mana beberapa persetujuan telah dicapai dan cadangan 'pre-election agreement' dirangka untuk kerjasama dalam PRN Melaka.

Namun, Dr Ahmad Samsuri mendakwa pada 3 November lalu, pasukan perunding yang turut disertainya kecewa selepas dimaklumkan seorang ketua parti akhirnya tidak bersetuju dan tetap mahukan tiga penjuru.

"Semua kecewa, tapi apa nak buat, sikap abang long inilah yang mengganggu kerjasama bersama," kata Dr Ahmad Samsuri.

ABDUL RAHMAN


LETAK SYARAT-SYARAT

Mengulas lanjut, Abdul Rahman menegaskan faktor pertama menyebabkan rundingan antara tiga parti itu gagal adalah berpunca daripada sikap Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang meletakkan syarat pertama supaya UMNO tidak boleh diberikan sejumlah kerusi yang membolehkan parti itu mendirikan kerajaan dengan bersendirian pada siri rundingan pertama.

Tambah beliau lagi, Ahmad Faizal memberikan alasan UMNO mungkin tidak akan mengagihkan jawatan Exco Kerajaan Negeri, ahli majlis dan ketua kampung kepada pemimpin Bersatu dan Pas di Melaka, walaupun pihaknya menjelaskan semua perkara itu boleh dimasukkan dalam satu perjanjian bertulis antara parti-parti terlibat.

"Syarat kedua dikemukakan Bersatu adalah parti itu mahu menentukan siapa calon Ketua Menteri daripada UMNO sekiranya UMNO memenangi lebih banyak kerusi.

"Kedua-dua syarat ini tidak boleh diterima UMNO, biarlah kami yang menentukan siapa calon ketua menteri pilihan kami.

"Dalam soal syarat UMNO tidak boleh bertanding lebih banyak kerusi, UMNO tidak mahu berunding kerusi dengan hanya membahagikan kerusi DUN pengundi majoriti Melayu separuh-separuh dengan PN.

"Itu formula tidak boleh diterima dan menidakkan potensi terbaik untuk ketiga-tiga pihak memenangi kerusi berkenaan. Sepatutnya rundingan adalah berasaskan kekuatan parti di setiap kerusi DUN ditandingi dan bukan sekadar berasaskan angka untuk dibahagi dua," katanya lagi.

Dr AHMAD SAMSURI

Abdul Rahman turut menggariskan faktor kedua yang menyebabkan rundingan Pas-UMNO-Bersatu gagal iaitu tindakan wakil Pas dan Bersatu yang telah meninggalkan bilik mesyuarat lebih awal pada sesi rundingan kali kedua walaupun tiada persetujuan tercapai.

"Tindakan wakil dua parti berkenaan itu juga dianggap seolah-olah tidak menghormati kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

"Mereka keluar meninggalkan UMNO bersendirian dalam bilik mesyuarat.

"Justeru, tiada persetujuan dicapai kerana UMNO datang ke kerusi meja rundingan semata-mata bagi membincangkan bentuk persetujuan berasaskan agihan adil, strategik dan bersandarkan kekuatan parti masing-masing," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca