BANDARAYA MELAKA - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menegaskan beliau tidak pernah hilang fokus untuk berkempen selepas dimaklumkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dipilih... Klik di sini untuk terus membaca

BANDARAYA MELAKA - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menegaskan beliau tidak pernah hilang fokus untuk berkempen selepas dimaklumkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dipilih sebagai calon Ketua Menteri bagi koalisi itu pada Khamis.

Mohd Rafiq yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas sebaliknya menegaskan beliau menghormati keputusan pucuk kepimpinan Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Majlis Tertinggi PN serta memberi sokongan sepenuhnya kepada calon PN bagi DUN Tanjung Bidara itu.

Jelas beliau, selepas mendapat tahu keputusan pucuk kepimpinan PN, beliau konsisten meneruskan kempen pilihan raya di DUN Telok Mas pada saat akhir selain menyatakan jadual kempennya masih padat sehingga waktu larut malam.

Pada masa sama, beliau yang juga Naib Presiden Bersatu memohon semua jentera PN di Melaka untuk bekerja keras bagi memastikan bukan sahaja kemenangan calon Ketua Menteri PN itu, tetapi semua 28 calon PN yang bertanding di setiap kerusi DUN pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka kali ini.

"Sebagai orang parti dan pemimpin PN, semua pihak harus menghormati keputusan Biro Politik Bersatu dan Majlis Tertinggi PN dengan saya selaku Pengerusi PN Melaka bersedia memberikan sokongan sepenuhnya terhadap pencalonan Mas Ermieyati.

"Selepas dapat tahu keputusan itu, fokus saya tidak pernah hilang, bahkan jadual saya terus padat untuk menghabiskan sisa kempen pada saat akhir sehingga waktu malam.

"Paling penting, jentera kami perlu membantu memenangkan semua calon PN pada PRN Melaka dan bukan sahaja kerusi DUN calon ketua menteri. Saya juga yakin PN mampu membuat kejutan walaupun membuat kemunculan pertama melalui PRN Melaka," katanya kepada media pada Jumaat.

MAS ERMIEYATI

Pada Khamis, teka-teki pencalonan Ketua Menteri daripada PN akhirnya terjawab apabila Mas Ermieyati yang juga Naib Srikandi Bersatu diputuskan sebagai calon muktamad bagi jawatan berkenaan.

Pencalonan Mas Ermieyati itu diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu pejabat PN, Kuala Lumpur melalui satu sidang media yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Menurut Muhyiddin, nama Mas Ermieyati dipersetujui oleh pemimpin yang ada dalam gabungan PN.

Melalui keputusan berkenaan, Mas Ermieyati berkeupayaan mencipta sejarah untuk dilantik sebagai Ketua Menteri wanita yang pertama di negara ini sekiranya PN mampu memenangi PRN Melaka pada esok.

Pengumuman Muhyiddin itu sekali gus melenyapkan spekulasi calon bagi jawatan tertinggi kerajaan negeri bakal diserahkan kepada Mohd Rafiq yang sebelum ini disebut-sebut selaku calon pilihan utama bagi menggalas tanggungjawab itu.

Sementara itu, Mohd Rafiq turut mengenepikan dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan keputusan pemilihan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri PN dibuat disebabkan beliau berpotensi kalah di DUN Telok Mas.

Menganggap dakwaan itu sebagai pendapat peribadi, Mohd Rafiq sebaliknya yakin sokongan pengundi DUN Telok Mas terhadap dirinya adalah sangat baik.

"Saya yakin setelah turun ke akar umbi dan telah berjumpa secara tidak langsung dengan hampir semua pengundi di pelbagai lokasi, sokongan kepada PN di DUN Telok Mas adalah sangat baik.

"Saya yakin rakyat akan menterjemahkan sokongan itu dalam bentuk undi kepada PN pada PRN Melaka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca