SHAH ALAM - Pakar kesihatan berpendapat pemberian dos penggalak Covid-19 perlu diteruskan kerana kesan baiknya, namun penerangan telus tentang kesan sampingan harus disampaikan kepada penerima. Menurut Timbalan Dekan (Jaringan & Penjanaan)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar kesihatan berpendapat pemberian dos penggalak Covid-19 perlu diteruskan kerana kesan baiknya, namun penerangan telus tentang kesan sampingan harus disampaikan kepada penerima.

Menurut Timbalan Dekan (Jaringan & Penjanaan) Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, penerangan tentang kesan sampingan adalah perlu supaya penerima faham akan risiko.

"Saya anggap dos penggalak ini baik diteruskan khasnya untuk individu yang berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19.

"Bagaimanapun penerangan tentang kesan samping harus diberikan kepada penerima supaya mereka faham risiko, juga tahu hendak ke mana jika sesuatu berlaku kepada mereka," ujar Sharifa Ezat kepada Sinar Premium.

Tambahnya, selain penerangan, siasatan terhadap kesan sampingan juga perlu dilakukan untuk merawat penerima sekiranya terdapat aduan ketika atau selepas mendapat vaksin penggalak.

"Setakat ini di Malaysia dos penggalak yang diluluskan ialah jenama Pfizer.

"Ia mempunyai kesan sampingan walaupun risikonya kecil. Kesan sampingan yang biasa ialah demam, sakit badan, letih dan sakit di tempat suntik.

"Bagaimanapun kesan teruk juga boleh berlaku tetapi jarang iaitu renjatan anafilaksis (renjatan alahan badan ke vaksin), miokarditis (inflamasi otot jantung) dan percarditis (inflamasi selaput jantung).

"Pesakit akan merasa sesak nafas, sakit dada, rentak jantung tidak sekata, susah bernafas, pengsan dan perubahan rentak di ECG," jelas Sharifa Ezat.

DR SHARIFA EZAT


Terdahulu, ramai yang menzahirkan komen berbaur kebimbangan tentang dos penggalak Covid-19 susulan muat naik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkenaan kematian seorang Ketua Penolong Pengarah Kanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu.

Mendiang Dr Chai Koh Meow dilaporkan telah melengkapkan dos penggalak Covid-19 pada 9 November lalu namun tidak melaporkan sebarang kesan sampingan luar biasa malah hadir bekerja seperti biasa sehingga 16 November lalu.

Buat masa ini KKM memohon agar mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes mendiang sehingga keputusan bedah siasat rasmi diperolehi.

Untuk rekod, pelaksanaan program pemberian dos penggalak Covid-19 telah dimulakan pada 13 Oktober lalu dengan keutamaan diberikan kepada golongan barisan hadapan, warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dan individu dengan komorbid serta mempunyai sistem imunisasi rendah.

Pemberian adalah secara percuma dan sukarela di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Objektif pemberian dos penggalak ialah untuk memastikan tempoh perlindungan optima diterima semua penerima vaksin Covid-19.

Klik di sini untuk terus membaca