Berbaki kurang 24 jam pintu pusat pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dibuka, debaran parti mana yang akan menjadi pilihan hati 495,196 pengundi bumi Hang Tuah semakin hebat dirasakan. Dengan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)... Klik di sini untuk terus membaca

Berbaki kurang 24 jam pintu pusat pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dibuka, debaran parti mana yang akan menjadi pilihan hati 495,196 pengundi bumi Hang Tuah semakin hebat dirasakan.

Dengan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menjadi taruhan sejumlah 112 calon daripada keseluruhan lima parti berdaftar serta 22 calon Bebas kini sedang melaksanakan pecutan terakhir bagi menyelesaikan sisa-sisa kempen pilihan raya masing-masing.

Hal ini susulan tepat jam 12 malam, tempoh berkempen PRN Melaka secara rasminya akan tamat dengan mana-mana calon tidak akan dibenarkan berkempen selepas itu.

Menyentuh mengenai manifesto atau janji pilihan raya, sememangnya parti-parti seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) tampil mengemukakan pelbagai bentuk janji kepada rakyat Melaka demi meraih sokongan mereka.

Bahkan, parti-parti dominan seperti BN, PH dan PN sudah mengumumkan nama calon Ketua Menteri bagi koalisi masing-masing, iaitu calon BN bertanding di DUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; calon PH DUN Bukit Katil, Adly Zahari dan calon PN DUN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Langkah itu dianggap penting dan berstrategi demi membuktikan kepada pengundi Melaka bahawa segala manifesto atau janji pilihan raya dikemukakan mereka akan ditunaikan oleh calon 'ketua pegawai eksekutif (CEO) negeri' yang dipilih.

Malah PRN Melaka dianggap sebagai sebuah pilihan raya kritikal serta digembar-gemburkan bakal menjadi 'ujian kertas litmus' kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Persoalannya kini, calon Ketua Menteri daripada parti manakah yang menjanjikan manifesto atau ikrar pilihan raya yang lebih 'umph' dan dekat di hati rakyat?

Adly Zahari yang mewakili parti Amanah/PH bakal mempertahankan kerusi DUN Bukit Katil.


CALON KETUA MENTERI PH, ADLY ZAHARI

Merupakan bekas Ketua Menteri Melaka sewaktu pentadbiran kerajaan PH selama 22 bulan, Adly yang berasal dari Kampung Pulau, Durian Tunggal merupakan taruhan terbaik koalisi itu untuk mengemudi semula kerajaan negeri sekiranya PH menang pada PRN Melaka.

Terpilih sebagai Pengerusi PH Melaka, Adly, 50, bakal berdepan pertembungan empat penjuru dalam usaha mempertahankan kerusi DUN Bukit Katil yang dimenangi pada PRU14.

Berbekalkan kemenangan PRU14 dengan majoriti 3,159 undi, ramai menjangkakan Adly mampu mempertahankan kerusi DUN Bukit Katil berdasarkan sokongan kukuh pengundi bukan Melayu kepadanya.

Selain itu, terdapat beberapa janji pilihan raya dikemukakan Adly dan PH yang menarik perhatian rakyat Melaka seperti inisiatif memperkenalkan semula Kad Melaka Sihat yang pernah diwujudkan kerajaan PH Melaka sebelum ini.

Melalui inisiatif itu, setiap keluarga di Melaka memperoleh manfaat antara RM300 hingga RM500 setahun untuk mendapatkan pelbagai rawatan kesihatan di klinik swasta terpilih.

Selain itu, Adly turut menekankan janji penggubalan Enakmen Anti Lompat Parti bagi menjamin kestabilan politik negeri Melaka.

Janji Adly yang terkandung dalam manifesto pilihan raya PH adalah berasas susulan negeri Melaka antara teruk terkesan akibat tindakan wakil-wakil rakyat tertentu yang melompat parti dan menyebabkan pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun, ramai beranggapan janji dikemukakan Adly itu bersifat populis susulan PH sendiri menerima dua bekas wakil rakyat UMNO yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan negeri BN-PN sebelum ini, sebagai calon pilihan raya mereka.

Satu lagi janji menarik ditawarkan Adly, selaras dengan manifesto Pelan Tindakan-Maju Bersama Harapan' yang menggariskan sebanyak 32 inisiatif yang merangkumi aspek kesihatan, kebajikan, ekonomi, usahawan dan negeri serta reformasi pentadbiran kerajaan Melaka, adalah komitmen untuk mengkaji semula kebenaran perlombongan pasir di laut antarabangsa.

Isu projek pelombongan pasir adalah amat kritikal dan dipercayai menjadi punca bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga bekas ADUN kerajaan lain, menarik sokongan terhadap Sulaiman yang sebelum ini merupakan Ketua Menteri kerajaan BN-PN.

Komitmen Adly dan PH bagaimanapun dipersoalkan beberapa pemimpin BN dan PN kerana beliau sendiri pernah meluluskan permohonan projek perlombongan pasir darat di sebuah hutan simpan di Jasin sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka pada tahun 2019.

Menjawab persoalan itu, Adly menegaskan beliau pernah menghentikan sebarang pengambilan pasir serta melaksanakan moratorium perlombongan pasir selama setahun sewaktu mengambil alih pentadbiran kerajaan Melaka daripada BN.

Jelas beliau, hal ini disebabkan kerajaan negeri PH mahu menilai semula keseluruhan lokasi pengambilan pasir di Melaka bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan kelestarian sungai dan kehidupan penduduk sekitar.

"Saya tidak nafikan banyak desakan keperluan pasir untuk tujuan pembangunan dan perumahan. Pemaju atau kontraktor mendakwa mereka terpaksa membeli bekalan pasir dengan harga tinggi kerana perlu membeli dari luar Melaka.

"Atas sebab itu, bila kita hentikan sementara, kita sebenarnya menyusun semula lokasi pengambilan pasir di mana kawasan mana yang dibolehkan projek berjalan, kita akan teruskan dan pada masa sama, kawasan mana harus dihentikan, kita harus hentikan," katanya kepada Sinar Premium.

SULAIMAN


CALON KETUA MENTERI BN, DATUK SERI SULAIMAN MD ALI

Selaku pemimpin berpengalaman UMNO yang sudah mempertahankan kerusi DUN Lendu selama tiga penggal, Sulaiman dijangka tidak berdepan kesulitan untuk mengekalkan kerusi berkenaan pada PRN Melaka.

Beliau bakal ditentang calon PN, Mejar (B) Abdullah Mahadi dan calon PH, Mohamad Asri Ibrahim (PH) dalam pertembungan tiga penjuru.

Ketiadaan unsur undi protes terhadap BN sebagaimana PRU14 selain limpahan pembangunan dan projek rakyat yang dibawa Sulaiman selaku Ketua Menteri kerajaan negeri BN-PN sebelum ini pastinya memberikan kelebihan kepada beliau.

Ditambah dengan strategi UMNO menamakan beliau sebagai calon Ketua Menteri BN lebih awal, majoriti pengundi DUN Lendu pastinya mengharapkan beliau menang dan dipilih mengemudi kerajaan negeri Melaka sekali lagi.

Menariknya, UMNO dan BN turut menunjukkan komitmen jitu apabila mengemukakan manifesto pilihan raya lebih awal yang menampilkan lima teras utama yang perlu dicapai dalam tempoh 100 hari, jangka masa sederhana dan panjang.

Lima teras manifesto itu turut merangkumi 103 inisiatif yang melibatkan pembangunan sektor pertanian, industri pelancongan, sokongan sosial komuniti, tadbir urus kerajaan dan pembangunan masyarakat orang asli.

Antara kandungan menarik manifesto pilihan raya BN adalah kesediaan parti berkenaan meminda perlembagaan negeri bagi tujuan memilih lima ADUN lantikan termasuk daripada kalangan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelas Sulaiman, langkah itu penting demi memastikan kestabilan politik negeri Melaka di samping menggambarkan kesediaan kerajaan negeri BN untuk mendengar suara dari semua pihak dan perspektif.

Selain itu, Sulaiman turut mengemukakan aku janji bagi menyempurnakan pelaksanaan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) yang bakal menjadi pencetus perubahan kepada pembangunan Melaka bagi tempoh 25 hingga 30 tahun akan datang.

Beliau berkata, menerusi M-WEZ juga kerajaan negeri menyasarkan pelaburan berimpak tinggi bernilai kira-kira RM100 bilion dan seterusnya menyumbang kepada pertambahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak lima peratus atau RM2 bilion setahun.

"M-WEZ juga dijangka menawarkan sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan baharu setiap tahun, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan rakyat setempat," katanya.

Menyentuh mengenai hak pengundi kaum Cina dan India, Sulaiman turut menjanjikan kesediaan kerajaan negeri BN meminda Malacca Land Rules 1966 sekiranya diberi mandat untuk mentadbir Melaka.

Pindaan enakmen itu akan membolehkan mana-mana pemilik tanah berstatus pajakan sementara termasuk tanah Kampung Baru atau rumah kedai mengemukakan permohonan lanjutan tempoh pajakan tanah lebih awal daripada prosedur biasa.

Jelas Sulaiman, pembaharuan tempoh pajakan sebelum ini mengambil masa yang agak lama, justeru dengan pindaan yang mahu dilaksanakan nanti akan menjadikan urus niaga lebih cepat.

Satu lagi aku janji terakhir dikemukakan Sulaiman adalah kesediaan BN melaksanakan segala perancangan yang tertangguh sejak pembubaran DUN termasuk meneruskan projek jangka panjang bagi menangani isu banjir di negeri ini.

MAS ERMIEYATI


CALON KETUA MENTERI PN, DATUK MAS ERMIEYATI SAMSUDIN

Pemilihan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri bagi PN dianggap banyak pihak sebagai satu kejutan.

Ia berbeza dengan koalisi parti dominan lain yang lebih awal mengumumkan calon Ketua Menteri masing-masing, PN pula menunggu pada saat akhir tempoh berkempen untuk mengumumkan Mas Ermieyati sebagai calon mereka.

Secara dasarnya, pemilihan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu dianggap memberi nilai tambah kepada PN, terutama dalam meraih sokongan pengundi wanita yang berjumlah lebih ramai daripada pengundi lelaki di negeri Melaka.

Namun, persoalan sama ada Mas Ermieyati, 45, mampu dinobatkan sebagai calon Ketua Menteri Wanita yang pertama di Melaka dan di Malaysia masih samar-samar.

Hal ini kerana beliau perlu melepasi ujian getir di kerusi DUN Tanjung Bidara apabila lawannya merupakan calon heavyweight daripada BN iaitu Pengerusi UMNO Melaka sendiri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Bagaimanapun, cabaran getir itu tidak mematahkan semangat Naib Ketua Srikandi Bersatu itu untuk berusaha membantu PN mencipta kejutan pada PRN Melaka kali ini.

Untuk itu, Mas Ermieyati menjanjikan usaha memperkasakan agenda ekonomi dan sosial membabitkan golongan wanita dan belia di negeri Melaka, selaras dengan pengiktirafan diterima beliau selaku Ketua Menteri Wanita yang pertama di negara ini sekiranya PN diberikan mandat.

Selain itu, beliau juga melihat keperluan meningkatkan sektor pelancongan terutama di kawasan persisiran pantai selain bercadang menyediakan kemudahan hub e-sport kepada golongan muda.

"Sudah pastinya agenda menjamin kestabilan kerajaan negeri Melaka turut menjadi keutamaan dengan semua calon PN sudah menandatangani aku janji menolak sebarang bentuk rasuah dan tindakan lompat parti sekiranya kami menang PRN Melaka.

"Pada masa sama, ikrar PN Untuk Melaka berteraskan enam tunjang utama, 11 strategi dan 74 pendekatan yang berteraskan suara rakyat juga menjadi panduan kami jika mendapat mandat daripada pengundi Melaka," kata Mas Ermieyati.

Sama ada ikrar pilihan raya atau janji manifesto dikemukakan calon-calon Ketua Menteri daripada tiga parti dominan mampu menggamit sokongan rakyat Melaka atau dianggap sekadar retorik politik.

Segalanya hanya akan terjawab setelah tempoh pengundian PRN Melaka tamat pada jam 5 petang esok.

Klik di sini untuk terus membaca