SHAH ALAM - Pakar undang-undang berpandangan nilai RM100 juta sebagai ‘hadiah’ pemberian rumah dan hartanah untuk bekas Perdana Menteri adalah tidak wajar.
Bagaimanapun Profesor Datuk Dr Salleh Buang berkata, nilai yang tinggi itu boleh diberikan sekiranya ekonomi negara kukuh.
Namun katanya, dalam keadaan negara bergelut dengan pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi, jumlah yang amat tinggi diperuntukkan sebagai sumbangan negara terhadap jasa seseorang Perdana Menteri adalah melampau.
"Amalan pemberian itu boleh diberikan sekiranya kerajaan mampu dan banyak duit. Namun ketika ini, negara masih berada dalam pandemik Covid-19 jadi ia tidak wajar dan tidak ada keperluan.
"Adakah harga itu munasabah sehingga RM100 juta? Pada saya, ia sangat merepek, tidak relevan dan melampau. Ia suatu pembaziran dan sebaiknya duit itu boleh digunakan untuk membuat rumah dan membantu rakyat atau anak yatim,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Di Melaka pada Rabu, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusannya menolak tawaran peruntukan tanah bernilai RM100 juta oleh kerajaan kepadanya seperti dilaporkan sebelum ini.
Menurut bekas Perdana Menteri keenam itu, tindakan tersebut diambil selepas isu peruntukan berkenaan dijadikan modal politik oleh pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Permohonan itu katanya dibuat pada 2018 selaras dengan Akta Saraan Bekas Perdana Menteri 1980 yang mana akta tersebut telah diubah suai diperbaiki pada tahun 2003.
Kekecohan berkenaan isu itu bermula selepas Ahli Parlimen Langkawi, Tun Mahathir Mohamad membangkitkan isu pemberian rumah dan hartanah sebagai ‘hadiah’ kepada Najib di Parlimen pada Khamis.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan di Dewan Rakyat bahawa bekas Perdana Menteri ke enam itu memohon ganjaran hadiah berupa sebidang tanah dan rumah daripada kerajaan bernilai RM100 juta.
Susulan itu, Najib yang sentiasa aktif di media sosial terutamanya di Facebook, membidas kenyataan Dr Mahathir, beberapa jam selepas perdebatan panas di Parlimen.
Najib menafikan bahawa pemberian rumah dan hartanah bernilai RM100 juta itu bukanlah 'hadiah' sebaliknya pemberian biasa kepada semua bekas perdana menteri di bawah Akta Ahli Parlimen Saraan 1980 pindaan 2003.
Jelas beliau, Dr Mahathir sendiri pernah melakukan pindaan akta permohonan kediaman untuk bekas Perdana Menteri semasa beliau menjadi Perdana Menteri yang ke empat, setahun sebelum meninggalkan pejabat Perdana Menteri itu.
Klik di sini untuk terus membaca