DI MALAYSIA, pelbagai pengalaman hidup ketika pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikongsi. Kenangan terkurung di rumah semakin menghilang apabila pemanduan sekitar Kuala Lumpur pada waktu petang menunjukkan bahawa orang ramai kembali mengambil bahagian dalam aktiviti sosial.
Ramai yang mengalami kehilangan kerja dan penutupan perniagaan akan menghadapi kesukaran dalam menetapkan semula kehidupan.
Justeru, amat penting untuk insentif dan rangsangan yang disediakan supaya dapat membantu rakyat kembali bekerja dilaksanakan dengan pantas, berkesan dan tanpa rasuah. Bagi yang kehilangan orang tersayang – jumlah kematian semakin mencecah 30,000 kes – aktiviti sosial dan pekerjaan yang stabil hanya mampu memberikan sedikit kelegaan.
Pertemuan antara pimpinan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) serta Projek Bangsa Malaysia baru-baru ini telah memberi peringatan tentang kekuatan kerjasama dan sikap pemurah rakyat Malaysia.
Pada Julai, satu tabung kecemasan telah diwujudkan bagi membantu petugas kesihatan barisan hadapan yang tidak mempunyai kelengkapan diperlukan dalam usaha mereka merawat pesakit Covid-19.
Setelah satu video menunjukkan apa yang dihadapi oleh doktor dan jururawat ditularkan, tabung berkenaan telah menerima sumbangan berterusan berjumlah RM2 juta keseluruhannya. Wang itu sememangnya membantu menyelamatkan nyawa.
Saya kembali semula ke London selepas dua tahun (dan menjalani ujian Covid-19 sebelum dan selepas penerbangan) lalu segera diingatkan tentang kepentingan interaksi secara bersemuka apabila saya mendalami pengalaman di luar sempadan Malaysia.
Saya mendapat tahu mengenai situasi yang dihadapi oleh bekas majikan saya. Beliau yang berusia 86 tahun menjalani rawatan kanser walaupun dikelilingi Covid-19.
Seorang lagi rakan saya dijangkiti Covid-19 bergejala ringan setelah melahirkan anak keduanya menyebabkan kedua-dua mereka ditahan di hospital, manakala suami dan anak pertama mereka mengalami gejala lebih teruk ketika menjalani kuarantin di rumah.
Rakan-rakan yang mempunyai bayi sewaktu Covid-19 pastinya akan mengambil masa untuk menghilangkan keresahan memperkenalkan anak-anak kepada dunia luar.
TIADA KEWAJIPAN
Hampir tiada yang memakai pelitup muka di sini dan tiada kewajipan untuk mendaftar masuk apabila memasuki mana-mana premis. Malah, kereta api bawah tanah masih sesak dengan manusia ketika waktu puncak. Mungkin sekitar 20 peratus sahaja yang mematuhi arahan untuk memakai pelitup muka.
"Arahan ini tidak boleh dipaksakan,” kata rakan saya, lalu saya menceritakan kepadanya peristiwa Karen yang enggan memakai pelitup muka di KLCC. Saya bersyukur tidak perlu menghadapi pemulauan sebegitu rupa sebagai seorang minoriti di London.
Sebagaimana Malaysia, penilaian Britain terhadap Covid-19 turut mengandungi kritikan ahli politik. Brexit, selepas pelaksanaannya kekal menjadi satu konduktor kepada perbalahan.
Beberapa orang rakan mengecam kesannya terhadap ekonomi, manakala yang lain percaya bahawa ia telah membantu menyelamatkan nyawa ketika pandemik dengan cara membolehkan vaksinasi yang lebih pantas di UK berbanding negara Kesatuan Eropah lain.
Di penghujung COP26 terutamanya, peranan UK dalam kerja-kerja alam sekitar telah diperdebatkan dengan hangat walaupun kejayaan mencapai satu muafakat yang samar-samar lebih baik daripada tiada muafakat langsung. Presiden Persidangan, Alok Sharma telah memohon maaf atas tindakannya meredakan China dan India dalam ‘mengurangkan’, berbanding ‘menghapuskan’ tenaga arang batu yang masih digunakan.
AMARAN
Percanggahan lanjut dalam kehidupan kontemporari British datang daripada dua bekas stesen janakuasa arang batu. Di bekas tapak Bankside, kini menjadi galeri Tate Modern, didahului dengan amaran bahawa terdapat kandungan bersifat penjajah, perkauman, menindas atau tidak menyenangkan di dalamnya.
Hal itu amat jauh sekali berbanding sikap mementingkan diri sendiri yang saya hadapi sewaktu remaja di UK.
Di Battersea, saya dapat melihat pelaburan Malaysia berjaya mengubah satu tapak yang lama tidak digunakan menjadi pembangunan baharu yang menakjubkan. Penyewa komersial berstatus tinggi akan menyertai para selebriti mendiami pangsapuri yang mempesonakan dengan harga di luar jangkauan kebanyakan penduduk London.
Ketika sedang bersarapan, ahli-ahli British Malaysian Society bertanyakan kepada saya mengenai perkara yang sedang berlaku di Melaka dan dalam politik Malaysia amnya.
Saya agak keberatan untuk memberikan analisis keterlaluan, melihat kepada begitu banyak janji manis yang ditabur lalu menyebabkan susunan rapuh yang mungkin boleh berubah bila-bila masa.
Kita seharusnya menantikan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik. Kemudian, ketika pilihan raya umum yang akan datang, barulah pandangan politik jangka panjang negara kita akan dapat dijangka dengan lebih baik.
Saya meninggalkan UK sewaktu acara terpenting negara sedang berlangsung. Hari Peringatan disambut untuk mengenang pengorbanan pahlawan British yang berkhidmat dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua serta konflik-konflik selepasnya.
Walaupun Ratu Elizabeth II tidak menghadirinya kerana mengalami kecederaan belakang, tradisi sebegini mempunyai kuasa untuk memberikan kestabilan yang membolehkan kepelbagaian pandangan politik.
Saya mengharapkan tradisi dan institusi Malaysia turut mempunyai daya tahan yang sama agar dapat memberikan kestabilan serupa.
Klik di sini untuk terus membaca