SHAH ALAM - Pengundi perlu menunaikan tanggungjawab turun mengundi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu bagi memastikan kestabilan, kelangsungan pentadbiran dan kesuburan demokrasi terus berakar di negeri berkenaan.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengundi perlu menunaikan tanggungjawab turun mengundi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu bagi memastikan kestabilan, kelangsungan pentadbiran dan kesuburan demokrasi terus berakar di negeri berkenaan.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, PRN Melaka bukan sahaja menentukan masa depan dan pentadbiran negeri tetapi merupakan peristiwa penting yang boleh mencorakkan masa depan serta hala tuju politik negara.

Tegasnya, pengundi perlu memberi pengajaran keras kepada ahli dan pemimpin politik yang mencetuskan pergolakan dalam kedamaian politik negeri.

"Saya yakin dengan kematangan dan pengalaman pengundi di Melaka mampu memilih gabungan politik terbaik kerana mereka telah merasai pengalaman di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

"Jadikan pengalaman politik lalu sebagai cerminan untuk memilih kerajaan bertanggungjawab, jujur dan mampu merealisasikan impian rakyat,” katanya.

Mohammad Tawfik berkata, calon bagi PRN Melaka diingatkan bahawa sekiranya mereka dipilih untuk menjadi wakil rakyat, mereka tidak lagi boleh mengekalkan budaya politik lama dan mempergunakan rakyat untuk kelangsungan politik.

Katanya, rakyat sudah bosan dan terkesan dengan sikap ahli ahli politik yang sepanjang masa mempertaruhkan nyawa dan masa depan mereka demi kepentingan politik semata-mata.

"Rakyat semakin bijak menilai untuk menentukan nasib mereka pada pilihan raya kelak.

"Selepas dipilih dalam PRN Melaka, mereka perlu terus bekerja dan kembali turun bertemu rakyat untuk meneruskan khidmat berkesan kepada seluruh rakyat di Melaka,” ujarnya.

Jelasnya, keputusan PRN Melaka memunculkan mesej dan isyarat jelas iaitu rakyat mahukan sebuah kerajaan stabil, tidak lagi dipermainkan orang politik dan mahukan kebajikan mereka diberi perhatian serius.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, pengundi merupakan raja pada Sabtu ini kerana keputusan undian terletak kepada mereka.

Katanya, pengundi harus memikirkan masa depan negeri dengan keluar beramai-ramai untuk memangkah sesiapa sahaja yang mereka rasa layak mewakili kawasan masing-masing.

"Yang penting, proses demokrasi dilaksanakan dengan keputusan rasional serta mengetepikan emosi.

"Kita harus melaksanakan hak yang diberikan supaya tidak lagi wujud kedudukan tergantung di peringkat negeri. Rakyat boleh wujudkan kerajaan stabil dengan memilih individu yang layak,” jelasnya.

Ujar Sivamurugan, walaupun dijangkakan peratusan mengundi rendah tetapi sekiranya jentera dan calon memainkan peranan, maka seterusnya tugas tersebut diserahkan kepada pengundi.

"Pengundi walaupun mungkin tidak berada di Melaka seperti di Johor, Seremban, Muar, Kuala Lumpur, barangkali mereka harus membuat keputusan untuk pulang dan memainkan peranan penting di sini.

"Akhirnya, peranan dan tanggungjawab mereka yang boleh menentukan masa depan negeri.

"Jadi pengundi harus keluar jika mahu melihat peratusan yang tinggi kerana ia sebahagian proses untuk diberikan mandat kepada kepimpinan baharu,” kata beliau.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Klik di sini untuk terus membaca