SHAH ALAM - Harga semasa buah tandan segar (BTS) sawit pada November tahun ini mencecah paras RM1,100 hingga RM1,200 satu tan bergantung kepada kadar perahan minyak yang ditentukan pihak kilang mengikut kualiti buah sawit dituai.
Harga tersebut merupakan yang termahal buat masa ini dan melakar sejarah kepada peneroka apabila memperoleh gaji tertinggi sejak 40 tahun menduduki tanah rancangan Felda dengan ladang tanaman sawit seluas empat hektar.
Antaranya, peneroka di tanah rancangan Felda, Jerantut, Pahang meraih gaji bersih antara RM10,000 hingga RM15,000 walaupun pengurusan ladang dikendalikan pihak Felda.
Sebelum ini ramai beranggapan pendapatan sebegitu hanya mampu diperoleh bagi peneroka yang menguruskan ladang secara sendiri.
Usia pokok baru lapan tahun selepas pelaksanaan skim tanam semula juga antara faktor pengeluaran buah sawit kerana pokok sedang galak berbuah dan memberikan kadar perahan minyak lebih baik, selain pengurusan ladang sistematik.
Angka gaji yang peneroka terima bulan ini dijangka berterusan beberapa bulan lagi sebelum musim pokok sawit melawas pada Mac tahun depan.
Bagaimanapun, peneroka masih boleh meraih gaji hingga RM5,000 sebulan sekiranya harga BTS kekal tinggi.
Selain peneroka di tanah rancangan Felda, pekebun kecil yang terdiri daripada penduduk di kawasan kampung tradisional yang mengusahakan sendiri ladang kelapa sawit turut menikmati keuntungan daripada peningkatan harga BTS sejak Mei lalu.
Menurut Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff, purata harga BTS pada tahun 2019 hanya RM250 satu tan sebelum meningkat RM550 pada akhir 2020 dan melonjak kepada RM750 menjelang April tahun ini.
"Sejak Mei, harga BTS meningkat sehingga mencecah RM1,000 satu tan dan sekarang mencapai RM1,200 satu tan, bergantung kepada kadar perahan minyak di kilang.
"Saya jangka paras harga ini bertahan tiga sehingga lima bulan lagi, namun berharap tidak kurang dari paras RM1,000 satu tan.
"Menjelang Mac, jumlah pengeluaran buah sawit kebiasaan berkurang disebabkan faktor pokok kelapa sawit melawas, selain musim kemarau,” katanya.
Operasi ladang Ujar Sulong, generasi pertama peneroka Felda berusia dalam lingkungan 60 tahun ke atas dan kebanyakan mereka menyerahkan kepada pihak Felda untuk pengoperasian ladang.
Menurutnya, peneroka perlu berbelanja secara berhemat dan dinasihatkan menambah pelaburan dalam Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF).
Sementara itu, generasi kedua Felda, Mohd Shahrin Mohd Shukor, 42, berharap harga BTS kekal stabil hingga tahun depan bagi mengimbangi pendapatan mereka yang tidak menentu."Kami dapat gaji tertinggi sejak masuk Felda seawal tahun 1980-an. Jumlah gaji setiap bulan yang diterima peneroka tidak sama. Ada peneroka dapat lebih RM10,000 dan ada antara RM5,000 hingga RM8,000.
"Bagaimanapun diharapkan harga BTS terus meningkat kerana jika harga rendah dan buah kurang, sudah pasti menjejaskan pendapatan peneroka,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca