HARI ini bermulalah undi untuk memilih siapa akan menerajui Melaka. Maka seperti biasa, rakyat Melaka telah dihidangkan dengan pelbagai tawaran, manifesto dan janji. Sebagai rakyat, kita mungkin akan terpengaruh dengan janji yang kononnya... Klik di sini untuk terus membaca

HARI ini bermulalah undi untuk memilih siapa akan menerajui Melaka. Maka seperti biasa, rakyat Melaka telah dihidangkan dengan pelbagai tawaran, manifesto dan janji.

Sebagai rakyat, kita mungkin akan terpengaruh dengan janji yang kononnya diberi untuk rakyat jelata semata-mata. Orang kita agak sensitif dengan janji yang bermakna satu harapan telah diberi.

Pepatah Melayu lama banyak menghidangkan situasi berjanji ini. Memang sudah menjadi adat atau boleh dikatakan janji itu adalah satu prinsip yang menentukan adakah seseorang berkata benar atau tidak apabila sampai keadaan untuk melaksanakannya.

Bak kata pepatah, kerbau dipegang pada tali hidungnya, manusia dipegang pada katanya. Jika dilihat secara halus, mungkin kita agak pelik kenapa manusia dibandingkan dengan kerbau.

Mungkin manusia apabila berjanji akan susah menepatinya. Maka, ibarat kerbau yang mungkin terpaksa ditarik dengan tali untuk memaksa ia bergerak masuk ke kandang atau membuat kerja.

Rakyat ibarat akan menggunakan talinya iaitu pilihan raya bagi memastikan orang-orang yang berjanji menepati janji walaupun kadangkala kita tahu mereka sekadar murah di mulut, mahal ditimbangan sahaja.

Sebagai manusia berprinsip dan beretika, sepatutnya hendaklah kita berfikir sebelum menabur janji. Kita takut tak dapat pula memenuhinya, maka akan mengecewakan orang lain yang ternanti-nanti janji dan harapan yang diberi.

Bakal wakil rakyat patutnya tahu prinsip tersebut. Jika tidak, bagaimana mahu menjadi wakil rakyat berintegriti bagi memenuhi tanggungjawab kepada rakyat.

MUNGKIR JANJI

Ahli-ahli falsafah juga banyak berbicara tentang janji. Orang yang apabila berjanji, bermakna mereka mempunyai tugas untuk menyempurnakannya. Ia telah membawa satu situasi kepada orang lain yang diberi janji untuk mempercayai orang yang memberi janji akan mengotakannya.

Mungkir janji samalah maknanya menipu. Ia tugas moral yang berkait dengan etika. Pertama, tugas moral untuk tidak menipu dan satu lagi tugas moral bagi memenuhi janji tersebut.

Menurut Kant, adalah tidak bermoral apabila berjanji hanya kerana untuk mendapatkan sesuatu tetapi apabila telah mendapatnya, mungkir pula. Orang berprinsip dan bermoral akan memberitahu tujuan tawaran janjinya.

Jika dia seorang yang jujur, dia akan memberitahu bahawa dia berjanji kerana dengan janjinya itu dia akan mendapat sesuatu. Maknanya, mereka perlu memberitahu kenapa dan apa tujuannya berjanji.

Orang yang tidak bermoral akan memberi janji tanpa memberitahu tujuan halusnya dan cenderung untuk mungkir janji, bak kata pepatah, apa payahnya menggoyangkan lidah saja.

Rakyat Melaka perlulah berhati-hati. Janji manifesto telah diberitahu bukan kitab suci. Dikatakan juga lagi, kitab manifesto tidak perlu dipenuhi atau dengan kata lain boleh sahaja mungkiri janji manifesto itu.

Sebelum ini ada juga rakyat yang membawa ke mahkamah apabila janji manifesto tidak dipenuhi. Tetapi keputusan mahkamah menyatakan janji manifesto tidak tertakluk kepada undang-undang.

Oleh itu, moleklah rakyat Melaka berwaspada. Mereka yang ingin kuasa, lidahnya tidak bertulang. Bak kata pepatah, ya sepanjang hari, janji sepanjang jalan.

Sebagai manusia yang dituntut berlaku baik dan adil, dan sebagai orang Islam khususnya, patut tahu makna berjanji. Bukan sewenangnya sahaja berjanji, kemudian mengelak lari beralasan pula.

Seperti firman ALLAH dalam surah as -Saff ayat 2 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!” Dan firman ALLAH SWT lagi dalam surah al-Israa ayat 34 yang bermaksud: "... dan sempurnakanlah perjanjian (dengan ALLAH dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” Ah, apabila wakil rakyat berjanji, walaupun bertuhan tetapi senduk besar masih tak mengenyangkan.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Klik di sini untuk terus membaca